PETALING JAYA: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menyeru semua pihak dalam ekosistem sukan negara supaya menghormati peranan media dan mengamalkan komunikasi profesional ketika berdepan kritikan serta perbezaan pandangan.
Presidennya, Norismadi Abd Manap, berkata media bukan sekadar melaporkan keputusan pertandingan, malah berperanan sebagai penghubung antara atlet, jurulatih, persatuan sukan, agensi kerajaan dan masyarakat dalam menyampaikan perkembangan sukan negara.
“Media bukan sekadar melaporkan keputusan pertandingan, tetapi turut menyampaikan maklumat, pandangan dan perkembangan yang membentuk pemahaman masyarakat terhadap sukan negara.
“Peranan ini perlu dihormati kerana media merupakan sebahagian daripada ekosistem yang menyokong pembangunan sukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan SAM.
Beliau berkata, setiap individu berhak menyuarakan pandangan serta memberikan maklum balas terhadap laporan media, namun perbezaan pendapat perlu ditangani secara matang tanpa kenyataan yang boleh merendahkan martabat individu atau profesion kewartawanan sukan.
SAM menegaskan bahawa laporan media profesional berasaskan fakta dan bukti yang diperoleh menerusi temu bual, kajian serta semakan maklumat. Justeru, sebarang dakwaan mengenai kesilapan fakta wajar disertakan bukti bagi membolehkan pembetulan dibuat secara sewajarnya.
Dalam masa sama, SAM mengingatkan bahawa kepantasan penerbitan berita tidak mengatasi kepentingan ketepatan maklumat, konteks dan prinsip keadilan kepada semua pihak.
Norismadi berkata, rasa tidak puas hati terhadap sesuatu laporan seharusnya disalurkan terus kepada wartawan atau organisasi media terbabit bagi membolehkan penjelasan diberikan dan isu diselesaikan secara profesional.
“Semua pihak perlu menghormati penulisan, pandangan dan kritikan yang dikemukakan secara profesional. Jika ada perkara yang dipertikaikan, kemukakan fakta dan bukti untuk dibincangkan.
“Kritikan boleh dibuat, tetapi biarlah berfokus kepada isu dan disampaikan dengan berhemah, bukannya sehingga merendahkan martabat atau menghina individu,” katanya.
SAM turut menegaskan bahawa menghormati media tidak bermaksud semua pihak perlu bersetuju dengan setiap laporan, sebaliknya hubungan profesional yang sihat menuntut kesediaan menerima kritikan, memberikan penjelasan dan menghormati hak setiap pihak untuk bersuara secara bertanggungjawab.
Sehubungan itu, SAM bersedia menjadi platform perbincangan bagi merapatkan perbezaan pandangan, selain menggesa semua pemegang taruh sukan memperkukuh kerjasama berteraskan fakta, komunikasi berhemah dan sikap saling menghormati demi kemajuan sukan Malaysia.-UTUSAN











