Apabila masuk sahaja 10 malam terakhir, para imam solat tarawih akan mula berdoa memohon kepada Allah agar jemaah dikurniakan lailatul qadar. Bahkan anugerah malam inilah yang akan terus dibayangkan oleh setiap muslim apabila masuk sahaja fasa 10 terakhir bulan Ramadan.
Saya ingin berkongsi beberapa maklumat mengenai malam yang istimewa ini menerusi karya al-Imam al-Nawawi yang berjudul al-Minhaj Sharh Sohih Muslim Ibni al-Hajjaj atau lebih dikenali dengan Sharh al-Nawawiyy ‘Ala Sohih Muslim yang merupakan huraian agung al-Imam al-Nawawiyy terhadap seluruh hadis yang ada di dalam Sahih al-Imam Muslim.
KENAPA DINAMAKAN MALAM LAILATUL QADAR?
Menurut Al-Nawawi, malam yang sangat mulia ini dikenali sebagai lailatul qadar (malam qadar) kerana pada malam tersebut para malaikat diperintahkan untuk mencatat ketentuan qada dan qadar, termasuk kadar rezeki serta ajal bagi tahun yang akan datang.
Hal ini bermakna Allah SWT memaklumkan kepada para malaikatNya tentang segala takdir yang bakal berlaku sepanjang tahun tersebut.
Seterusnya, Allah SWT mengarahkan para malaikat untuk melaksanakan tugasan masing-masing selaras dengan ketetapan takdir yang telah ditentukanNya bagi tahun itu.
Namun ada juga yang berpandangan malam lailatul qadar dinamakan sedemikian kerana ia adalah malam termulia dalam setahun. Ini berdasarkan kalimah Al-Qadr yang bermaksud ‘kedudukan’ lalu menunjukkan malam itu adalah malam yang memiliki kedudukan yang istimewa di sisi Allah berbanding dengan malam-malam yang lain.
BILA SEBENARNYA MALAM LAILATUL QADAR?
Ada satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim yang menyatakan Saidina Ubayy bin Ka‘b bersumpah dengan nama Allah malam lailatul qadar adalah malam Ramadan yang ke-27.
“Barangsiapa yang berdiri (melaksanakan ibadah pada setiap malam) sepanjang satu tahun, maka dia akan memperoleh lailatul qadar.”
Kemudian Ubayy ibn Ka’b berkata “Demi Allah yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya malam tersebut (lailatul qadar) benar-benar berada dalam bulan Ramadan.”
Beliau bersumpah malam itu tidak akan terkeluar daripadanya, iaitu ia hanya berlaku dalam bulan Ramadan tanpa pengecualian pada mana-mana tahun.
Beliau seterusnya berkata “Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar mengetahui malam yang dimaksudkan itu. Ia adalah malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah untuk menghidupkannya dengan ibadah. Malam tersebut ialah malam ke-27, dan tandanya ialah matahari terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tanpa sinaran cahaya yang menyilaukan.”
Lalu al-Imam al-Nawawiyy mula mendatangkan pelbagai pandangan para ulama dalam menentukan bilakah sebenarnya tarikh berlaku malam lailatul qadar. Menurut beliau; pandangan Saidina Ubayy bin Ka‘b adalah merupakan salah satu pandangan.
Namun, kebanyakan para ulama berpendapat malam itu adalah satu malam daripada 10 malam terakhir Ramadan. Cuma tidak dapat dipastikan secara yakin bilakah tarikhnya.
Malam Lailatul Qadar yang paling diharapkan ialah pada malam-malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir Ramadan, khususnya malam ke-27, ke-23 dan ke-21.
Namun, terdapat juga sebahagian ulama yang berpandangan lailatul qadar boleh berlaku pada mana-mana malam dalam bulan Ramadan dan tidak semestinya terbatas pada satu daripada 10 malam terakhir sahaja.
Oleh itu, umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah sepanjang Ramadan agar tidak terlepas daripada kelebihan malam yang penuh keberkatan ini.
Al-Imam al-Nawawiyy turut menyatakan kebanyakan ulama berpendapat tarikh sebenar malam lailatul qadar tidak berubah dari satu tahun ke satu tahun yang lain.
