Minyak mahal belum tentu beri manfaat bersih kepada Malaysia 

Minyak mahal belum tentu beri manfaat bersih kepada Malaysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mungkin meraih hasil petroleum dan pendapatan eksport lebih tinggi susulan kenaikan harga minyak mentah Brent melebihi AS$107 (RM436.83) setong, namun keadaan itu tidak semestinya memberikan manfaat bersih yang lebih besar kepada ekonomi negara.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, sebagai negara pengeluar minyak dan gas asli cecair (LNG), Malaysia sememangnya mempunyai kelebihan apabila harga petroleum meningkat, tetapi pada masa sama perlu berdepan kesan rantaian daripada kenaikan kos tenaga.

Katanya, harga minyak yang tinggi boleh meningkatkan kos pengangkutan, logistik, makanan dan input industri, selain memberi tekanan kepada perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan.

“Harga Brent melebihi AS$107 setong merupakan perkembangan yang perlu diberi perhatian kerana kesannya kepada Malaysia bersifat dua hala.

“Sebagai negara pengeluar minyak dan LNG, Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan hasil petroleum dan eksport. 

“Tetapi pada masa yang sama, harga minyak yang tinggi meningkatkan kos pengangkutan, logistik, makanan dan input industri serta memberi tekanan kepada subsidi bahan api kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Barjoyai, kesan bersih kenaikan harga minyak perlu dinilai dengan mengambil kira bukan sahaja pertambahan hasil petroleum, tetapi juga peningkatan kos yang ditanggung kerajaan, syarikat dan isi rumah.

“Malaysia mungkin mendapat lebih banyak hasil daripada minyak mahal, tetapi itu tidak bermakna rakyat dan ekonomi Malaysia mendapat manfaat bersih yang lebih besar kerana sebahagian keuntungan tersebut boleh kembali keluar melalui subsidi, kos import, inflasi dan kos pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, keadaan pasaran minyak ketika ini pula lebih banyak dipengaruhi risiko gangguan bekalan dan ketegangan geopolitik berbanding kekuatan permintaan global.

“Kenaikan inventori minyak mentah Amerika Syarikat sebanyak 7.1 juta tong menunjukkan terdapat faktor yang boleh mengehadkan kenaikan harga dalam jangka pendek.

“Namun, selagi risiko gangguan bekalan di Asia Barat berterusan, pasaran akan terus mengenakan premium risiko,” katanya.

Barjoyai berkata, perkembangan inventori AS itu tidak semestinya bermakna harga minyak akan terus menurun kerana pasaran turut mengambil kira risiko kehilangan bekalan pada masa hadapan.

“Keadaan itu menyebabkan harga Brent ketika ini dipengaruhi dua kuasa yang bertentangan, iaitu peningkatan inventori dan pengeluaran AS yang boleh menekan harga, manakala risiko gangguan bekalan pula menyokong harga pada paras lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Barjoyai berkata, sekiranya Brent kekal sekitar AS$100 (RM408.25) hingga AS$110 (RM449.27) setong untuk beberapa bulan, cabaran utama Malaysia bukan semata-mata tekanan inflasi tetapi keperluan mengimbangi perlindungan kos sara hidup dengan disiplin fiskal.

Katanya, subsidi bahan api boleh menyerap sebahagian kenaikan harga bagi pengguna dalam jangka pendek, tetapi kos berkenaan akhirnya perlu ditanggung kerajaan.

“Jika Brent kekal sekitar AS$100 hingga AS$110 untuk beberapa bulan, cabaran terbesar Malaysia bukan semata-mata inflasi tetapi pertukaran antara perlindungan kos sara hidup dengan disiplin fiskal.

“Subsidi boleh menyerap sebahagian kenaikan harga untuk pengguna, tetapi kosnya berpindah kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka sederhana, kerajaan perlu memastikan subsidi benar-benar bersasar dan kebocoran dikurangkan, selain menggunakan tambahan hasil petroleum untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.

“Yang paling penting ialah memastikan subsidi benar-benar bersasar, mengurangkan kebocoran dan pada masa yang sama menggunakan tambahan hasil petroleum untuk mengukuhkan kedudukan fiskal, bukannya menganggap harga minyak tinggi sebagai sumber pendapatan kekal,” katanya.

Barjoyai berkata, tempoh harga minyak berada pada paras tinggi juga penting dalam menentukan kesannya terhadap ekonomi.

“Brent pada AS$107 untuk beberapa minggu berbeza dengan AS$107 untuk enam bulan. Semakin lama harga tinggi bertahan, semakin meluas kesannya kepada kos pengeluaran, kos sara hidup dan kedudukan fiskal,” katanya.

Beliau berkata, justeru, Malaysia perlu melihat kenaikan harga minyak bukan sekadar daripada sudut tambahan hasil petroleum, tetapi berdasarkan kesan keseluruhan kepada ekonomi.

“Persoalannya bukan hanya berapa banyak hasil tambahan yang diperoleh daripada minyak mahal, tetapi berapa banyak daripada hasil itu yang kekal sebagai manfaat bersih kepada ekonomi Malaysia selepas mengambil kira subsidi, kos import, inflasi dan kos pengeluaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×