Trauma disimbah air panas, lutut diketuk tukul besi

Trauma disimbah air panas, lutut diketuk tukul besi

Wajah ceria antara penghuni lelaki di Rumah Anak Yatim Yayasan Budimas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali Syawal, suasana di sebuah rumah anak yatim di Seremban ini sedikit sepi apabila seorang demi seorang penghuninya pulang beraya bersama keluarga.

Namun, Ratna, 16, (bukan nama sebenar) memilih untuk kekal di situ buat tahun ketiga berturut-turut.

Dia tidak berhasrat menyambut raya bersama keluarga angkat yang membesarkannya sejak bayi.

Sukar baginya melupakan maki hamun dan kata-kata penghinaan yang saban hari dilemparkan kepadanya, sepanjang 10 tahun lalu.

RATNA ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia.

Lebih malang, tubuhnya kerap menjadi sasaran kemarahan mereka termasuk disimbah air panas hingga tangannya melecur.

Lututnya pula pernah diketuk dengan tukul besi selain dilibas dengan wayar telefon.

Ratna bukan sahaja menanggung kesakitan fizikal, malah trauma emosi akibat penderaan itu.

Tidak cukup dengan itu, dia turut dikurung di rumah selepas diberhentikan sekolah sejak berusia 12 tahun.

“Sampai satu tahap, saya sudah lali dengan layanan sebegitu. Air mata pun seakan-akan kering, disebabkan kerana terlalu letih menanggungnya,” katanya ketika ditemui dalam Program Kurnia Kasih Ramadan baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut, kata Ratna, ibu bapa angkat mula mengabaikannya setelah dikurniakan cahaya mata kandung, 10 tahun lalu.

Sejak detik itu, dia sering dipersalahkan atas perkara-perkara kecil dan tidak lagi dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga.

Malah, dia turut dilarang menyentuh atau bercakap dengan adik angkatnya itu.

Nekad lari rumah

Sehari sebelum dia mengambil keputusan untuk melarikan diri, berlaku pertengkaran besar dengan ibu bapa angkatnya.

Akibatnya, rambutnya yang panjang dibotakkan, sekali gus merentap maruah dan harga diri gadis ini.

Pertengkaran itu berterusan keesokan harinya, mendorong Ratna nekad meninggalkan rumah tersebut demi menyelamatkan diri.

“Pagi itu, saya dipukul dengan batang mop hingga lebam. Saya kemudian lari ke rumah jiran dan dibawa ke balai polis berdekatan.

“Mahkamah memutuskan saya ditempatkan di rumah anak yatim ini dari 2024 hingga berusia 18 tahun,” ujarnya.

Ibu bapa angkatnya masing-masing dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan melakukan kerja-kerja kebajikan.

Ratna menemui kebahagiaan sebenar di Rumah Anak Yatim Yayasan Budimas dan kembali bersekolah sejak seminggu lalu.

Walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan, dia tidak kekok menyesuaikan diri dengan rutin baharunya.

“Masa-masa terluang sepanjang tiga tahun sebelum ini diisi dengan mengikuti kelas tuisyen oleh cikgu di sini, jadi sedikit sebanyak ilmu itu membantu saya menyesuaikan diri dengan pembelajaran sekarang.

“Saya minat memasak dan impian saya ialah menjadi seorang cef suatu hari nanti,” ujarnya yang masih tidak mengenali identiti keluarga kandung.

Dua bulan tinggal dalam kereta

Nasib Tibeg Raj, 15, mungkin tidak sepahit Ratna biarpun kedua-duanya berstatus anak angkat.

Sebelum ditempatkan di rumah anak yatim sama pada 2022, remaja lelaki ini terpaksa menumpang hidup dalam kereta uzur bersama bapa angkatnya yang sudah berusia.

Mereka dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu menjelaskan tunggakan bayaran.

Selama dua bulan, kenderaan itu menjadi ‘rumah’ mereka, termasuk untuk tidur, makan dan berlindung daripada panas serta hujan.

Keadaan itu turut memaksanya sering ponteng sekolah sehingga disedari guru.

“Kebetulan cikgu nampak saya di kawasan parkir di Seremban dan memberi amaran supaya hadir ke sekolah tetapi saya gagal berbuat demikian kerana kereta ayah rosak.

“Beberapa hari kemudian, cikgu berjaya menjejaki saya dan kes ini akhirnya dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Buat pertama kalinya, saya terpisah dengan ayah,” katanya.

Kini, genap empat tahun Tibeg menghuni rumah anak yatim itu dan dia bersyukur atas peluang kedua yang membolehkannya memulakan kehidupan baru.

Bapa angkatnya difahamkan terlantar akibat strok.

Walaupun sebatang kara tanpa mengenali keluarga kandungnya, tetapi itu bukan alasan untuknya lemah.

Dia yang mahir empat bahasa termasuk Inggeris, Melayu, Tamil dan Mandarin berazam untuk menjadi jurutera automotif suatu hari nanti.

Sasar penghuni ke universiti

Yayasan Budimas bukan sekadar menyediakan perlindungan dan keperluan asas kepada penghuninya, malah komited membuka laluan pendidikan sehingga ke menara gading.

Seramai 40 anak yatim dan asnaf diraikan dalam Program Kurnia Kasih Ramadan di Trigo Hotel baru-baru ini.

Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasinya, Naim Gany berkata, misi utama mereka adalah untuk memperkasakan golongan sasar dengan ilmu dan kemahiran sebagai bekalan masa depan.

Menerusi Inisiatif Biasiswa Budimas, anak-anak di bawah jagaan yayasan itu diberi peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus mengubah hala tuju kehidupan mereka ke arah yang lebih cerah.

“Harapan kami agar sekurang-kurangnya anak-anak ini dapat menggenggam diploma dan lebih membanggakan jika mampu melangkah hingga ke peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN