Ubah gaya hidup, kurangkan ‘mata panda’

Ubah gaya hidup, kurangkan ‘mata panda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lingkaran gelap bawah mata atau lebih dikenali sebagai ‘mata panda’ sering dikaitkan dengan kurang tidur dan keletihan.

Keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan diri dan penampilan seseorang.

Dari sudut perubatan dermatologi, keadaan ini sebenarnya lebih kompleks dan melibatkan pelbagai faktor.

Pakar perunding dermatologi dan bedah dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, mata panda atau dark circle merupakan masalah yang sangat lazim dalam kalangan populasi Asia, termasuk Malaysia.

Malah, ia bukan sekadar satu keadaan tunggal, sebaliknya boleh dibahagikan kepada beberapa jenis utama.

Jenis pertama ialah kehilangan isipadu atau volume loss.

Ia berlaku apabila struktur tulang kurang menonjol, lemak di kawasan bawah mata berkurang akibat proses penuaan atau kulit menjadi semakin nipis.

“Apabila kulit menjadi semakin nipis dan lemak berkurang, kawasan bawah mata nampak lekuk. Bayang yang terhasil itulah yang membuatkan ia kelihatan gelap,” katanya.

Jenis kedua pula melibatkan peningkatan pigmentasi sebenar. Ia lebih lazim dalam kalangan individu berkulit gelap secara genetik.

“Kalau kita regangkan kulit di bawah cahaya terang dan warna gelap itu masih ada, itu menandakan memang ada pigmentasi di kawasan tersebut,” jelasnya.

Jenis ketiga ialah vaskular, yang berkait dengan saluran darah halus di bawah kulit. Keadaan ini sering berlaku dalam kalangan individu yang mempunyai masalah keradangan kulit seperti ekzema atau rosacea.

“Kulit bawah mata sangat nipis dan salur darah sangat superficial. Bila ada keradangan, salur darah jadi lebih ketara dan nampak keunguan atau coklat,” katanya.

Jenis keempat ialah campuran, gabungan dua atau lebih faktor. Dalam populasi Malaysia, jenis campuran agak lazim kerana faktor pigmentasi dan perubahan struktur sering berlaku serentak.

 

Kosmetik atau masalah kesihatan?
Lingkaran gelap bawah mata boleh menjadi isu kesihatan atau sekadar kosmetik, bergantung kepada puncanya.

“Kalau ada simptom seperti gatal, merah atau kulit sensitif, mungkin ada masalah seperti rosacea atau ekzema. Ada juga kes yang berpunca daripada alahan hidung atau sinusitis kerana pesakit kerap menggosok mata,” katanya.

Namun, jika tiada masalah kesihatan yang mendasari, ia biasanya lebih kepada kebimbangan kosmetik.

Kepercayaan bahawa kurang tidur dan stres menyumbang kepada mata panda adalah benar.

“Kalau kekurangan tidur, menangis atau gaya hidup tidak sihat, cecair mudah berkumpul di bawah mata. Itu boleh membuatkan lingkaran gelap nampak lebih teruk,” jelasnya.

Namun begitu, pengambilan air yang banyak tidak secara khusus menghilangkan lingkaran gelap.

“Air penting untuk kesihatan secara umum, tetapi untuk dark eye circle secara spesifik, saya tidak rasa ia satu rawatan utama,” katanya.

Punca utama
Dr. Kang Nien berkata, punca utama mata panda adalah bersifat multifaktorial.

Bagi kes primer, iaitu tanpa sebarang masalah kesihatan lain, keadaan ini biasanya berkait dengan isu struktur wajah, keadaan kulit dan proses penuaan.

“Apabila kulit menjadi semakin nipis, lemak di bahagian pipi, termasuk apple cheek, berkurangan dan tulang juga mengalami penyusutan, menyebabkan kawasan bawah mata kelihatan lekuk. Itu memang satu kesan biasa penuaan,” jelasnya.

Selain itu, faktor lain seperti pendedahan kepada sinaran ultraviolet (UV), tekanan oksidatif, kecenderungan terhadap pigmentasi serta faktor genetik turut menyumbang kepada keadaan ini.

Sekiranya lingkaran gelap berkait dengan penyakit atau pengambilan ubat, ia dianggap sebagai punca sekunder.

 

Rawatan
Rawatan paling asas ialah pengubahsuaian gaya hidup.

“Kaedah ini paling penting. Kalau nak rawat tapi setiap hari tidur pukul dua atau tiga pagi, memang tiada guna,” katanya.

Dalam penjagaan kulit, pelembap perlu digunakan secara konsisten.

Bahan seperti kafein dan agen pencerah boleh membantu jika masalah berpunca daripada pigmentasi, manakala bahan anti-radang seperti niacinamide sesuai untuk jenis vaskular.

Bagi masalah struktur dan penuaan, bahan seperti retinol dan asid hyaluronik boleh membantu menambah kelembapan dan memberi kesan lebih plump pada kulit.

Jika rawatan topikal tidak mencukupi, prosedur perubatan boleh dipertimbangkan.

“Kalau guna laser di kawasan mata, kena sangat berhati-hati dan hanya dilakukan oleh pakar yang terlatih.

“Jika laser termasuk dalam mata, risiko untuk buta memang ada,” katanya.

Selain laser, rawatan radio frequency (RF) boleh membantu menebalkan kulit.

Suntikan seperti filler asid hyaluronik atau biostimulator juga digunakan dalam kes tertentu.

“Kawasan sekitar mata adalah antara yang paling sukar dalam prosedur estetik. Jangan sesekali merawat dengan pakar yang tidak bertauliah,” katanya.

Dalam kes lebih serius, terutama jika terdapat kantung mata, pembedahan mungkin diperlukan.

 

Penggunaan eye patch
Tambahnya lagi, penggunaan eye patch hanya sekadar memberi kesan sementara.

“Eye patch sebenarnya bertindak sebagai pelembap. Ia beri kesan segera, kulit nampak lebih cerah dan tegang.

“Tetapi mungkin dalam 12 jam ia akan kembali seperti biasa,” katanya.

Mata panda bukan sekadar isu kurang tidur, tetapi melibatkan faktor struktur, pigmentasi, vaskular dan gaya hidup.

“Kalau nak hasil yang baik, gaya hidup sihat itu asasnya dan rawatan lain hanyalah pelengkap,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×