Setiap suapan lontong Rasa Bonda membawa bersama kemesraan, memori keluarga, dan semangat kasih sayang.
Keunikan inilah yang menjadikan menu tradisi versi negeri Perak ini begitu istimewa, hasil sentuhan cef selebriti berpengalaman, Cef Khiew dari Inhome Dining.
Menurutnya, Rasa Bonda diinspirasikan daripada resipi warisan ibu salah seorang rakan sekerja.
Walaupun insan itu telah pergi buat selamanya, namun resipi yang ditinggalkan kekal menjadi simbol kasih sayang, kehangatan keluarga serta kenangan yang terus hidup melalui setiap hidangan disediakan.
“Menariknya, lontong Rasa Bonda berbeza dengan yang ada di pasaran kerana lebih lemak dan bahan-bahannya juga pelbagai bukan sahaja sayuran, malah makanan laut seperti udang.
“Ia sekali gus menjadikannya lebih menyelerakan apatah lagi hidangan ini turut membawa kisah bermakna di sebaliknya,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa MK Curtain Berhad baru-baru ini.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.
Cef Khiew berkata, penghasilan produk itu menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi dan memenuhi piawaian pensijilan Halal dan MESTI.
Sehubungan itu, beliau berharap lontong Rasa Bonda menjadi pilihan masyarakat sempena Aidilfitri nanti.
Katanya, Rasa Bonda disediakan dalam set sejuk beku yang memudahkan penyediaannya.
Mereka yang ingin mendapatkan produk itu boleh membelinya secara dalam talian di platform TikTok dan Shopee atau menghubungi pihak Inhome Dining.











