Al-Buraq makhluk syurga yang bertuah

Al-Buraq makhluk syurga yang bertuah

Sepanjang perjalanan ke al-Masjid al-Aqsa, malaikat Jibril memegang rakap al-Buroq manakala malaikat Mikail pula memegang tali kekang al-Buroq.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM mengetahui kenderaan Rasulullah SAW pada perjalanan dari al-Masjid al-Harom ke al-Masjid al-Aqsa adalah seekor binatang yang tidak wujud di dunia manusia yang dikenali dengan nama al-Buraq.

Sebelum ditunggangi oleh Rasulullah, al-Buraq pernah juga ditunggangi oleh para nabi yang terdahulu. Sebahagian para ulama berpandangan binatang ini dinamakan al-Buraq kerana mengambil sempena kalimah al-Barq yang bermaksud kilat sebagai isyarat kelajuan binatang ini adalah seperti kilat yang laju memancar.

Ada juga yang berpandangan al-Buraq diambil daripada kalimah al-Bariq yang bermaksud cahaya bagi memaklumkan binatang istimewa ini berwarna putih seperti cahaya.

Ciri-ciri fizikal Al-Buraq

Al-Imam Najmuddin al-Ghoytiyy di dalam karya beliau yang berjudul al-Ibtihaj Fi al-Kalam ‘Ala al-Isro’ Wa al-Mi‘roj dengan berdasarkan hadis-hadis yang pelbagai menyatakan ciri-ciri fizikal yang ada pada al-Buraq yang telah menjadi kenderaan Rasulullah pada malam peristiwa al-Isro’.

Menurut beliau; al-Buraq adalah seekor haiwan yang berwarna putih yang panjangnya melebihi panjang keldai namun tidaklah sepanjang ukuran seekor baghal.

Binatang syurgawi ini hampir menyamai rupa baghal namun ia memiliki sepasang sayap yang terletak di peha kedua-dua kaki belakangnya. Panjang telinga kanannya tidak sama dengan panjang telinga kirinya.

Kelajuannya sangat cepat sehingga ia dapat sampai ke mana arah pun yang dilihatnya hanya dengan kecepatan sekelip mata. Apabila ia mendaki gunung, ia akan menegakkan dua kaki belakangnya namun apabila dia ingin turun ke tempat rendah, ia akan menegakkan pula dua kaki hadapannya.

Al-Imam Ibnu Abi Jamroh berpendapat hikmah mengapa Rasulullah dipersilakan menaiki al-Buraq sedangkan Allah berkuasa untuk menjadikan baginda pada malam itu dapat terbang dengan sendirinya kerana sekiranya Allah memberikan kepada baginda kemampuan untuk terbang pada malam tersebut, ini akan menyebabkan baginda seolah-olah berjalan kaki.

Semestinya keadaan berjalan adalah amat berbeza dengan keadaan menaiki binatang tunggangan dari sudut keagungan.

Menurut al-Imam Ibnu Dihyah pula; berkemungkinan hikmah mengapa Rasulullah dipersilakan menaiki al-Buraq adalah untuk memuliakan baginda mengikut kebiasaan masyarakat kerana seorang raja yang agung apabila menjemput orang kenamaan untuk menghadapnya, sang raja akan mengutuskan kenderaan khusus bagi menjadi kenderaan tetamu yang dijemput menghadap raja.

Maka Allah ingin menzahirkan keagungan Rasulullah dengan menyediakan kenderaan khusus buat baginda pada malam tersebut.

Mengapa al-Buraq seperti baghal?

Al-Imam Najmuddin al-Ghoyti menyatakan ada dua kemungkinan hikmah mengapa Allah menjadikan al-Buraq berbentuk baghal dan bukannya kuda.

Pertama: Oleh kerana kuda digunakan bagi tujuan perang manakala baghal pula bukanlah binatang perang, maka ini adalah satu isyarat perjalanan malam yang sangat menakjubkan ini adalah satu perjalanan yang selamat dan bukannya perjalanan yang berbahaya.

Kedua: Allah mahu menunjukkan kekuasaannya yang mampu menjadikan al-Buraq yang bertubuh kecil mampu terbang dengan begitu pantas sedangkan secara kebiasaannya seekor baghal tidak mampu berlari kencang berbeza dengan kuda.

Al-Imam Najmuddin al-Ghoyti juga sengaja menimbulkan persoalan mengapa Rasulullah tidak dibawa berjalan dengan menaiki para malaikat yang bersayap? atau dengan menggunakan angin yang bertiup kencang seperti Nabi Sulaiman yang akan pergi ke satu tempat yang jauh dengan dibawa oleh angin yang kencang?

