Dari pasar malam, kini miliki perusahaan capal

Dari pasar malam, kini miliki perusahaan capal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEGAWATAN ekonomi yang melanda negara pada 1997 menjadi detik hitam buat segelintir individu apabila diberhentikan kerja secara tiba-tiba.

Nasib sama turut dihadapi oleh Che Saad Saep, 59, yang hilang punca pendapatan sekelip mata.

Namun, situasi itu tidak melemahkan bapa kepada empat anak ini, sebaliknya dia cekal melakukan pelbagai usaha untuk menyara keluarganya.

Antaranya, adalah dengan mempelajari teknik penghasilan capal daripada rakannya sewaktu menetap di Sungai Petani, Kedah, pada 2009.

Di peringkat awal, dia hanya menjual di pasar-pasar malam di sekitar kawasan berkenaan.

Siapa sangka bermula di pasar malam, perniagaan capal diusahakan itu semakin mendapat sambutan daripada masyarakat setempat khususnya pada musim perayaan.

Pada 2010, Che Saad nekad mengembangkan perusahaan di bawah jenama Dr. Saad di kampung halamannya di Kampung Chemumar Tengah di Arau, Perlis.

“Bermula dari situ, saya kemudian membeli mesin jahit sendiri berharga RM2,000 bagi memudahkan lagi penghasilan capal ini mengikut tempahan pelanggan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.

Katanya, proses menyiapkan sepasang capal mengambil masa kira-kira dua hari bermula dari proses reka bentuk, potongan kulit atau polyvinyl chloride (pvc), jahitan dan sebagainya.

Bahagian paling sukar adalah jahitan tepi yang menuntut ketelitian tinggi agar tiada kesilapan.

“Harga capal sekitar RM35 untuk kanak-kanak manakala RM150 bagi dewasa, malah saya turut menghasilkan produk cenderamata iaitu rantai kunci berbentuk capal,” katanya.

 

Jualan tinggi pada musim perayaan
Che Saad mampu meraih pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit pada musim perayaan berbanding hari kebiasaan hanya kira-kira RM1,000 sahaja sebulan.

Malah, dia turut memasarkan capalnya secara borong ke kedai-kedai mahupun melalui ejen terpilih.

“Saya turut memanfaatkan media sosial bagi memasarkan produk capal ini dalam memenuhi permintaan di seluruh negara.

“Walaupun capal ini sudah lama digunakan, namun permintaan masih ada malah kebanyakan pengusaha turut berevolusi dengan teknologi bagi memudahkan penghasilannya,” katanya.

Dalam pada itu, Che Saad juga aktif mengikuti pameran dan ekspo dianjurkan oleh beberapa agensi bagi meluaskan lagi perusahaannya.

Menurutnya, dia turut mendapat bantuan geran dan sokongan daripada beberapa pihak antaranya seperti Kraftangan Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut

Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta kerajaan negeri.

“Geran-geran yang diperolehi itu digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan termasuk membeli mesin.

“Di Perlis, saya satu-satunya yang menghasilkan capal ini malah, pernah menerima tempahan bagi dijadikan sebagai cenderahati kepada tetamu kehormat,” katanya

Tambah Che Saad, dia kerap menerima lawatan daripada pelbagai pihak termasuk golongan pelajar bagi melihat secara dekat proses penghasilan capal itu.

“Saya sentiasa berbesar hati menerima lawatan daripada pelbagai pihak dalam memperkenalkan lagi warisan peninggalan sejarah negara kita kepada mereka secara lebih dekat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN