SEJAK diperkenalkan pada abad ke-19, fotografi dianggap sebagai medium untuk merakam kebenaran dan realiti secara objektif.
Namun, ia tidak pernah bebas daripada campur tangan manusia.
Manipulasi imej berkembang seiring kemajuan teknologi visual, mencerminkan keinginan manusia untuk mengawal penceritaan dan persepsi melalui gambaran yang dirakam.
Pada peringkat awal, jurufoto menggunakan pelbagai teknik asas seperti menggabungkan beberapa dedahan, memotong serta menyambung cetakan bagi menghasilkan imej lebih meyakinkan.

Dalam konteks sejarah dan politik, manipulasi ini menjadi alat strategik untuk membentuk naratif tertentu.
Semasa Perang Saudara Amerika, imej komposit digunakan bagi mencipta kesan dramatik, manakala tokoh seperti Benito Mussolini dan Joseph Stalin memanfaatkan manipulasi fotografi sebagai propaganda dengan memadam individu tertentu daripada gambar rasmi demi mengekalkan imej kekuasaan.
Menurut pensyarah kanan Jabatan Fotomedia Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Zahir Alauddin Abd. Hamid, manipulasi fotografi sejak awal tidak pernah bersifat neutral.
Katanya, fotografi berfungsi sebagai medium komunikasi yang dipengaruhi oleh ideologi, kuasa dan konteks sosial.

Oleh itu, manipulasi imej tidak wajar dilihat semata-mata sebagai penipuan visual, sebaliknya sebagai refleksi usaha manusia mengawal dan membentuk penceritaan.
Memasuki abad ke-20, jelasnya, teknik bilik gelap seperti dodging, burning dan penggunaan airbrush menjadikan manipulasi semakin diterima sebagai sebahagian daripada proses kreatif.
Revolusi digital pada akhir abad ke-20 melalui perisian seperti Adobe Photoshop pula membuka ruang lebih luas kepada khalayak untuk melakukan suntingan imej tanpa kebergantungan kepada kemahiran tradisional.

Kemunculan internet seterusnya mempercepatkan penyebaran imej yang dimanipulasi, sekali gus mencabar kepercayaan masyarakat terhadap kesahihan visual.
Dalam era semasa, teknologi kecerdasan buatan (AI) membolehkan imej dijana dan diubah hanya melalui arahan teks.
Perkembangan ini, menuntut tahap literasi visual dan etika yang lebih tinggi kerana fotografi kini bukan sekadar rakaman realiti, tetapi alat berpengaruh yang mampu membentuk pemahaman dan persepsi masyarakat.
-Penulis adalah pensyarah kanan, Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Perak










