KENCING tidak lawas dalam kalangan kanak-kanak lelaki bukan sahaja menimbulkan kebimbangan ibu bapa, malah boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang memerlukan perhatian awal.
Secara perubatan, kencing tidak lawas atau voiding dysfunction merujuk kepada keadaan kanak-kanak tidak dapat membuang air kecil dengan sempurna atau berlaku kebocoran urin secara tidak sengaja.
Keadaan ini masih dianggap normal sehingga usia tiga hingga empat tahun kerana kawalan pundi kencing belum matang sepenuhnya.
Pakar perunding urologi dan pembedahan robotik dari Hospital Gleneagles Johor, Dr. Zainal Adwin Zainal Abiddin berkata, masalah kencing tidak lawas yang berlarutan selepas selesai latihan tandas perlu diberi perhatian.

“Ada ibu bapa menyangka anak ‘kencing tak habis’, tetapi sebenarnya air kencing itu terkumpul di bawah kulit kulup akibat bukaan yang sempit.
“Selepas kanak-kanak bangun dari tandas, barulah ia menitis perlahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, masalah pada kulup merupakan antara punca paling kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki yang belum disunat.
Dua keadaan utama yang sering dilaporkan ialah phimosis, iaitu kulup terlalu sempit sehingga tidak boleh ditarik ke belakang dan balano-posthitis, keradangan atau jangkitan pada kepala zakar dan kulup yang menyebabkan bengkak serta kesakitan semasa kencing.
Fenomena lain yang dikenali sebagai ballooning juga boleh berlaku, apabila kulup menggelembung ketika kencing kerana urin terperangkap sebelum keluar.
“Ballooning bukan sekadar pelik dari segi rupa, tetapi menunjukkan aliran urin tidak normal dan boleh mengundang jangkitan,” katanya.
Ibu bapa digalakkan memantau beberapa tanda amaran, termasuk anak menangis ketika kencing, aliran urin menitis atau terpancut ke arah pelik, kemerahan atau nanah pada hujung zakar, serta demam tanpa punca jelas yang mungkin menunjukkan jangkitan saluran kencing (UTI).
Jika gejala ini muncul, pemeriksaan doktor adalah langkah terbaik untuk memastikan tiada komplikasi lanjut.
Berkenaan sunat, Dr. Zainal Adwin berkata prosedur ini bukan hanya untuk tujuan agama atau budaya.
“Sunat boleh dilakukan pada usia neonatal dalam 28 hari pertama kerana penyembuhan lebih cepat dan risiko jangkitan kuman menurun sehingga 10 kali ganda.
“Namun, bagi kanak-kanak yang mengalami phimosis patologi atau UTI berulang, sunat digalakkan dijalankan lebih awal tanpa menunggu usia tertentu.
“Jika dibiarkan, jangkitan berulang boleh naik ke buah pinggang dan menjejaskan fungsi renal dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau turut menolak mitos kencing tidak lawas akan hilang dengan sendirinya apabila kanak-kanak membesar.
“Jika masalah itu berpunca daripada phimosis patologi, ia tidak akan sembuh sendiri. Ada yang memerlukan rawatan seperti krim steroid atau sunat.
“Sunat bukan sahaja melancarkan aliran urin tetapi juga mencegah jangkitan kuman dan komplikasi buah pinggang pada masa depan,” katanya.
Justeru, kencing tidak lawas bukan sekadar isu kebersihan atau kelewatan perkembangan, ia boleh menjadi tanda awal kepada masalah anatomi atau jangkitan yang memerlukan pemeriksaan awal oleh pakar.
Pemerhatian ibu bapa dan tindakan segera dapat membantu menentukan rawatan terbaik untuk anak, termasuk intervensi sunat bagi kes-kes yang memerlukannya.










