Kanak-kanak di peringkat tadika sering kali mengungkapkan kata-kata yang mungkin kedengaran kasar atau menyakitkan hati, tanpa mereka benar-benar memahami kesan emosi di sebalik ungkapan tersebut.
Kaunselor berdaftar, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, situasi ini adalah perkara yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak tadika kerana mereka masih berada dalam fasa perkembangan kognitif yang bersifat egosentrik.

Pada tahap ini, kanak-kanak cenderung menyatakan apa yang mereka lihat secara literal tanpa mempertimbangkan sensitiviti atau maruah orang lain.
“Kanak-kanak belum mempunyai keupayaan untuk menapis kata-kata seperti orang dewasa. Mereka hanya meluahkan apa yang dilihat secara nyata.
“Berbeza dengan orang dewasa yang sudah memahami norma sosial dan tahu bagaimana untuk menyesuaikan bahasa agar tidak mengguris hati orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pengaruh persekitaran rumah
Dalam pada itu, kata-kata yang diucapkan oleh kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh persekitaran rumah dan orang dewasa di sekeliling mereka.
Kanak-kanak ibarat ‘span’ yang menyerap bukan sahaja perkataan, tetapi juga nada dan emosi yang mengiringinya.
Justeru, apa yang mereka dengar di rumah akan menjadi asas kepada cara mereka berkomunikasi.
“Jika di rumah mereka sering mendengar percakapan yang kasar, mengumpat atau merendahkan orang lain, mereka akan menganggap itu sebagai cara komunikasi yang normal,” katanya.
Melalui konsep observational learning dan modeling, kanak-kanak belajar dengan memerhati tingkah laku orang dewasa, menyimpannya dalam ingatan, kemudiannya meniru apabila berpeluang, terutama apabila tingkah laku tersebut tidak ditegur atau tidak menunjukkan akibat negatif.
Tanda awal buli mental
Ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak yang mungkin menjadi mangsa atau pelaku kepada buli mental.
Bagi kanak-kanak yang menjadi mangsa, antara tanda awal termasuk perubahan emosi yang mendadak seperti menjadi pendiam selepas pulang dari sekolah dan kerap termenung.
Mereka juga mungkin mengalami gangguan tidur seperti mimpi buruk serta mula merendahkan keyakinan diri.
Manakala bagi kanak-kanak yang berpotensi menjadi pelaku, tanda yang boleh diperhatikan ialah kecenderungan menggunakan kata-kata kasar serta sikap suka mengarah.
Mereka juga cenderung kurang rasa bersalah apabila orang lain terluka, selain menunjukkan keperluan tinggi untuk dominasi dan perhatian..
Menurut pendekatan psikologi Adler, tingkah laku ini boleh dikaitkan dengan usaha mendapatkan rasa superioriti akibat perasaan rendah diri yang tidak diurus dengan baik, lalu diterjemahkan melalui tingkah laku berkuasa terhadap orang lain.
Kesan emosi jangka panjang
Ejekan atau kata-kata yang menyakitkan pada usia awal boleh memberi kesan besar terhadap pembentukan konsep kendiri kanak-kanak.
Pada peringkat ini, kanak-kanak membina identiti berdasarkan maklum balas persekitaran.
Jika mereka sering menerima pengalaman negatif, mereka berisiko membentuk “suara dalaman” yang kritikal terhadap diri sendiri.
Hal ini sekali gus boleh menjejaskan keyakinan mereka untuk mencuba perkara baharu serta bergaul dengan rakan sebaya.
Dalam teori perkembangan Erik Erikson, kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun berada dalam fasa initiative versus guilt, di mana pengalaman negatif yang berulang boleh menyebabkan mereka lebih cenderung kepada rasa bersalah dan menjadi pasif dalam interaksi sosial.
Membentuk empati sejak awal
Bagi membendung isu ini, Nurfarahira berkata, ibu bapa disarankan mengamalkan pendekatan emotion coaching dalam mendidik anak-anak untuk memahami emosi diri dan orang lain.
Antara langkah yang boleh dilakukan termasuk menyedari emosi anak serta melihat emosi sebagai peluang untuk mendidik.
Pada masa sama, ibu bapa perlu mendengar dengan empati dan melabelkan emosi dengan betul serta menetapkan had sambil mencari penyelesaian bersama.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu anak memahami perasaan sendiri, tetapi juga membentuk empati terhadap orang lain dalam setiap tindakan dan percakapan mereka.
Peranan ibu bapa dalam intervensi awal
Apabila ibu bapa mengesan tanda-tanda awal buli mental, tindakan pertama yang perlu diambil ialah kekal tenang dan tidak bertindak terburu-buru.
Menurutnya, langkah utama ialah memberi ruang kepada anak untuk bercerita dan mengesahkan perasaan mereka terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.
Selepas itu, ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak sekolah bagi merangka pelan intervensi yang sesuai, termasuk perbincangan dengan guru serta pertemuan bersama pihak berkaitan secara berhemah.
“Anak-anak belajar daripada apa yang mereka lihat. Oleh itu, cara orang dewasa mengurus konflik akan menjadi contoh terbesar dalam pembentukan tingkah laku mereka,” jelasnya.
Kata-kata yang lahir daripada mulut kanak-kanak bukanlah sekadar ucapan kosong, tetapi cerminan kepada dunia yang mereka lihat dan dengar setiap hari.
Justeru, tanggungjawab membentuk bahasa yang penuh empati bukan hanya terletak di sekolah, tetapi bermula di rumah iaitu tempat pertama anak belajar erti komunikasi, kasih sayang dan hormat-menghormati.










