Masjid al-Suqya, telaga yang jarang diketahui ramai

Masjid al-Suqya dan telaga yang jarang diketahui ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Madinah tidak pernah sunyi daripada 1,001 kisah yang menggamit kenangan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW.

Di barat daya Masjid Nabawi, terdapat sebuah masjid bersejarah yang jarang dikenali ramai sedangkan jaraknya hanyalah sekitar 1.36 kilometer sahaja.

Dikenali sebagai Masjid al-Suqya, lokasi ini mempunyai kaitan dengan Perang Badar al-Kubra.

Hal itu kerana, ia merupakan antara lokasi solat Rasulullah SAW sebelum bertolak ke medan perang, pada bulan Ramadan tahun kedua hijriah.

Rasulullah SAW keluar dari rumah lalu menuju ke satu lokasi bernama Buyut al-Suqya atau Buq‘ yag berada tidak jauh dari Masjid Nabawi.

Baginda singgah berkhemah di situ bagi menunggu kedatangan kaum muslimin yang bersiap-siap untuk bergerak bersama-sama Baginda dari kota Madinah menuju ke medan peperangan Badar.

Menurut al-Shaykh ‘Abdullah Abu Dzikri, Rasulullah SAW berada di kawasan Buyut al-Suqya pada pagi Ahad 8 Ramadan tahun kedua hijriah bersamaan 4 Mac tahun 624 Masehi.

 

TENGKORAK PEROMPAK
Satu ketika dahulu, masjid ini juga dikenali dengan nama Qubbah al-Ru’us (Kubah Kepala).

Di era pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniah, para pemerintah pernah memenggal kepala perompak jalanan di situ.

Kepala berkenaan kemudian ditanam di sekitar kawasan masjid ini.

 

LOKASI SOLAT MAKHLUK TERMULIA
Sepanjang Rasulullah SAW berkhemah di Buyut al-Suqya, Baginda mendirikan solat di satu lokasi yang akhirnya dibina sebuah masjid kecil dikenali sebagai Masjid al-Suqya.

Semasa di Masjid al-Suqya inilah Rasulullah SAW berdoa kepada Allah sebagaimana diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal:

“Ya Allah. Sesungguhnya Ibrahim [yang merupakan] kekasih-Mu, hamba-Mu dan Nabi-Mu telah berdoa kepada-Mu untuk [kebaikan] ahli Makkah. Saya [pula] adalah Muhammad [yang merupakan] hamba-Mu,

Nabi-Mu dan Rasul-Mu berdoa [pula] kepada-Mu untuk [kebaikan] ahli al-Madinah seperti apa sahaja yang telah didoakan oleh Ibrahim kepada-Mu untuk [kebaikan] ahli Makkah.

Kami berdoa kepada-Mu agar Dikau memberkati untuk mereka pada cupak mereka, gantang mereka dan buah-buahan mereka. Ya Allah. Jadikanlah kami mencintai al-Madinah sebagaimana Dikau telah menjadikan kami mencintai Makkah.

Jadikanlah apa sahaja yang ada di dalamnya berupa penyakit [dipindahkan lalu diletakkan pula] di Khumm (lokasi yang berhampiran dengan al-Juhfah).

Ya Allah. Sesungguhnya Daku telah mengharamkan apa sahaja [yang ada] di antara dua kawasan tanah berbatu hitam sebagaimana Dikau telah mengharamkan al-Haram [al-Makkiyy] berdasarkan lisan Ibrahim”.

 

IDAMAN PARA SAHABAT
Al-Imam al-Waqidiyy dalam kitab al-Ma-ghozi menyatakan semasa Rasulullah SAW berkhemah di Buyut al-Suqya, Baginda didatangi oleh ayah Saidina Jabir bin Abdullah iaitu Saidina Abdullah bin ‘Amr bin Harom lalu beliau dengan penuh gembira dan harapan berkata kepada Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah. Saya suka dengan lokasi anda berkhemah ini, saya suka dengan sikap anda yang memeriksa para sahabat anda di sini dan saya berharap akan kebaikan disebabkan lokasi ini.

