TERPERANGKAP dalam realiti generasi sandwic, kaum lelaki sering memikul tanggungjawab berganda sebagai anak, suami dan bapa.
Namun, beban yang ditanggung golongan ini sering kali kurang disedari, malah dianggap biasa jika dibandingkan dengan peranan wanita.
Tanggapan tersebut berkemungkinan tercetus daripada perbandingan mengenai pengorbanan besar seorang wanita sebagai ibu yang
melahirkan dan membesarkan anak, sekali gus menjadikan usaha serta tanggungjawab berat yang dipikul kaum lelaki sering dianggap sebagai sesuatu yang lumrah.
Generasi sandwic merujuk kepada golongan dewasa yang terhimpit antara tanggungjawab menyara, menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia dengan pada masa sama membesarkan anak-anak serta mengurus keperluan hidup dan kerjaya mereka.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Abu Sufian Abu Bakar berkata, fenomena generasi sandwic sering memaksa individu bekerja lebih daripada satu pekerjaan demi memenuhi komitmen kewangan.

Katanya, kaum lelaki sanggup berkorban dengan bekerja lebih keras kerana golongan wanita lazimnya memikul peranan utama dalam menguruskan anak-anak serta tanggungjawab rumah tangga yang tidak melibatkan pencarian rezeki.
“Walaupun ada antara mereka memperoleh gaji sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan daripada pekerjaan utama, jumlah itu masih tidak mencukupi sekiranya digunakan untuk menampung perbelanjaan lebih daripada dua orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Situasi tersebut, jelas beliau, mendorong ramai dalam generasi sandwic mencari sumber pendapatan tambahan melalui pekerjaan sambilan,
perniagaan kecil dan aktiviti ekonomi gig yang semakin popular dalam era digital masa kini.
PUNCA WUJUDNYA GENERASI SANDWIC
Fenomena ini wujud kerana beberapa faktor sosial, ekonomi dan budaya yang saling berkait, menyebabkan beban kewangan dan emosi bertambah bagi golongan dewasa.
Satu daripada sebab utama ialah peningkatan jangka hayat warga emas. Hari ini, orang tua hidup lebih lama dan memerlukan sokongan fizikal, kewangan dan emosi.
Abu Sufian berkata, anak dewasa masih perlu memastikan ibu bapa mereka mendapat penjagaan yang secukupnya, terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit kronik atau mempunyai keperluan khas.
Katanya, anak-anak sendiri turut memerlukan sokongan lebih lama. Kos pendidikan tinggi yang semakin mahal, peluang pekerjaan yang tidak
stabil dan kos sara hidup yang meningkat menyebabkan ramai anak dewasa masih bergantung kepada ibu bapa.
Sesetengah anak bahkan memerlukan bantuan kewangan walaupun telah menamatkan pengajian mereka.
“Faktor tradisi dan budaya juga memainkan peranan. Dalam banyak masyarakat, termasuk Malaysia, anak dianggap bertanggungjawab menjaga ibu bapa.
“Menghantar ibu bapa ke pusat jagaan sering dianggap derhaka, sehingga pilihan penjagaan di luar rumah menjadi terhad, memaksa
generasi dewasa mengurus sendiri,” katanya.
Abu Sufia juga menyatakan tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi turut menyumbang kepada fenomena ini.
Harga rumah, kos pendidikan dan perbelanjaan harian memaksa golongan dewasa bekerja lebih keras untuk menampung keluarga, sekaligus
menambah beban terhadap fizikal dan mental mereka.
Jelas beliau, sistem penjagaan warga emas yang belum mencukupi turut menjadi faktor.
“Rumah orang tua dan pusat jagaan awam atau swasta sering terhad dari segi kapasiti, kualiti perkhidmatan dan kos yang tinggi.
“Kekurangan pilihan penjagaan berkualiti membuatkan generasi dewasa terpaksa terus memikul tanggungjawab di rumah, sekaligus membentuk fenomena generasi sandwic yang semakin meluas,” katanya.
IBU BAPA, ANAK, MANA LEBIH PENTING?
Kos perubatan bagi penyakit kronik kini semakin meningkat, menjadikan penjagaan ibu bapa yang sudah lanjut usia satu cabaran kewangan besar.
Walaupun secara teknikalnya mereka bukan lagi tanggungan sepenuhnya anak-anak yang sudah dewasa, perbelanjaan untuk memastikan mereka mendapat rawatan yang mencukupi tetap tinggi.
Tekanan kewangan menjadi semakin kompleks apabila anak-anak turut memerlukan sokongan berterusan sehingga meningkat dewasa.
Dalam konteks ini, timbul isu siapa lebih penting dan perlu diutamakan? Ibu bapa yang semakin uzur atau anak-anak yang semakin membesar dan memerlukan perhatian lebih besar?
Abu Sufian berkata, dalam hubungan keluarga, keduaduanya iaitu ibu bapa dan anak adalah sama penting. Ibu bapa adalah tunjang keluarga, sumber kasih sayang dan panduan yang membentuk asas kehidupan anak.
Kasih sayang, didikan dan pengorbanan mereka menjadi panduan penting untuk anak membesar dengan nilai dan prinsip yang betul.
Katanya, anak juga memainkan peranan penting dalam kehidupan ibu bapa.
Anak menjadi sumber sokongan, kebahagiaan, dan kadangkala penjaga apabila ibu bapa memasuki usia lanjut.
