Ramai isteri tidak berani mengaku, tetapi hakikatnya ramai yang pernah hilang ghairah terhadap suami sendiri.
Bukan kerana tidak sayang atau kewujudan orang ketiga, tetapi kerana mula terasa jauh dengan lelaki yang suatu ketika dahulu begitu menawan dan penuh pesona.
Antara puncanya? Perut boroi suami.
Kaunselor Perkahwinan, Mohd. Redzuan Zamberi berkata, isu ini jauh lebih dalam daripada sekadar soal fizikal.
Ia menyentuh usaha, emosi dan harga diri seorang lelaki.
Katanya, bentuk fizikal pasangan memberi kesan besar terhadap tarikan dan keintiman.
Ramai suami tidak sedar penampilan diri sebenarnya juga bahasa cinta.
Apabila isteri masih menjaga diri, kekal kemas dan wangi tetapi suami pula semakin tidak peduli, lama-kelamaan rasa itu pudar.
Isteri bukan mahu suami berperut rata atau berbadan sasa, tetapi hanya mahu melihat suami masih berusaha menjaga diri seperti zaman bercinta.
“Dalam banyak kes yang saya kendalikan, isteri bukan marah sebab suami boroi semata-mata. Dia cuma rasa tawar hati apabila suami tidak berusaha. Dahulu semasa bercinta, kemas dan segak.
“Sekarang malas hendak keluar, cepat letih dan berpakaian ala kadar sahaja. Lama-lama isteri rasa macam hidup dengan orang asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kebanyakan yang menghadapi masalah sebegini adalah perkahwinan yang berusia lima tahun dan ke atas di mana suami sudah berasa terlalu selesa.
Apabila keadaan ini berlarutan, hubungan suami isteri berubah tanpa disedari.
Perbualan makin hambar, tidur berasingan dan keintiman makin pudar.
“Pillow talk pun sudah tidak ada. Semua yang dibual cuma rutin harian. Jadi, isteri rasa terperangkap, tidak tahu hendak teruskan hubungan atau berhenti.
“Lagi pula apabila suami tidak jaga penampilan, misalnya berbadan besar, mereka selalunya cepat letih dan hendak baring sahaja. Maka, aktiviti atau kemesraan bersama isteri pun sama berkurang,” katanya.

CINTA TIDAK KENAL RUPA?
Ada yang berpegang pada kata-kata ‘cinta sejati tidak tengok rupa’.
Namun daripada sudut psikologi, kenyataan itu tidak sepenuhnya benar.
Tarikan visual tetap memainkan peranan penting dalam perkahwinan.
“Ghairah bermula dari mata. Hati datang kemudian. Lelaki biasanya lebih visual, suka melihat isteri cantik dan menarik tetapi jarang pula menilai penampilan sendiri dari kaca mata isteri.
“Wanita pula cenderung beremosi dan apabila melihat suami tidak lagi berusaha, emosi itu mula surut,” ujarnya.
Tambah Redzuan, hubungan yang sihat memerlukan keseimbangan. Isteri tidak menuntut kesempurnaan, tetapi mahu suami tampil segak dan kemas, sekadar sedap mata memandang.
Itu sudah cukup memberi kesan besar kepada keintiman.
Apabila fizikal suami berubah misalnya perut boroi, cepat letih atau nampak lesu, isteri bukan hanya nampak perubahan luaran, tetapi turut menilai makna di sebaliknya.
Bagi isteri, ia bagaikan petanda suami sudah tidak menjaga diri, tidak romantik dan hilang daya usaha dalam hubungan.
“Namun apabila isteri menegur, ramai suami cepat tersinggung.
“Mereka rasa dihina, sedangkan niat isteri sebenarnya kerana sayang. Sebab itu kadangkala isteri ambil inisiatif berjumpa dengan kaunselor kerana mereka perlukan orang tengah untuk bercakap mengenai hal ini,” jelasnya.
BOROI TANDA BAHAGIA?
Lebih membimbangkan, ada yang menganggap ‘boroi tanda bahagia.’
Kata Redzuan, itu hanyalah mitos budaya. Dalam psikologi, ia adalah bentuk penafian bagi kaum lelaki.
“Kita panggil ini sebagai self-defense mechanisms. Sebenarnya dia tahu, cuma tidak mahu mengaku.
“Lelaki yang menjaga penampilan bukan sahaja nampak menarik, malah lebih yakin, lebih bertenaga dan lebih romantik.
Bila ditanya sama ada hilang ghairah tanda masalah komunikasi, kata Redzuan, dalam rumah tangga, komunikasi bukan sekadar percakapan.
Ada komunikasi tanpa suara iaitu melalui sentuhan, pandangan, nada dan bahasa tubuh.
Apabila semua itu hilang, isteri mula terasa kosong, sementara suami pula menyangka isteri berubah.
Sedangkan, kedua-duanya telah kehilangan bahasa keintiman.
Ramai juga suami salah faham apabila isteri mula menjaga diri atau tampil menarik. Ada yang cepat cemburu, mula menuduh isteri berubah sedangkan isteri sebenarnya hanya mahu meraih semula perhatian lama.