Lalu al-Imam Najmuddin al-Ghoyti selanjutnya menjelaskan hikmah mengapa al-Buraq yang menjadi tunggangan baginda dan bukannya para malaikat, angin dan kelajuan langkahan kaki adalah untuk menunjukkan keajaiban-keajaiban yang terjadi sepanjang malam tersebut.

Ini kerana sekiranya Rasulullah bergerak dengan bantuan sayap malaikat atau angin, maka ini akan menghilangkan sifat keajaiban pada kenderaan baginda kerana para malaikat memang mampu bergerak dengan cepat manakala angin juga dapat bergerak pantas.

Namun apabila al-Buraq yang secara saiznya tidak memungkinkan ia berjalan laju tiba-tiba mampu bergerak sejauh mata memandang hanya dengan satu detik, ini menunjukkan kekuasaan Allah yang mampu mengubah hukum kebiasaan kepada keluarbiasaan.

Sepanjang perjalanan ke al-Masjid al-Aqsa, malaikat Jibril memegang rakap al-Buraq manakala malaikat Mikail pula memegang tali kekang al-Buroq. Ini juga bagi menzahirkan keagungan Rasulullah sehingga dua malaikat teragung ini turut berkhidmat mengiringi baginda dan menunggang al-Buroq menuju ke al-Masjid al-Aqsa.

Semestinya nilai keagungan ini sangat tinggi berbanding sekiranya Rasulullah ke al-Aqsa dengan berpaut terus kepada sayap atau jasad malaikat.

Al-Buroq sukar ditunggangi Rasulullah

Setelah dada dan jantung Rasulullah dibelah dan ditaupkan semula di Hijr Nabi Ismail, baginda dibawa pula ke pintu masjid (pintu Kaabah) lalu baginda mendapati al-Buraq sudah ada di sana lengkap dengan rakap dan hamparan.

Maka setelah baginda dipersilakan naik ke atas al-Buraq, binatang ini agak susah untuk dinaiki oleh baginda. Maka malaikat Jibril telah meletakkan tangannya ke atas bulu yang ada di tengkuk al-Buraq lalu berkata: “Tidakkah kamu malu wahai Buraq?! Maka demi Allah. Tidak ada sebarang makhluk pun yang pernah menunggangmu yang lebih mulia di sisi Allah melebihi baginda”.

Lalu al-Buraq merasa malu sehingga peluhnya berguguran. Ia pun berdiri tetap sehingga dapat ditunggangi oleh Rasulullah.

Para ulama ketika memerhatikan hikmah kepayahan al-Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah mempunyai beberapa pandangan.

Pertama: Al-Imam Ibnu Battol telah berpandangan sikap al-Buraq ini berpunca disebabkan ia sudah lama tidak ditunggangi oleh para nabi sehingga dia agak liar apabila ingin ditunggangi oleh Rasulullah.

Kedua: Al-Imam Najmuddin al-Ghoytiyy menyatakan sebahagian ulama terkemudian berpandangan bahawa kepayahan al-Buraq saat ingin ditunggangi oleh Rasulullah adalah kerana ia merasa amat malu kepada Rasulullah yang merupakan makhluk termulia.

Maka sikap hormat dan malunya kepada Rasulullah menyebabkan ia terketar-ketar saat ingin ditunggangi oleh baginda sehingga menyukarkan Rasulullah untuk menungganginya.

Keagungan dan kewi­bawaan yang ada pada Rasulullah sehingga menyebabkan al-Buraq bergetaran saat ingin ditunggangi oleh baginda juga pernah berlaku kepada gunung Uhud saat Rasulullah pada satu ketika berada di atas gunung ini bersama-sama dengan Saidina Abu Bakr, Saidina Umar dan Saidina Uthman.

Lalu keberadaan baginda di atasnya menyebabkan si gunung Uhud telah bergetaran dan bergegar dek kerana gah dan keagungan Rasulullah. Lalu baginda terus menghentakkan kaki baginda yang mulia ke atas gunung Uhud seraya bersabda: “Tetaplah wahai Uhud kerana tidaklah yang berada di atasmu melainkan seorang nabi atau seorang al-Siddiq (yang sangat mempercayai) atau dua orang yang mati syahid”.

Ketiga: Al-Imam Badruddin al-‘Ayniyy di dalam kitab ‘Umdah al-Qori Sharh Sohih al-Bukhoriyy pernah menyatakan beliau telah mendengar daripada guru-gurunya yang dipercayai menyatakan sebab mengapa al-Buraq agak susah pada awalnya untuk ditunggangi oleh Rasulullah kerana ia mahu baginda berjanji kepadanya yang baginda akan menungganginya pada hari kiamat nanti.

Maka setelah Rasulullah berjanji yang baginda akan menunggangi al-Buraq pada hari kiamat, barulah al-Buraq tenang lalu dapat ditunggangi oleh baginda pada malam al-Isro’.

(bersambung)

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN