GERIMIS menyambut ketibaan saya di TREC Kuala Lumpur, menjadikan makan malam yang dijadualkan pukul 6.30 petang ditangguhkan ke pukul 7 malam.
Rasa risau awalnya. Bimbang hujan lebat menghalang saya daripada mencuba pengalaman unik ini, Dinner in the Sky (DIS) iaitu makan malam sambil menikmati keindahan ibu kota dari ketinggian 150 kaki atau 50 meter daripada atas tanah.
Namun, sejak pelancarannya pada November lalu, pihak penganjur memaklumkan tidak pernah lagi sesi makan malam itu dibatalkan atas alasan hujan lebat.
Menikmati DIS kali ini terasa lebih santai berbanding pengalaman 10 tahun lalu sewaktu ia dianjurkan di tempat letak kereta Menara Kuala Lumpur.
Waktu itu pelbagai rasa datang. Rasa kecut perut, cuak dan gayat, maklumlah pengalaman pertama.
Tetapi kali ini rasa itu seakan hilang, digantikan keterujaan. Barangkali atas sebab itulah ia menjadikan pengalaman menikmati hidangan sambil menikmati memandang panorama ibu kota dari ketinggian 150 kaki atau 50 meter dari atas tanah kali ini, lebih seronok.
DIS mendapat nama daripada reka bentuknya yang menggunakan platform yang digantung kepada kren dan boleh ubah. Bentuknya yang boleh diubah, membolehkan kita menikmati pemandangan Kuala Lumpur pada 360 darjah yang menakjubkan.

Tetamu dijemput mengikut giliran ke ‘meja makan’ berupa platform, sebelum kru memasang tali keselamatan kepada semua tetamu. Platform yang dilengkapi 22 kerusi ini, dinaikkan secara perlahan-lahan dan boleh berubah posisi bagi membolehkan tetamu mengambil gambar daripada pelbagai posisi.
Disebabkan ruang terhad, hanya beg tangan kecil dibenarkan, tetapi tempat penyimpanan ada disediakan secara percuma bagi kemudahan tetamu.
Di udara, tetamu dihidangkan sajian lengkap daripada sup, menu utama, hingga pemanis mulut hasil cef dari restoran Ceylon House, di bawah Cinnamon Group yang berpengalaman.
Cef bukan sahaja menyediakan hidangan tetapi turut membantu tetamu merakam gambar kenangan, memastikan pengalaman kita lebih sempurna. Setiap suapan ke mulut, ‘sempurna’ lantaran keenakan rasanya sambil ditemani pemandangan malam kota batu yang sukar dilupakan.

Kemunculan semula DIS bukan sekadar pengalaman makan malam ekstrem, tetapi menyambut kehadiran pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dengan konsep eksklusif, DIS memberi peluang kepada syarikat korporat dan penganjur acara menempah sesi khas, menjadikannya platform ideal untuk pelancaran produk, majlis istimewa, atau sambutan romantik yang ingin diabadikan di langit Kuala Lumpur.
Bagi pengunjung, pengalaman makan malam di udara bukan sekadar mencabar adrenalin, tetapi turut menawarkan peluang menikmati keindahan bandaraya dari perspektif berbeza. Ia mencipta pengalaman makan malam ekstrem tetapi boleh dinikmati dengan penuh selesa dan bergaya. – UTUSAN










