Demi cinta dan janji, Jawaher ikhlas terima suami OKU

Demi cinta dan janji, Jawaher ikhlas terima suami OKU

jawaher Shaikh Mohamad dan Mohd. Zainizan Esa melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cinta itu hadir tanpa syarat. Ia bukan sekadar rasa suka yang singgah sementara, tetapi sebuah keteguhan hati untuk berdiri di sisi insan yang dipilih, walau apa pun ujian yang menimpa.

Kisah cinta antara Jawaher Shaikh Mohamad dan suaminya, Mohd. Zainizan Esa, menjadi bukti cinta sejati tidak pernah luntur walaupun diuji dugaan yang cukup berat.

Mereka bukanlah pasangan yang baru berkenalan sehari dua. Hubungan yang terjalin sejak di usia remaja berputik menjadi sebuah ikatan yang kukuh.

Empat belas tahun mereka menyulam rasa, sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Pada awalnya, segalanya berjalan seperti pasangan lain yang sedang merancang masa depan.

Namun, takdir Allah lebih berkuasa. Sebelum sempat membawa hubungan ke fasa seterusnya, Zainizan diuji dengan ujian yang tidak terduga.

Lelaki berusia 35 tahun itu jatuh di bilik air hingga menyebabkan kecederaan saraf tunjang. Saat itu juga, tubuhnya lumpuh secara mendadak.

Dunia seakan terhenti ketika itu. Ramai yang mempersoalkan keputusan Jawaher untuk meneruskan perkahwinan bersama kekasih hati.

Ada yang bertanya bagaimana masa depan mereka nanti.

Ada juga yang khuatir adakah rumah tangga itu mampu bertahan?

Namun, cinta yang bersemi sekian lama tidak pernah goyah.

Malah, meskipun Zainizan sendiri pernah meminta Jawaher untuk meninggalkannya, namun wanita cekal itu tetap menolak.

“Kami sudah lama berkawan. Sudah ada rasa sayang dan cinta. Malah, Ketika dia sihat dahulu dia juga banyak berkorban dan membantu saya.

“Meskipun dia ada minta saya tinggalkan dia, saya tidak sanggup lepaskan. Saya mahu susah senang bersama,” luah Jawaher.

Bagi Jawaher, pengorbanan bukanlah perkara yang perlu ditimbang dengan logik semata-mata.

Ia lahir daripada keikhlasan hati.

Selepas berkahwin, pengorbanan terbesar yang dilakukannya adalah berhenti kerja kerana semata-mata mahu memberi tumpuan penuh kepada rawatan suami.

Dia akur, kehidupannya berubah 360 darjah. Namun bagi dirinya, suami adalah amanah yang perlu dijaga, walau dalam apa keadaan sekalipun.

Menjalani kehidupan berumah tangga bersama suami OKU bukanlah mudah sementelah suaminya kini terlantar di katil.

Tetapi, wanita berusia 31 tahun itu percaya setiap ujian Allah datang bersama hikmah.

“Saya bukan kuat pun. Tetapi saya fikir ini adalah jodoh. Kalau saya tinggalkan, macam mana dengan dia? Kalau saya tidak ada, dia akan lebih teruk. Jadi, saya tetap pilih untuk terus bersama,” katanya yang melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lalu.

Menikmati hidup seperti pasangan suami isteri lain.

SOKONGAN KELUARGA
Di sebalik keperitan, ada sinar yang memberi kekuatan.

Keluarga kedua-dua belah pihak tidak pernah berhenti memberi dorongan.

Kata-kata semangat dan bantuan daripada segala aspek menjadi penopang yang menguatkan langkah mereka berdua.

Malah, mereka tetap berusaha mencari rezeki sendiri.

Suaminya berniaga secara dalam talian melalui platform TikTok, manakala Jawaher pula memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual minyak wangi badan dan kereta.

Biarpun kecil, itulah usaha yang mereka lakukan bersama demi kelangsungan hidup.

Apabila ditanya tentang erti pengorbanan dalam perkahwinan bersama suami OKU, Jawaher berkata, pengorbanan adalah apabila sanggup susah senang bersama dan ikhlas berkasih sayang.

Baginya, cinta bukan hanya ada ketika bahagia, tetapi juga ketika derita. Cinta sejati bukan sekadar menerima pasangan ketika sempurna, tetapi tetap memeluknya erat meskipun diuji dengan kelemahan.

Komunikasi, kesabaran jadi kunci kebahagiaan

Dalam mengekalkan ketabahan, pasangan asal Baling, Kedah ini belajar erti komunikasi dan kesabaran.

Mereka tidak pernah membiarkan masalah berlarutan. Apa sahaja yang mengganggu hati akan dibincangkan.

Kata Jawaher, jangan sesekali memisahkan tempat tidur walau ada perselisihan, kerana bagi dirinya, jarak hanya akan menambah luka.

“Apa pun kena cakap elok-elok. Emosi tidak membantu apa-apa. Kami banyak berbincang supaya tidak ada perkara yang berpanjangan,” ujarnya.

Bagi wanita lain yang mungkin diuji dengan situasi sama, Jawaher menitipkan nasihat penuh ikhlas.

Katanya, jangan pernah berputus asa, kerana setiap ujian yang Allah turunkan ada hikmah.

“Kita kena terus kuat, ingat ujian Allah itu untuk kita lebih dekat dengan Dia. Saya rasa tenang, saya rasa bahagia, sebab impian nak hidup bersama dia akhirnya tercapai juga, walaupun dalam keadaan berbeza.

“Allah makbulkan doa saya. Saya tidak pernah rasa menyesal,” luahnya penuh syukur.

MAHU RINGANKAN BEBAN ISTERI
Di sisi lain, Zainizan sendiri menyimpan rasa syukur yang tidak terhingga.

Dia mengakui pada awalnya, sukar untuk percaya Jawaher benar-benar mahu meneruskan perkahwinan.

“Saya pernah kata pada dia, jangan bagi harapan. Saya tidak mahu orang kata saya pentingkan diri.

“Saya minta dia tinggalkan saya supaya dia boleh jumpa orang yang lebih baik dan sempurna. Tetapi, dia tetap pilih untuk bersama saya,” ujarnya sebak.

Bagi Zainizan, kehadiran isteri adalah anugerah terindah. Dia tidak mahu menjadi beban, malah bercita-cita untuk terus berdikari walaupun hanya dengan kerusi roda.

“Sekarang ini saya masih meneruskan rawatan fisioterapi dengan harapan keadaan saya akan bertambah baik.

“Saya cuma harap boleh berdikari. Kurang membebankan isteri. Walaupun saya sudah reda yang saya tidak mungkin boleh berjalan lagi tetapi saya tetap mahu berdikari dengan kudrat yang tersisa.

“Saya mahu isteri bahagia. Saya doa perkahwinan kami diberkati sampai bila-bila,” katanya penuh harapan.

Zainizan yang sebelum ini berniaga secara kecil-kecilan pernah lumpuh pada 2010 selepas mengalami kemalangan motosikal.

Kesihatannya membaik setahun selepas itu dan mampu berjalan semula.

Namun, selepas terjatuh di bilik air pada 2019, beliau kembali lumpuh dan hanya mampu terlantar di atas katil sehingga kini.

Hari-hari yang dilalui pasangan ini bukanlah mudah. Ada kala kesihatan Zainizan menunjukkan peningkatan, ada kala sakit datang semula.

Namun, bagi mereka, setiap langkah kecil menuju kesembuhan adalah kemenangan besar.

“Walaupun sikit, tapi ada peningkatan. Saya yakin dengan doa dan usaha, insya-Allah kesihatan dia akan makin baik,” kata Jawaher penuh optimis.

Dalam dunia yang sering mengukur bahagia dengan kesempurnaan, kisah mereka mengingatkan kita cinta sebenar adalah ketika sanggup menerima pasangan dalam keadaan apa pun, berdiri teguh di sisinya walau dunia memandang sinis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×