Petanda anak alami gangguan emosi

Petanda anak alami gangguan emosi

anak mula mengasingkan diri daripada ahli keluarga atau rakan-rakan antara petanda awal gangguan emosi yang perlu diberi perhatian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia serba moden yang penuh tekanan ini, kanak-kanak juga tidak terkecuali isu kesihatan mental.

Namun, ibu bapa masih keliru antara perangai biasa anak dan tanda-tanda awal isu mental atau emosi.

Pensyarah Kanan Jabatan Ikhtisas Pendidikan dan Siswazah, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Siti Noor Fauziah Abd. Rahim berkata, penilaian masalah mental hanya boleh dibuat oleh pakar, tetapi pemerhatian ibu bapa merupakan langkah pertama yang penting.

“Antara tiga tanda yang boleh diperhatikan ialah perubahan dalam rutin harian. Pertama, daripada segi tingkah laku. Anak yang dahulu ceria dan suka bermain kini mudah marah, mengelak atau sering bergaduh.

“Kedua, kerap menangis, cepat tersinggung atau tidak mahu ke sekolah. Ketiga, mula menjauhkan diri daripada rakan atau adik-beradik.

“Ibu bapa mungkin tidak melihat semua tanda ini serentak, tetapi jika perubahan tersebut kerap, berlarutan dan tidak seperti kebiasaan anak, itu isyarat untuk lebih peka dan mula berbincang atau mendapatkan pandangan profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

KONSEP 3K

Ibu bapa biasa berdepan dengan si kecil yang ‘buat perangai’ apabila kemahuan tidak dipenuhi seperti merengek, merajuk, bergaduh atau mencari perhatian.

Namun, untuk membezakan antara perangai biasa dan tingkah laku yang membimbangkan, ibu bapa boleh menilai melalui konsep 3K iaitu Kekerapan, Keseriusan dan Kesan.

Jika tingkah laku itu berlaku semakin kerap, menjadi lebih agresif atau di luar kawalan serta mula menjejaskan rutin harian, hubungan keluarga dan prestasi di sekolah, maka wajar diberi perhatian.

Ibu bapa juga perlu membandingkan anak dengan dirinya sendiri, bukan dengan orang lain kerana setiap anak berkembang secara berbeza.

“Anak yang membesar dengan sihat biasanya mempunyai corak rutin yang stabil. Apabila rutin ini berubah tanpa sebab yang jelas, ibu bapa perlu lebih peka dan memberi perhatian.

“Contohnya, sukar tidur atau susah bangun pagi, hilang selera makan, cepat letih, kurang bercakap, termenung lama atau hilang minat terhadap aktiviti yang sebelum ini digemari.

“Perubahan kecil seperti inilah sebenarnya ‘bahasa halus’ anak-anak menyampaikan sesuatu yang terbuku, tetapi sukar diluahkan dengan kata-kata,” ujarnya.

Ibu bapa perlu mendapatkan bantuan profesional apabila perubahan tingkah laku anak berlarutan dan menjejaskan kehidupan harian.

Jika tanda-tanda 3K tadi jelas, dapatkan penilaian daripada kaunselor berdaftar, pakar psikologi atau pakar psikiatri kanak-kanak.

Bantuan awal sangat penting untuk pemulihan jangka panjang.

Selain itu, terdapat perbezaan daripada segi tanda-tanda dan cara kanak-kanak menunjukkan tekanan emosi mengikut jantina.

Berdasarkan kajian The Roles of Sex and Gender in Child and Adolescent Mental Health oleh Martin dan Hadwin (2022), kanak-kanak lelaki cenderung meluahkan tekanan melalui tingkah laku luaran seperti hiperaktif, agresif atau mengganggu. Ia sering disalah tafsir sebagai kenakalan.

Sebaliknya, kanak-kanak perempuan lebih cenderung menyimpan tekanan secara dalaman misalnya dengan mengasingkan diri, mudah sedih, risau berlebihan atau menunjukkan perubahan emosi yang halus tetapi berpanjangan.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu peka terhadap corak rutin dan emosi anak-anak, tidak kira lelaki atau perempuan.

“Perhatikan sebarang perubahan ketara pada tingkah laku, emosi atau rutin harian.

“Sikap prihatin dan pemerhatian berterusan ini langkah pertama paling penting mengesan isu lebih awal sekali gus membolehkan bantuan dan sokongan diberikan sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

TEKANAN AKADEMIK, GAJET

Tekanan di sekolah dan penggunaan gajet berlebihan boleh menjadi pencetus kepada masalah kesihatan mental, terutama apabila tiada keseimbangan antara akademik, rehat dan masa bersama keluarga.

Tekanan di sekolah boleh hadir dalam pelbagai bentuk seperti beban tugasan, perbandingan dengan rakan sebaya atau harapan tinggi daripada guru dan ibu bapa.

Sementara itu, penggunaan gajet pula ibarat dua mata pedang.

Ia membantu pembelajaran, tetapi apabila berlebihan boleh menjejaskan tidur, tumpuan serta hubungan sosial anak.

“Tidak dinafikan, seiring perubahan zaman dan teknologi, seni berkomunikasi antara ibu bapa dan anak kian pudar.

“Perbualan dengan anak perlu berlangsung dalam suasana tenang, penuh kasih sayang dan empati serta tanpa menghakimi dan tanpa perbandingan. Apabila amalan ini menjadi budaya dalam keluarga, anak-anak akan terbiasa untuk berkongsi dan bukan kerana ditanya, tetapi kerana mereka tahu ibu bapa sedia mendengar,” ujarnya.

Tambahnya, stigma terhadap masalah mental dalam kalangan kanak-kanak perlu dihapuskan.

“Ramai masih beranggapan ‘anak kecil mana ada stres’, tetapi hakikatnya golongan itu juga boleh mengalami keresahan, kemurungan dan trauma.

“Diagnosis bukanlah label, tetapi panduan untuk mencari rawatan terbaik.

“Anak-anak kita mungkin tidak tahu cara meminta bantuan, tetapi mereka pandai memberi isyarat. Maka, tugas kita ialah melihat dengan mata dan mendengar dengan hati,” akhirinya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN