Pengumuman tambahan kategori Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperluaskan kepada makanan sejuk beku baru-baru ini, mendapat sambutan orang ramai sehingga dilaporkan produk sejuk beku di pasaraya habis diborong.
Tidak dinafikan makanan sejuk beku adalah makanan yang memudahkan pengguna yang sibuk dan mempunyai anak kecil untuk menikmati juadah tanpa perlu menyediakan bahan mentah terutama sepanjang Ramadan ini.
Namun, dalam keseronokan membeli makanan sejuk beku, kita perlu bijak memilih kerana makanan yang diproses secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan seluruh keluarga.
Aktivis I-Medik dan Pakar Perubatan Dalaman Felo Subkepakaran Dalaman Akut, Hospital Seremban, Dr. Fatimah Zaharah Rosli berkata, disebalik kemudahan makanan hasil teknologi sejuk beku, masyarakat jangan tersilap pilih makanan yang ultra proses yang boleh memberi kesan buruk pada kesihatan.

“Nuget dan sosej adalah antara contoh makanan ultra proses yang sangat digemari kanak-kanak. Kentang goreng sejuk beku juga ada yang ultra proses tetapi ada yang lebih dekat dengan yang asli. Kanak-kanak menggemari makanan itu kerana beberapa sebab. Antaranya kedua-kedua makanan ini mudah untuk dikunyah dan ditelan.
“Makanan ini juga dicampur dengan bahan-bahan yang meningkatkan rasanya. Ketiga-tiga faktor ini menyebabkan isyarat ‘kenyang’ dan ‘berhenti makan’ oleh otak diatasi oleh keenakan makanan sehingga sukar menolaknya.
“Kesan perasa yang enak merangsang sistem ganjaran otak dan meningkatkan aktiviti dopamin yang menjadikan anak-anak kita teringat-ingat dan ingin makan untuk kesekian kalinya. Inilah antara penyebab generasi pada hari ini makan secara berlebihan walaupun sudah berasa kenyang,” katanya.
Makanan sejuk beku adalah istilah am yang merujuk kepada mana-mana makanan yang dijual secara sejuk beku dan boleh dimakan setelah dipanaskan semula atau dimasak. Cara memasak adalah pelbagai, antaranya kaedah stim, goreng, air fryer, ketuhar mikro, ketuhar bakar atau dengan menggunakan dapur gas.
Antara contoh makanan sejuk beku seperti sosej, nuget, karipap beku, roti canai beku, mantao, pau, dimsum dan pizza. Sayur-sayuran dan buah-buahan juga boleh disejuk beku bagi membuatkan ia tahan lama dan kaya dengan nutrisi.
KENAPA KURANG BERKHASIAT?
Dr. Fatimah berkata, apa yang menjadikan makanan ini kurang berkhasiat buat anak-anak adalah kerana kandungan protein relatif lebih rendah berbanding ayam segar selain dicampur dengan kanji, lemak dan pengawet.
“Kandungan lemak dan karbohidrat mudah pula berada dalam nisbah yang lebih tinggi dan meningkatkan kalori makanan ini. Mikronutrien asli seperti vitamin berkurangan sewaktu pemprosesan akibat suhu yang tinggi.
“Antara kesan negatifnya ialah lonjakan gula dan insulin ketika sahur, menyebabkan anak-anak cepat lapar, kurang fokus ketika belajar dan cepat letih. Ibu bapa pula mungkin tersilap anggap kandungan protein mencukupi kerana tertulis ‘ayam’ atau ‘daging’ pada sosej dan nutget, sedangkan makronutrien utama sebenarnya lemak dan karbohidrat terproses seperti tepung,” katanya.
TINGKAT BEBAN METABOLIK
Dr. Fatimah berkata, anak-anak yang membesar memerlukan dua unsur terpenting iaitu ‘batu-bata’ untuk membina struktur badan dan pekerja yang menyusun batu-bata. Pekerja ini adalah tenaga dan sumber utama pembakaran tenaga dalam badan manusia adalah karbohidrat dan lemak.
Manakala batu- bata binaan pula adalah protein. Sekiranya makanan yang diberikan hanyalah karbohidrat dan lemak, tumbesaran boleh menjadi tidak optimum dan risiko obesiti meningkat.
“Pengambilan makanan ultra-proses secara berlebihan meningkatkan beban metabolik kerana kandungan garam, lemak, dan gula yang tinggi. Jika tubuh tidak mendapat nutrisi seimbang untuk menyokong fungsi organ serta mikronutrien dan serat yang mencukupi untuk proses antioksida, ia boleh mendorong keradangan kronik.
“Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, terutamanya penyakit metabolik seperti kencing manis, darah tinggi, dan penyakit jantung, malah kini semakin menular dalam kalangan orang muda yang terbiasa dengan tabiat pemakanan lemah sejak kecil,” katanya.
Makanan ultra proses selalunya mengandungi kandungan garam dan bahan tambahan yang lebih tinggi berbanding masakan di rumah. Jika dijadikan amalan harian, ia boleh meningkatkan risiko masalah metabolik dan kardiovaskular pada masa depan.
Garam dalam makanan proses, dikawal dan dikumuhkan terutamanya oleh buah pinggang. Pengambilan garam yang tinggi secara berterusan boleh meningkatkan tekanan darah dan memberi kesan kepada kesihatan jangka panjang.