Tegur dengan cara berhemah, elak perbalahan
Cara menegur suami yang mula mengabaikan penampilan diri juga memainkan peranan besar.
Kata Redzuan, bagi isu sensitif seperti bentuk badan, nada dan cara lebih penting daripada isi.
Sentuh hati dahulu sebelum menyentuh isu.
Gunakan bahasa ‘kita’, bukan ‘awak’.
Bercakap dengan kasih dan bukan dengan kritikan.
Kebanyakan kes, perbalahan yang terjadi hanya berpunca daripada cara isteri menegur bentuk tubuh atau penampilan si suami.
Salah faham yang terjadi akhirnya membuatkan hubungan menjadi lebih renggang.
“Cuba cakap begini, ‘Sayang, saya perasan kebelakangan ini awak cepat letih. Saya risau kesihatan awak. Apa kata kita jaga diri sama-sama, saya teman awak’.
“Nada sebegitu menyentuh hati dan menunjukkan sokongan, bukan celaan. Ada juga cara bergurau manja yang boleh melembutkan ego lelaki.
“Misalnya, ‘Abang, perut ini comel… tetapi kalau kecil sedikit sahaja, saya rasa lagi seronok hendak peluk lama-lama’,” katanya.
Bagi Redzuan, jenaka lembut dan sentuhan kasih jauh lebih berkesan daripada perbandingan atau sindiran.
“Kalau isteri bandingkan dengan orang lain, memang suami akan menolak. Lelaki tidak suka dibandingkan dengan sesiapa pun waima bapa atau adik-beradiknya sendiri.
“Bandingkan dengan diri suami yang dahulu sahaja. Lelaki hanya akan bersaing dengan diri sendiri,” katanya.
Dalam banyak sesi kaunseling, kata Redzuan, lelaki mudah putus semangat apabila perubahan dirasakan terlalu besar.
“Contohnya, isteri dia memang cantik dan kurus sebab selalu aktif dan buat aktiviti-aktiviti senaman secara berkala.
“Jadi, suami rasa mustahil untuk ikut jejak langkah isteri yang mungkin pada dia terlalu ekstrem.
“Di sinilah peranan isteri untuk bagi semangat suami lakukan perubahan walaupun sekecil-kecil anak,” sarannya.
Perubahan kecil sudah mencukupi daripada tiada langsung.
“Tidak perlu terus ke gim atau diet ketat. Cukup mula dengan berjalan 10 hingga 20 minit setiap hari, kurangkan minuman manis dan pakai wangian sebelum tidur.
“Langkah kecil yang konsisten akan menaikkan keyakinan diri dan apabila keyakinan naik hubungan pun akan kembali segar,” katanya.
Pasangan perlu menjadikan perubahan itu sebagai projek berdua.
Apabila isteri menemani suami berjogging, masak makanan sihat atau berjalan petang bersama, suami akan rasa ditemani dan bukan diadili.
Boleh juga sediakan minuman kesihatan setiap kali suami bersenam supaya mereka rasa sokongan isteri.
Apabila suami rasa disokong, dia lebih bersemangat untuk terus berusaha.
Namun, Redzuan mengingatkan tarikan isteri sebenarnya bukan bergantung kepada perut suami semata-mata, tetapi pada aura maskulin yang dimilikinya.
Aura maskulin bukan hanya tentang fizikal, tetapi tentang keyakinan, kewibawaan dan kehadiran.
“Jaga bau badan, kemaskan rambut, bercakap dengan nada yakin, beri pujian pada isteri kerana semua ini membina aura maskulin.
“Apabila aura itu naik, ghairah isteri akan datang semula,” ujarnya.
Dalam masa sama, suami perlu memahami teguran isteri bukan serangan terhadap maruah lelaki.
“Suami kena ubah perspektif. Jangan fikir isteri hina kita, tetapi fikir dia mahu kita terus kuat dan sihat untuk dia. Apabila suami faham niat itu, dia lebih mudah berubah,” jelasnya.
Walaupun banyak nasihat ditujukan kepada suami, Redzuan mengakui isteri turut memainkan peranan besar memupuk kembali ghairah dan keintiman.
Isteri perlu lebih bijak menyentuh hati suami, bukan hanya melalui kata-kata, tetapi dengan perhatian dan pujian kecil yang mampu menyentuh ego lelaki dengan lembut.
Kesimpulannya, isu suami boroi bukanlah isu fizikal semata-mata, tetapi isu harga diri dan komunikasi yang hilang keseimbangan dan akhirnya memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga.
Ia bukan tentang saiz perut, tetapi tentang sejauh mana kedua-dua pasangan masih berusaha menarik perhatian dan menghargai satu sama lain.
“Ghairah itu tidak pernah hilang. Ia cuma ‘tertidur’. Ia akan bangkit semula apabila hati disentuh, apabila perhatian diberikan dan apabila usaha kembali seimbang,” ujarnya menutup bicara.
Perubahan bentuk badan itu perkara biasa.
Tetapi yang luar biasa ialah apabila dua hati tetap memilih untuk terus mencintai dan berusaha walau masa dan tubuh sudah berubah.
Dalam cinta sejati, usaha itu sendiri adalah bukti sayang yang sebenar.-UTUSAN










