Tukar kain rentang terpakai jadi beg pelbagai guna

Tukar kain rentang terpakai jadi beg pelbagai guna

Muhammad Imran Qusyairi Abdul Raof memberi nafas baharu kepada kain rentang terpakai hingga menjadi beg yang bergaya dan praktikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI setiap sudut di sekeliling kita sering dihiasi kain rentang dan sepanduk berwarna-warni.

Bukan hanya di dewan dan jalan raya, bahkan di lokasi tumpuan orang ramai.

Angkanya menjadi jauh lebih banyak apabila sesebuah kawasan menjadi lokasi penganjuran program atau karnival.

Malangnya, sebaik sahaja majlis berakhir, kebanyakan kain rentang itu terbiar begitu sahaja.

Malah, ada yang terus dibuang tanpa dimanfaatkan semula.

Namun, kreativiti seorang pemuda di Pulau Langkawi berjaya mengubah sisa buangan itu menjadi beg yang praktikal dan bergaya.

Ia sekali gus memberi nafas baharu kepada bahan yang sebelum ini dianggap tiada nilai.

Muhammad Imran Qusyairi Abdul Raof, 30, berkata, idea untuk mengolah kain rentang itu tercetus secara spontan, kira-kira dua tahun lalu.

Ketika itu, dia menyertai acara, Graff for Nation anjuran Balai Seni Negara di pulau peranginan berkenaan.

“Selepas acara tamat, kebanyakan vendor dari luar Langkawi meninggalkan atau membuang kain rentang yang digunakan sebagai prop semasa berniaga.

“Saya berjaya mengumpulkan hampir 10 meter kain rentang terpakai daripada beberapa tapak vendor dan daripada situlah idea untuk menghasilkan beg tercetus,” katanya baru-baru ini.

Lulusan kejuruteraan ini sememangnya aktif dalam projek mengolah semula barangan terpakai bagi tujuan jualan di bawah jenamanya, Koyak sejak 2022 lagi.

Sebelum ini, bahan utama yang digunakan ialah kain, termasuk denim.

Kalis air, tahan lasak

Kain rentang memiliki kelebihan tersendiri iaitu kalis air dan tahan lasak, sekali gus sesuai untuk dijadikan beg.

Tetapi, kegunaannya sebagai bahan alternatif kepada kain atau material asas masih kurang diketahui umum.

Sedangkan, amalan itu sudah lama wujud dalam kalangan peminat aktiviti lasak.

Setiap rekaan beg bersifat eksklusif dengan mengetengahkan elemen ketidaksempurnaan.

“Sejak era 1970-an lagi, golongan pendaki di luar negara telah menggunakan atau mengubah suai kain rentang menjadi peralatan outdoor,” katanya.

Misi Muhammad Imran Qusyairi adalah untuk memupuk kesedaran terhadap fesyen mampan sekali gus menggalakkan masyarakat berfikiran lebih kreatif dan di luar kebiasaan.

Dia percaya budaya olah semula mempunyai potensi besar untuk berkembang di Malaysia, terutama dengan sokongan komuniti, jenama tempatan dan perubahan gaya hidup mesra alam.

Malah, ia berpotensi menjadi sebahagian daripada norma masyarakat di masa depan.

“Setakat ini, saya belum menemui mana-mana individu di Pulau Langkawi atau di Malaysia yang menggunakan kain rentang untuk menghasilkan beg.

“Mungkin ada penggiat kraf di rumah yang menerapkan pendekatan serupa, tetapi bukan untuk tujuan jualan seperti saya, sebaliknya sekadar hobi atau koleksi peribadi,” katanya.

Lebih lima jam siapkan beg

Produk pertama sentuhannya yang diperbuat daripada kain rentang ialah beg messenger atau beg silang mini.

Diikuti dengan produk-produk lain seperti beg tote, tempat letak kad, bekas alat tulis serta sarung pasport, laptop dan kopi.

Kata anak jati Seremban ini, penghasilan sesebuah beg mengambil masa lebih lima jam bergantung kepada rekaan.

Prosesnya bermula dengan mencuci kain rentang dan memotong bahagian yang rosak atau reput.

“Langkah seterusnya ialah mencantumkan kain rentang berlainan dengan menggunakan teknik patchwork bagi mendapatkan rekaan yang unik.

“Material itu kemudiannya digunting mengikut corak beg yang diingini sebelum dijahit,” katanya.

Istimewanya, dia turut mahir menjahit dan proses itu dilakukannya sendiri tanpa bantuan pekerja.

Bahan dan peralatan lain yang digunakan termasuk pita velcro, zip, webbing (tali pemegang) serta kain-kain lama untuk dijadikan lapisan dalam beg

Kata Muhammad Imran Qusyairi, setiap beg yang dihasilkan bersifat eksklusif dengan mengetengahkan elemen ketidaksempurnaan.

Elemen itu merupakan sebahagian daripada falsafah wabi-sabi dari Jepun.

Bukan itu sahaja, dia turut mendapatkan ilham rekaan daripada teknik-teknik atau cara orang-orang dulu.

Cabaran hasilkan rekaan unik

Baginya, proses paling mencabar ialah mencantumkan kain-kain rentang untuk menghasilkan rekaan unik.

Kerja-kerja itu boleh mengambil masa lebih sejam hanya untuk menyusun dan menjahit material asas bersaiz semeter.

Dia turut berdepan cabaran lain seperti jarum mesin mudah patah dan kesukaran menghasilkan butiran jahitan tangan yang halus.

Terkini, dia sudah mengeluarkan dua edisi khas beg yang dihasilkan menggunakan kain rentang.

Edisi pertama tahun lalu menampilkan beg messenger, tempat letak kad dan beg pouch tembakau, yang masing-masing sebanyak 10 unit.

Harga produk pula bermula daripada RM30 hingga RM500 ke atas bergantung kepada rekaan dan jenis material dipakai.

Bagi anak-anak muda yang ingin terlibat dalam aktiviti olah semula ini, katanya, mereka perlu mempunyai minat dan pilihlah projek yang benar-benar dekat di hati serta nilai peribadi.

“Projek yang lahir daripada minat sendiri biasanya lebih konsisten dan memberi hasil berkesan.

“Paling penting, jangan takut berfikir di luar kotak kerana kreativiti adalah kunci untuk mengubah bahan buangan menjadi sesuatu yang bermakna,” katanya.

Muhammad Imran Qusyairi menyasarkan untuk menambah lebih banyak lagi produk seperti beg galas, kerusi perkhemahan dan peralatan outdoor.

Di samping itu, dia mahu menyuntik elemen batik dan juga pelikat ke dalam rekaan bagi menarik minat pelancong sekali gus memajukan kraf tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×