PENANTIAN selama tujuh tahun yang sarat dengan doa, air mata dan harapan akhirnya terlerai buat sepasang suami isteri di Pahang apabila mereka dikurniakan bayi kembar sepasang.
Kebahagiaan itu hadir hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), sekali gus mengubah perjalanan hidup pasangan berkenaan.
Detik manis itu menjadi lebih bermakna apabila Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menziarahi pasangan tersebut di kediaman mereka di Pantai Sepat, Kuantan, baru-baru ini.
Kehadiran baginda membawa sinar kegembiraan dan rasa terharu bukan sahaja kepada ibu bapa bayi kembar berkenaan, malah seluruh ahli keluarga yang hadir.
Pasangan itu, Amru Khalid Sazali, 31, dan isterinya Afifah Syahirah Abdul Karim, 30, sebelum ini belum dikurniakan cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Pelbagai ikhtiar dilakukan, namun hasil yang dinantikan masih belum tiba.
Dalam tempoh tersebut, pasangan ini berdepan pelbagai ujian emosi, termasuk rasa kecewa dan hampir berputus asa.
Namun, harapan kembali menyinar apabila mereka terpilih menyertai program rawatan IVF tajaan TAFF, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan berkeluarga.
Usaha dan kesabaran itu akhirnya berbalas apabila Afifah selamat melahirkan bayi kembar sepasang melalui pembedahan pada 21 Disember 2025.
“Tiada kata-kata yang mampu gambarkan perasaan kami, tujuh tahun menanti zuriat dan bila tiba masanya, Allah beri kami dua anak sekali gus,” kata Afifah Syahirah.
PELENGKAP HIDUP
Bayi perempuan diberi nama Atiyyah Zahra dengan berat 2.49 kilogram, manakala bayi lelaki dinamakan Abdullah Zainy seberat 2.15 kilogram.
Kehadiran dua permata hati itu melengkapkan penantian panjang pasangan berkenaan dan menjadi simbol harapan yang tidak pernah padam.
Keberangkatan Tunku Azizah ke kediaman mereka disambut penuh rasa hormat dan terharu. Baginda diiringi Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah, sekali gus menceriakan suasana ziarah tersebut.
Dalam lawatan yang berlangsung 45 minit itu, Tunku Azizah meluangkan masa mendukung dan menatap bayi kembar berkenaan. Aura keibuan baginda jelas terserlah, mencipta suasana yang tenang dan menyentuh perasaan.
Baginda turut berkongsi panduan serta nasihat berkaitan penjagaan bayi dan kesihatan ibu dalam tempoh berpantang. Setiap kata-kata yang dititipkan disampaikan dengan penuh kelembutan dan keprihatinan.
Amru Khalid meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga dengan sokongan dan bantuan yang diterima sepanjang menjalani rawatan kesuburan tersebut. Baginya, keprihatinan yang diberikan bukan sahaja dari segi rawatan, malah turut menyentuh aspek emosi dan mental.
“Junjung kasih Tuanku dan terima kasih kepada seluruh warga TAFF yang banyak membantu serta menyokong perjalanan rawatan ini sehingga kami dikurniakan zuriat,” katanya.
TIDAK PUTUS ASA
Menurut Amru, penantian selama tujuh tahun itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, pasangan ini tidak pernah berhenti berdoa dan percaya setiap ujian pasti disertai hikmah. Baginya, program TAFF bukan sekadar membantu dari sudut perubatan, malah memberi kekuatan moral kepada pasangan yang sedang berjuang mendapatkan zuriat.
Afifah Syahirah pula menyifatkan keberangkatan Tunku Azizah ke rumah mereka sebagai satu pengalaman yang amat bermakna, lebih-lebih lagi sebagai seorang ibu baharu.
Menurutnya, sifat keibuan dan keprihatinan baginda benar-benar menyentuh hati. Kata-kata dan nasihat yang diberikan memberi ketenangan serta keyakinan dalam menjalani fasa baharu sebagai seorang ibu.
Bayi kembar pasangan ini merupakan bayi ke-148 dan ke-149 yang dilahirkan hasil tajaan TAFF sejak yayasan itu ditubuhkan pada 2004.










