Iran, Hezbollah lancar 200 roket ke atas Israel - Utusan Malaysia

Iran, Hezbollah lancar 200 roket ke atas Israel

ASAP menjulang tinggi akibat serangan Israel di selatan Beirut. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Iran bersama kumpulan Hizbollah yang berpangkalan di Lubnan melancarkan serangan peluru berpandu secara bersama ke atas Israel dengan melancarkan lebih 200 roket, menurut laporan beberapa media.

Serangan itu mencetuskan siren amaran di utara Israel termasuk di bandar Haifa dan Acre serta beberapa bandar lain ketika penduduk bergegas menuju ke tempat perlindungan.

Pada masa sama, puluhan letupan dilaporkan menerangi ruang udara di utara bandar Nazareth apabila sistem pertahanan peluru berpandu Israel memintas roket yang dilancarkan dari Lubnan, dengan sebahagiannya dilihat jatuh ke tanah.

Menurut laporan media Israel, kumpulan Hizbollah kemudian melancarkan lebih banyak roket beberapa jam selepas serangan awal. Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang ditembak ke arah utara Israel mencecah kira-kira lebih 200 roket  dalam tempoh beberapa jam.

Seorang pegawai kanan pertahanan Israel dipetik agensi berita Reuters berkata, serangan pada Rabu malam itu merupakan tindakan pertama yang diselaraskan antara Iran dan Hizbollah sejak perang di Asia Barat bermula.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial turut menunjukkan roket menerangi langit di utara Israel dengan sebahagiannya dilihat mengenai sasaran. Namun, kesahihan rakaman itu tidak dapat disahkan secara bebas.

Gelombang serangan roket itu dianggap antara peningkatan ketegangan paling ketara dalam pertempuran rentas sempadan antara Israel dan Hizbollah sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketika siren amaran serangan udara berbunyi di sepanjang pantai utara Israel, pihak berkuasa menggesa penduduk supaya kekal berada di kawasan perlindungan.

Israel melancarkan operasi ketenteraan terhadap Hizbollah selepas kumpulan itu melancarkan sejumlah  roket pada 2 Mac sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada awal perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, serangan Israel setakat ini mengorbankan lebih 600 orang dan menyebabkan kira-kira 800,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Laporan juga menyebut beberapa roket dipercayai tiba ke kawasan tengah Israel dengan amaran turut dikeluarkan di kawasan metropolitan Gush Dan termasuk Tel Aviv, Baitulmuqaddis dan beberapa lokasi lain.

Tentera Israel berkata, amaran tersebut diaktifkan selepas roket dikesan dilancarkan dari Lubnan, dengan sistem pertahanan udara berusaha memintas peluru berpandu yang menghampiri negara haram tersebut. – AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN