Para pencinta Rasulullah SAW pasti sangat merindui detik-detik mendirikan solat di Masjid Nabawi yang sinonim dengan junjungan besar Nabi Muhammad.
Pelbagai sejarah Baginda sama ada suka dan duka berlaku dalam masjid ini dan kawasan sekitarnya.
Namun mungkin ramai yang tidak mengetahui kisah awal pembinaan masjid agung ini.
Apabila Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah tiba di perkampungan Banu Ghonm atau turut dikenali sebagai Banu Malik, unta Baginda berhenti berjalan lalu duduk enggan berganjak.
Ini adalah satu isyarat yang Rasulullah SAW diminta oleh Allah untuk menetap di lokasi tersebut.
Lalu Baginda membeli tanah tersebut yang merupakan tempat jemuran kurma dengan harga 10 dinar.
Tanah tersebut dimiliki oleh dua anak yatim iaitu Saidina Sahl bin ‘Amr al-Najjariyy dan Saidina Suhayl bin ‘Amr al-Najjariyy.
Setelah tanah itu diratakan, Rasulullah SAW dan para sahabat mula membina sebuah masjid yang akhirnya dikenali sebagai Masjid Madinah atau Masjid Nabawi.
Tiang-tiang masjid menggunakan batang kurma manakala dindingnya diperbuat daripada batu-bata yang diperbuat daripada tanah yang tidak dibakar manakala atapnya pula adalah pelepah kurma yang diletakkan pula di atasnya tikar yang ditutup dengan tanah.
Tiang-tiang masjid dibina menggunakan batang kurma, manakala dindingnya pula diperbuat daripada batu-bata tanah yang tidak dibakar.
Atapnya berasaskan pelepah kurma yang dilapisi tikar, sebelum ditutup dengan tanah.
Saiz awal
Masjid Nabawi yang dibina oleh Rasulullah SAW dan para sahabat tidaklah sebesar pada hari ini.
Panjangnya dari arah utara ke selatan hanyalah 70 hasta (35 meter) diikuti lebar dari arah timur ke barat adalah 60 hasta (30 meter).
Dindingnya pula setinggi 4 hasta (2 meter).
Ketinggian setiap batang kurma yang dijadikan tiang masjid hanyalah 5 hasta (2.5 meter).
Di awal pembinaannya, kiblat masjid ini menghadap utara iaitu ke arah Masjid al-Aqsa.
Ketika itu, ia mempunyai tiga pintu sahaja iaitu di belakang yang menghadap ke arah Masjidil Haram diikuti bahagian kiri (Bab ‘Atikah atau Bab al-Rohmah) dan kanan (Bab Saidina ‘Uthman atau Bab Jibril).
Namun, apabila kiblat bertukar ke Masjidil Haram pada Jumaat, 15 Shaaban tahun ke-2 Hijrah bersamaan 10 Februari tahun 624 Masihi, Rasulullah SAW menutup pintu belakang lalu dinding masjid yang setentang dengannya dipecahkan.
Lantas bukaan tersebut dijadikan sebagai pintu bahagian belakang masjid yang menghadap ke arah Masjid al-Aqsa
Peluasan masjid
Setelah Peperangan Khaibar pada bulan Muharram tahun ke-7 Hijrah, bilangan orang yang memeluk Islam semakin bertambah sehingga ruang Masjid Nabawi sesak.
Maka Saidina ‘Uthman bin ‘Affan membeli tanah di sekelilingnya dan masjid ini diluaskan sehingga panjangnya dari arah utara ke selatan adalah 100 hasta (50 meter) dengan pertambahan sebanyak 30 hasta (15 meter).
Lebarnya pula bertambah sebanyak 40 hasta (20 meter) menjadi 100 hasta (50 meter) dari timur ke barat.
Dinding turut ditinggikan daripada 4 hasta (2 meter) kepada 7 hasta (3.5 meter).
Tiang-tiang masjid daripada batang kurma ditinggikan lagi kepada 9 hasta (4.5 meter) berbanding sebelumnya, 5 hasta (2.5 meter).
Sesiapa yang berada di kawasan depan Masjid Nabawi kini akan dapat melihat had asalnya pada era Rasulullah SAW selepas pembukaan kota Khaibar dengan melihat deretan tiang yang tertulis haddu Masjid al-Nabiyy ‘Alayhissalam yang bermaksud had Masjid Nabi ‘Alayhissalam.
Pahala solat melebihi 1,000 solat di tempat lain
Mendirikan solat di Masjid Nabawi dijanjikan pahala lebih daripada 1,000 solat di masjid-masjid selain Masjidil Haram.
Hadis diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya melalui jalur sanad beliau:
Daripada [Saidina] ‘Abdulloh bin al-Zubayr, beliau telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Solat di dalam masjidku ini adalah lebih bagus daripada seribu solat di dalam apa sahaja [masjid] daripada masjid-masjid selain masjidku kecuali al-Masjid al-Harom. Solat di dalam al-Masjid al-Harom [pula] adalah lebih bagus daripada seratus solat di dalam [masjidku] ini.”
Walaupun hadis ini secara zahirnya menunjukkan solat dalam al-Masjidil Haram adalah lebih berpahala daripada al-Masjid Nabawi, namun sebaliknya menurut guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy.
Katanya, mendirikan solat dalam Masjid Nabawi sebenarnya lebih berpahala daripada Masjidil Haram.
Menurut beliau, pada awalnya pahala mendirikan satu solat dalam Masjidil Haram adalah melebihi 100 solat dalam Masjid Nabawi sebagaimana yang jelas tertera dalam hadis di atas.
Namun Rasulullah SAW akhirnya berdoa kepada Allah agar menjadikan pahala di bumi Madinah menyamai dua kali ganda pahala di Mekah sebagaimana dinyatakan oleh hadis riwayat
Imam Bukhari melalui jalur sanad beliau: Daripada [Saidina] ’Anas -[semoga] Allah telah meredai beliau-, daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: “Ya Allah. Jadikanlah di al-Madinah dua kali ganda apa sahaja yang Dikau jadikan di Mekah daripada keberkatan.”
Lalu menurut Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy, apabila doa Rasulullah SAW kebiasaannya akan dimakbulkan oleh Allah, maka ini bermakna satu solat dalam Masjid Nabawi selepas doa di atas dimakbulkan oleh Allah adalah melebihi 200,000 solat dalam Masjidil Haram dan juga melebihi 200 juta solat yang dilakukan di mana sahaja masjid selain Masjidil Haram.
Kiraan ini adalah seperti berikut: 1,000 solat (satu solat di Masjid Nabawi melebihi 1,000 solat di tempat lain pada asalnya) dikalikan dengan seratus solat dalam Masjidil Haram (satu solat dalam Masjidil Haram melebihi 100 solat di Masjid Nabawi pada asalnya) dan dikalikan dengan dua kali ganda sebagaimana yang didoakan oleh Rasulullah SAW.
Maka, natijahnya adalah satu solat di Masjid Nabawi menyamai 200,000 solat di Masjidil Haram dan melebihi 200 juta solat di tempat lain.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