“Kepentingan satu sama lain tidak boleh diukur secara mutlak. Hubungan antara ibu bapa dan anak bersifat saling melengkapi, dan kesejahteraan keluarga bergantung pada keharmonian generasi.
“Memelihara kasih sayang, komunikasi yang baik dan sokongan antara satu sama lain adalah kunci mengekalkan hubungan yang seimbang dan bermakna,” katanya.
MASALAH KESIHATAN FIZIKAL, MENTAL
Abu Sufian berkata, individu yang memikul tanggungjawab besar dalam generasi sandwic lebih terdedah kepada Sindrom Kelesuan Kronik (CFS).
Menurutnya, kelesuan melampau berlaku secara beransur-ansur, menyebabkan tanda-tanda awalnya sering diabaikan kerana disangka sekadar keletihan biasa atau tekanan sementara.
“Antara gejala awal yang sering tidak disedari ialahperubahan halus dalam corak tidur. Individu mungkin sukar tidur walaupun sangat penat,
atau tidur tetapi tidak berasa segar apabila bangun,” katanya.

Selain itu, sesetengah individu turut mengalami keadaan terjaga secara tiba-tiba dengan perasaan cemas serta fikiran yang sukar dikawal, khususnya berkaitan masalah yang dihadapi.
Beliau berkata, perubahan dalam keupayaan mengurus tugasan harian yang sebelum ini dianggap mudah juga antara petanda CFS. Keupayaan mengutamakan tugas semakin merosot kerana hampir semua perkara dirasakan penting dan mendesak.
“Mereka juga mudah mengalami perubahan emosi, cepat tersinggung, mudah marah dan hilang sabar walaupun terhadap perkara kecil,” katanya.
“Individu yang terpaksa bekerja lebih daripada satu pekerjaan hampir setiap hari secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental dalam masyarakat secara keseluruhan.
“Tekanan berterusan untuk memenuhi keperluan kewangan tiga generasi iaitu ibu bapa, pasangan dan anakanak, sambil mengekalkan prestasi kerja, menggalakkan perkembangan pelbagai masalah psikologi dan emosi,” katanya.
Keadaan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat, malah turut menjejaskan keluarga, komuniti dan masyarakat
secara keseluruhan.
Tekanan yang berpanjangan boleh mencetuskan konflik rumah tangga, gangguan komunikasi dan berpotensi membawa kepada perceraian.
Malah, anak-anak yang masih di peringkat kanakkanak atau remaja juga terdedah kepada risiko masalah kesihatan mental.
Menurutnya, ramai anak daripada keluarga generasi sandwic membesar dengan kebimbangan terhadap masa depan kewangan keluarga
serta perasaan bersalah kerana menganggap diri mereka sebagai beban kepada ibu bapa.
Tanpa contoh keseimbangan yang sihat antara kerja dan kehidupan, anak-anak berisiko membesar dengan perkembangan psikologi yang terganggu serta jangkaan tidak realistik terhadap peranan orang dewasa.
TIADA LANGKAH HAPUSKAN GENERASI SANDWIC
Abu Sufian berkata, fenomena generasi sandwic dijangka berlarutan kerana ketiadaan penyelesaian berkesan, khususnya berkaitan isu penjagaan warga emas serta stigma sosial dan budaya terhadap penempatan ibu bapa di pusat jagaan.
Katanya, Malaysia masih belum mempunyai sistem penjagaan warga emas yang komprehensif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Kemudahan rumah orang tua sedia ada pula berdepan masalah kualiti perkhidmatan yang tidak seragam serta kekurangan kakitangan terlatih.
Kemudahan awam yang dikendalikan kerajaan pula sering mempunyai senarai menunggu panjang dan kriteria kelayakan yang ketat.
Walaupun pusat jagaan swasta menawarkan perkhidmatan berkualititinggi, kos yang terlalu mahal menyukarkan keluarga berpendapatan sederhana untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
“Kekurangan pilihan penjagaan berkualiti dan berpatutan memaksa keluarga memilih antara kemudahan yang tidak memuaskan atau menyediakan penjagaan sendiri di rumah,” katanya.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila ramai warga emas tidak mempunyai simpanan, pencen atau pelaburan mencukupi untuk menyara kehidupan pada usia tua, menyebabkan anak-anak terpaksa menanggung kos sara hidup mereka.
Namun, sekiranya anak-anak memilih untuk menghantar ibu bapa ke pusat jagaan, kebanyakan warga emas akan menolak dan menganggap tindakan tersebut sebagai derhaka.
Situasi ini meletakkangenerasi sandwic dalam keadaan terpaksa terus memikul tanggungjawab berat kerana pilihan penjagaan sedia ada tidak memenuhi tahap dan standard yang mereka harapkan untuk ibu bapa.
Katanya, fenomena ini juga terus berlarutan kerana masyarakat masih berpegang teguh kepada nilai tradisional mengenai tanggungjawab anak terhadap ibu bapa.
“Walaupun dunia berubah pesat dari segi teknologi, ekonomi dan gaya hidup, tanggapan tradisional tentang peranan anak dalam menjaga
ibu bapa masih kukuh dalam masyarakat Malaysia.
“Nilai budaya yang mengutamakan tanggungjawab terhadap keluarga tidak berkembang seiring perubahan struktur ekonomi dan sosial
semasa,” katanya.