Kanak-kanak mempunyai saiz badan yang lebih kecil, maka beban garam per kilogram berat badan boleh menjadi lebih tinggi berbanding orang dewasa jika diambil secara berlebihan.
Garam berlebihan juga meningkatkan kepekatan natrium dalam darah dan merangsang pusat dahaga di otak, menyebabkan seseorang berasa haus.
“Lemak seperti minyak dalam makanan bergoreng adalah sumber tenaga yang padat kalori. Pengambilan dalam kuantiti yang tinggi boleh meningkatkan beban metabolik dan menyebabkan rasa tidak selesa serta panas badan.
“Gabungan garam dan lemak ini dalam makanan seperti sambal dan ayam goreng tepung boleh menyebabkan rasa dahaga yang lebih ketara, terutama ketika berpuasa, ” katanya.
USUS ANAK JADI MALAS
Karbohidrat dalam makanan diproses tiada serat, mudah naikkan gula darah, lalu tubuh keluarkan lebih insulin untuk menurunkannya.
“Akibatnya, tubuh cepat kekurangan gula dan mudah letih. Sebaliknya, karbohidrat berserat seperti nasi bersama ayam dan sayur tidak menyebabkan lonjakan gula, malah memberi tenaga lebih tahan lama sepanjang hari.
“Pemprosesan makanan juga mengurangkan zat mikro yang penting untuk proses enzimatik sel dan menahan keradangan. Kekurangan zat mikro ini boleh menyumbang kepada radang kronik,” katanya.
Dr. Fatimah berkata, terdapat banyak kesan makanan segera atau sejuk beku terhadap sistem penghadaman. Makanan segera sejuk beku adalah makanan ultra proses dan sangat mudah untuk dicerna.
“Kekurangan serat menyebabkan usus menjadi malas kerana tidak dirangsang. Kanak-kanak akan mudah mendapat masalah sembelit akibat makanan segera ini. Selain itu, ia turut menganggu keharmonian ekosistem mikrobiota dalam usus besar.
“Usus besar menjadi habitat bakteria baik yang bantu penghadaman dan cegah sembelit. Kajian juga menunjukkan kesihatan usus dan mikrobiota berkait rapat dengan risiko nyanyuk serta kesihatan metabolik,” katanya.
Populasi bakteria baik boleh berkurangan apabila sumber serat tidak mencukupi. Bakteria yang jahat juga turut tinggal dalam usus dan ia lebih mudah berkembang biak apabila bakteria baik berkurangan.
“Terdapat juga risiko keracunan makanan daripada makanan sejuk beku sekiranya ia tidak dikendalikan dengan betul. Bagi makanan seperti nuget dan sosej yang diperbuat daripada ayam atau daging lembu, bakteria boleh membiak sekiranya makanan dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama sebelum dimasak.
“Makanan perlu dimasak sehingga suhu dalaman melebihi 75°C bagi memastikan bakteria dimusnahkan, tidak kira sama ada menggunakan kaedah menggoreng, membakar atau air fryer. Bagi makanan yang telah siap dimasak, jika ia dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama sebelum disejukbekukan, bakteria seperti Staphylococcus aureus boleh menghasilkan toksin yang tahan haba,” katanya.
Walaupun makanan ini dipanaskan semula, toksin ini mungkin masih aktif dan boleh menyebabkan simptom keracunan makanan.
Penggunaan ketuhar mikro boleh menyebabkan pemanasan yang tidak sekata dan menghasilkan bahagian makanan yang masih sejuk.
Oleh itu, makanan perlu dipastikan mencapai suhu sekurang-kurangnya 75°C secara menyeluruh, dan digalakkan untuk mengacau atau membalikkan makanan semasa proses pemanasan.
GANTI MAKANAN SEJUK BEKU
Dr. Fatimah berkata, orang ramai perlu tahu tidak semua makanan sejuk beku adalah makanan ultra-proses. Antara kategori makanan sejuk beku yang baik ialah buah-buahan dan sayur-sayuran yang sudah dibasuh dan terus dibekukan di kilang bagi mengekalkan zat dan nutrisi.
“Makanan segar yang sudah dimasak dan kemudian dibekukan juga adalah satu alternatif yang baik, malah mungkin antara pilihan terbaik dalam kategori makanan sejuk beku jika kandungan nutriennya seimbang.
“Makanan sejuk beku jenis sedia dimakan seperti piza dan pasta pula bergantung kepada kandungan bahan dan tahap pemprosesannya. Jika senarai bahannya ringkas dan tidak mengandungi banyak bahan tambahan, ia mungkin lebih baik berbanding produk ultra proses seperti nuget atau sosej, “katanya.
Katanya, banyak produk komersial kategori ini tergolong sebagai ultra-proses, jadi pengguna perlu membaca label dengan teliti.
“Makanan mudah dan berkhasiat termasuk telur, yang tinggi protein dan lemak serta mudah disediakan. Ikan bilis juga kaya protein dan mudah dimasak.
“Tauhu, tempe, susu segar dan produk tenusu lain pula menyediakan makronutrien seimbang untuk tubuh. Tidak hairan Rasulullah bersahur dengan kurma dan susu, gabungan makronutrien, garam galian dan mikronutrien padat,” katanya.
Dr. Fatimah menambah, alternatif terbaik bagi ibu bapa bekerja ialah membekukan sendiri makanan yang dimasak segar di rumah bagi menggantikan makanan sejuk beku ultra-proses.