Namun para ulama al-Muhaqqiqin (para ulama yang ilmunya begitu tinggi dan teliti) berpendapat malam tersebut sebenarnya berubah-ubah dari satu tahun ke satu tahun yang lain.
Maka mungkin pada tahun tertentu lailatul qadar berlaku pada malam ke-27 dan mungkin juga pada tahun yang lain lailatul qadar berlaku pada malam ke-23 atau seumpamanya.
HIKMAH RAHSIA TARIKH LAILATUL QADAR
Al-Imam al-Nawawiyy ketika menghuraikan hadis-hasid yang ada di dalam Bab Bayan al-Kaba’ir Wa Akbariha (Bab Penerangan Mengenai Dosa-dosa Besar Dan Dosa Yang Paling Besar) telah mendatangkan pelbagai pandangan para ulama dalam menentukan definisi dosa besar dan dosa kecil.
Setelah pelbagai pandangan diutarakan oleh beliau, al-Imam al-Nawawi mendatangkan pandangan al-Imam Abu al-Hasan al-Wahidiyy sebagai kesimpulan bagi isu definisi dosa besar dan dosa kecil dengan berkata: “Yang sahih adalah definisi ‘dosa besar’ sebenarnya tidak diketahui. Bahkan syarak ada menyifatkan beberapa jenis maksiat sebagai dosa besar dan menyifatkan beberapa jenis maksiat yang lain sebagai dosa kecil bahkan syarak juga ada menyebut beberapa jenis maksiat tanpa menyatakan adalah ia dosa besar atau dosa kecil.
Hikmah mengapa tidak dijelaskan hakikat sebenar dosa besar adalah supaya seseorang hamba mengelakkan diri daripada semua jenis maksiat kerana risau maksiat yang dilakukannya sebenarnya adalah dosa besar.
Ini adalah serupa dengan penyembunyian bilakah lailatul qadar, waktu doa mustajab pada siang hari Jumaat, waktu doa mustajab pada malam hari, apakah sebenarnya nama Allah yang paling agung dan seumpamanya”.
Maka kenyataan al-Imam Abu al-Hasan al-Wahidiyy yang dinukilkan oleh al-Imam al-Nawawiyy ini menjelaskan kepada kita hikmah mengapa Allah tidak menjelaskan dengan terang nyata malam sebenar berlaku lailatul qadar supaya kita tidak hanya beribadah pada malam itu sahaja sebaliknya kita akan menghidupkan setiap malam pada bulan Ramadan dengan ibadah yang tulus kepada Allah SWT.
IBADAH MALAM RAMADAN AMPUNKAN DOSA?
Imam al-Nawawiyy ada satu persoalan yang mungkin akan timbul setelah seseorang membaca satu hadith Rasulullah yang bermaksud: “Barangsiapa yang berdiri (melaksanakan ibadat) pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan buatnya segala dosanya yang telah lepas” dan satu lagi hadis: “Barangsiapa yang berdiri (melaksanakan ibadat) pada malam lailatul qadar dengan keimanan dan pengharapan, nescaya nescaya diampunkan buatnya segala dosanya yang telah lepas”.
Persoalannya adalah mengapa kita perlu lagi menghidupkan malam lailatul qadar sedangkan ganjaran yang sama iaitu pengampunan seluruh dosa sudah boleh diperolehi hanya dengan menghidupkan malam Ramadan yang lain?
Imam al-Nawawiyy menjelaskan ada perbezaan antara dua hadis ini iaitu yang pertama menyatakan ganjaran pengampunan dosa adalah buat mereka yang menghidupkan setiap malam
Ramadan dengan ibadat kecuali malam lailatul qadar manakala hadis kedua pula menyatakan ganjaran pengampunan dosa adalah bagi mereka yang menghidupkan malam itu.
MALAM TERBAIK
Imam Al-Nawawi menyatakan waktu siang paling mulia setahun ialah siang hari Arafah (9 Zulhijjah), siang paling mulia seminggu ialah hari Jumaat, manakala malam paling mulia adalah lailatul qadar.
Penulis adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










