KLIA seragam caj masuk e-hailing kepada RM2

KLIA seragam caj masuk e-hailing kepada RM2

KENDERAAN e-hailing yang memasuki Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 kini dikenakan caj RM2 untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyeragamkan caj kemasukan kenderaan e-hailing kepada RM2 termasuk cukai di Terminal 1 dan Terminal 2, berkuat kuasa 16 September 2026.

Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), penyeragaman itu menyaksikan caj berkenaan diturunkan daripada RM3 di Terminal 1 dan RM2.16 di Terminal 2 sebelum ini, sekali gus memberikan kadar yang sama bagi perkhidmatan pengambilan penumpang e-hailing di kedua-dua terminal.

Langkah itu bertujuan memberikan kadar yang lebih jelas dan konsisten kepada penumpang serta pengendali e-hailing, selain melancarkan proses pengambilan penumpang di KLIA.

Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA, Abd Hasman Abd Muhimin berkata, penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan e-hailing mencerminkan komitmen pengendali lapangan terbang untuk meningkatkan pengalaman keseluruhan penumpang, selain memastikan operasi lebih teratur, cekap dan responsif terhadap keperluan semasa.

“Di KLIA, setiap aspek perjalanan penumpang penting, termasuk pengalaman ketika menuju ke dan meninggalkan lapangan terbang.

“Dengan menyediakan ruang menunggu dalaman yang selesa kepada penumpang serta tempoh masa yang lebih jelas kepada pemandu, kita melihat pematuhan lebih baik, pergerakan kenderaan lebih pantas dan aliran trafik yang lebih lancar,” katanya.

Menurut beliau, ruang pengambilan penumpang kini dapat dikosongkan dengan lebih cepat, manakala penumpang tidak lagi perlu menunggu di bahu jalan yang sesak.

Katanya, disiplin operasi dan pematuhan akan terus menjadi aspek penting bagi memastikan pengalaman yang teratur dan selesa kepada semua pengguna kemudahan KLIA.

“Kami menghargai kerjasama pengendali e-hailing dan pemandu ketika kami terus menambah baik operasi darat di KLIA,” katanya.

Sementara itu, kemudahan e-hailing yang dipertingkatkan di Terminal 1 sejak Ogos lalu menunjukkan peningkatan prestasi operasi yang ketara.

Dalam tempoh sebulan pelaksanaannya, sebanyak 99.3 peratus pemandu e-hailing kini berjaya mengambil penumpang dan meninggalkan kawasan berkenaan dalam tempoh kelonggaran 10 minit yang ditetapkan, berbanding hanya 49.4 peratus sebelum ini.

Pada masa sama, jumlah kenderaan harian yang memasuki lorong pengambilan penumpang berkurangan 13.5 peratus, daripada 8,124 kepada 7,024 kenderaan.

Perkembangan itu menunjukkan kawalan operasi e-hailing yang lebih baik dengan pengurangan aktiviti tanpa kebenaran, pergerakan kenderaan yang tidak diperlukan serta tempoh kenderaan berhenti terlalu lama, tanpa menjejaskan akses bagi pengambilan penumpang yang sah.

Sistem yang dipertingkatkan itu turut meningkatkan kapasiti pemprosesan ketika waktu puncak daripada 302 kepada sehingga 660 kenderaan sejam, sekali gus membolehkan pergerakan kenderaan lebih pantas dan melancarkan proses pengambilan penumpang ketika tempoh ketibaan sibuk.

Kemudahan e-hailing yang dinaik taraf di Terminal 1 merangkumi sistem Pengecaman Plat Lesen (LPR) yang disepadukan dengan Skrin Paparan Maklumat Penumpang (PIDS), kiosk layan diri, ruang menunggu penumpang khusus, ruang pengambilan berstruktur serta petugas di lapangan bagi membantu penumpang dan melancarkan aliran trafik.

Sistem e-hailing yang dipertingkatkan itu turut membolehkan pemantauan dan kawalan akses dilaksanakan dengan lebih ketat bagi memastikan hanya kenderaan e-hailing yang dibenarkan menggunakan kemudahan pengambilan penumpang yang ditetapkan.

Kenderaan e-hailing juga kekal diperuntukkan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang bagi memastikan pergerakan trafik lebih lancar, meningkatkan ketersediaan ruang pengambilan dan mempercepatkan proses mengambil penumpang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×