PETALING JAYA: Kerajaan menerusi Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada usaha membantu pengusaha automotif Bumiputera melakukan transformasi daripada perniagaan kenderaan import terpakai (recond) dan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada ekosistem kenderaan elektrik (EV).
Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, perubahan landskap industri automotif negara memerlukan pengusaha Bumiputera diberikan sokongan dasar yang bersesuaian supaya mereka mampu menyesuaikan model perniagaan dan kekal berdaya saing.
Menurutnya, Pekema mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan menerusi Belanjawan 2027, meliputi pembaharuan struktur cukai dan duti import, insentif khusus bagi peralihan kepada EV serta akses pembiayaan dan jaminan kredit yang lebih mudah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.
“Pihak kami berharap Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada penambahbaikan struktur cukai dan duti import bagi memastikan keadilan serta daya saing peserta industri.
“Penambahbaikan struktur ini juga berpotensi menjadikan Malaysia hab automotif yang lebih kompetitif di peringkat serantau, selain membolehkan kerajaan mengimbangi keperluan hasil negara dengan kelangsungan perniagaan pengimport Bumiputera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohamed Nazari, isu berkenaan amat penting khususnya bagi pengusaha kenderaan recond yang berdepan perubahan landskap pasaran susulan usaha kerajaan memperkukuh pemasangan kenderaan secara tempatan.
Beliau berkata, Pekema bersedia berunding dengan kerajaan bagi membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi industri, termasuk mencari pendekatan yang dapat memastikan transformasi sektor automotif memberi manfaat kepada semua pihak.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan perlu menyediakan insentif khusus bagi membantu pengusaha Bumiputera beralih daripada model perniagaan ICE kepada EV.
“Pekema menyokong Dasar Automotif Nasional (NAP) yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem automotif mampan, termasuk peralihan kepada EV dan teknologi baharu.
“Namun, pengusaha Bumiputera memerlukan sokongan yang bersesuaian supaya mereka tidak tercicir dalam perubahan teknologi dan model perniagaan,” katanya.
Jelas beliau, antara bentuk sokongan yang diperlukan termasuk bantuan bagi pemasangan tempatan (CKD) EV dan pembuatan komponen, pembangunan infrastruktur pengecasan serta latihan dan pensijilan tenaga kerja.
Katanya, kerajaan juga wajar menyediakan geran atau insentif cukai bagi latihan tenaga kerja dalam teknologi EV, selain membantu pengusaha membangunkan pusat servis dan 3S yang dilengkapi keperluan bagi kenderaan generasi baharu.
“Pengusaha bukan sahaja perlu mengubah produk yang dijual, tetapi turut perlu membuat pelaburan dalam peralatan, kemahiran tenaga kerja dan kemudahan servis untuk memenuhi keperluan teknologi EV.
“Justeru, kemudahan pembiayaan yang fleksibel amat penting bagi membantu pengusaha melakukan peralihan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pekema turut menggesa kerajaan menyediakan skim pembiayaan khas dengan kadar faedah rendah atau fleksibel kepada PKS automotif Bumiputera, khususnya bagi tujuan pembelian peralatan, latihan dan pengembangan perniagaan.
Mohamed Nazari berkata, jaminan kredit melalui agensi kerajaan seperti Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) juga penting bagi memudahkan pengusaha mendapatkan pembiayaan daripada bank dan institusi kewangan.
“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan program pembiayaan bersama atau matching grant seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi program skrap kereta, untuk diperluaskan kepada pembangunan kapasiti sektor EV.
“Program sokongan gabungan perniagaan juga boleh membantu usahawan PKS automotif mengembangkan, mempelbagaikan atau mengintegrasikan operasi rantaian bekalan hiliran dan huluan mereka,” katanya.
Mengenai penamatan insentif cukai bagi EV import sepenuhnya (CBU) pada 2026, Pekema mengakui langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menggalakkan pemasangan tempatan.
Bagaimanapun, menurut Mohamed Nazari, langkah berkenaan boleh memberi cabaran dalam tempoh jangka pendek, khususnya dari segi permintaan pengguna dan penyesuaian pengusaha kepada perubahan pasaran.
“Dalam jangka panjang, peralihan ini mampu mengukuhkan industri tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan dalam ekosistem EV, selaras dengan matlamat Raising the Ceiling ekonomi negara.
“Pekema akan terus menyokong inisiatif kerajaan dalam peralihan ini, di samping memastikan ahli kami bersedia merebut peluang dalam segmen CKD,” katanya.-UTUSAN