Sesungguhnya ini adalah tempat perkhemahan kami; orang-orang Banu Salimah ketika berlaku peperangan di antara kami dengan orang-orang Yahudi yang tinggal di Husaykah (kawasan sekitar Gunung al-Royah).

Sebelum peperangan berlaku, di sinilah kami memeriksa para tentera kami lalu di sinilah kami membenarkan sesiapa daripada kalangan kami yang mampu mengangkat senjata untuk menyertai peperangan tersebut dan di sini jugalah kami tidak membenarkan anak-anak kecil kami daripada menyertai peperangan itu.

Kemudian kamipun bergerak ke lokasi orang-orang Yahudi yang tinggal di Husaykah yang merupakan golongan Yahudi yang paling dihormati ketika itu.

Kami telah memerangi mereka sehingga akhirnya seluruh orang Yahudi menjadi hina di hadapan kami sehinggalah ke hari ini.

Maka saya mengharapkan wahai Rasulullah agar kami dapat bertemu dengan golongan [kuffar] Quraysh lalu Allah menyejukkan matamu terhadap mereka [dengan kekalahan mereka]”.

Kisah keberadaan Rasulullah SAW di Buyut al-Suqya menyebabkan lokasi tersebut menjadi idaman seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Khollad bin ‘Amr bin al-Jamuh untuk dibeli lalu menjadi tanah miliknya.

Bahkan, Saidina Jabir bin Abdulloh menceritakan yang ayahnya berkata kepadanya: “Kalaulah daku selamat dan pulang [dari medan Badar], daku akan membeli tanah itu. Namun sekiranya daku telah terbunuh, maka janganlah kamu terlepas peluang untuk membelinya”.

Namun ,hajat dua sahabat ini tidak kesampaian kerana tanah yang pada asalnya milik Saidina Dzakwan bin ‘Abdu Qoys al-Zuroqiyy lebih dahulu dibeli oleh Saidina Sa‘d bin Abu Waqqos dengan harga dua ekor unta muda atau tujuh uqiyyah pada zaman Rasulullah SAW.

Ketika itu, 280 dirham perak bersamaan dengan 28 dinar emas 917.

Maka, berdasarkan harga 1 dinar emas 917 pada tarikh 11 September 2025 adalah RM 2,201, ini bermakna harga semasa bagi 28 dinar emas 917 ialah kira-kira RM 61,628.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu tanah itu dibeli oleh Saidina Sa‘d bin Abu Waqqos, Baginda bersabda: “Jual beli yang menguntungkan”.

 

TELAGA AL-SUQYA
Berhampiran Masjid al-Suqya terdapat sebuah perigi dikenali dengan nama Telaga al-Suqya.

Telaga ini adalah antara sumber air di rumah-rumah isteri Rasulullah SAW.

Ini kerana tiga orang yang berkhidmat kepada Rasulullah SAW iaitu Saidina Anas bin Malik, Saidina Hind bin Hari-thah bin Hind al-Aslamiyy dan saudara kandung beliau; Saidina Asma’ bin Hari-thah bin Hind al-’Aslamiyy datang ke Telaga al-Suqya dengan membawa bejana air.

Lalu mereka mencedok air dari telaga al-Suqya ke dalam bejana seterusnya kendi-kendi yang sudah penuh diisi dengan air telaga itu dibawa pulang dan diletakkan di dalam rumah para isteri Rasulullah SAW untuk diminum.

Rasulullah SAW semasa menunggu sahabat Baginda dalam perjalanan menuju ke medan Perang Badar telah minum air yang diambil dari telaga tersebut.

Rasulullah SAW juga meminta para sahabat Baginda minum daripada air telaga itu.

Namun, telaga ini tiada lagi, kini. Lokasi telaga ini sudah berada di atas jalan besar, Jalan Saidina ‘Umar Bin Al-Khottob.

Telaga al-Suqya berada kira-kira 10 meter dari Masjid al-Suqya. – UTUSAN

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN