Ketagihan pornografi sama seperti dadah

Ketagihan pornografi sama seperti dadah

Pornografi menjejaskan kemampuan membuat keputusan dan kawalan diri, sama seperti mengambil bahan terlarang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mulanya kerana rasa ingin tahu dan kemudian menjadi tabiat harian yang sukar dihentikan.

Lebih menyedihkan, ketagihan itu tidak kelihatan dari luar, tetapi merosakkan diri secara senyap dan perlahan-lahan.

Kisah seperti ini bukan satu dua yang ditemui oleh Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azahah Abu Hassan Sha’ari yang mempunyai pengalaman luas di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan pengalamannya dan juga dapatan kajian, pendedahan terhadap pornografi boleh berlaku seawal usia 10 hingga 12 tahun.

“Malah, kajian Giray (2022) melaporkan sebahagian individu pertama kali terdedah kepada pornografi pada usia 11 tahun.

“Secara umum, remaja lelaki lebih cenderung mencari kandungan pornografi berbanding perempuan, dan kebanyakan pendedahan aktif berlaku selepas umur 14 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Lebih membimbangkan, ketagihan itu mula memberi kesan kepada otak.

Organ penting itu mula berubah secara senyap sehingga merosakkan kemampuan membuat keputusan dan kawalan diri.

Berdasarkan penemuan Neuroimaging, Dr. Azahah berkata, kawasan otak yang terjejas ialah prefrontal cortex iaitu bahagian yang mengawal pengambilan keputusan, moral dan kawalan impuls.

“Neuroimaging mendapati otak individu ketagih pornografi menunjukkan perubahan pada kawasan prefrontal cortex, iaitu kawasan yang mengawal keputusan dan kawalan diri, sama seperti ketagihan bahan terlarang,” katanya.

Ini bermakna, walaupun tiada bahan kimia ketagihan dimasukkan ke dalam badan, secara neurobiologi, corak rangsangan dalam penggunaan pornografi boleh memberi kesan yang sebanding.

Lebih membimbangkan, perubahan ini berlaku secara berperingkat. Berulang kali menonton kemudian menjadikan otak terbiasa dengan kepuasan segera.

Tabii suruhan impuls muncul, kawalan diri terhakis dan seolah-olah kepuasan itu menjadi keperluan emosi, bukan sekadar keinginan sekali-sekala.

Ini menjadikannya sukar untuk berhenti, walaupun individu sedar tabiat ini telah mula menjejaskan hidupnya.

FANTASI MEMUSNAHKAN

Impaknya bukan sahaja pada pelajaran atau tidur, tetapi turut membentuk persepsi seksual yang tidak realistik.

Apabila tiba masa berkahwin kelak, ramai yang kecewa kerana kehidupan sebenar tidak setanding dengan fantasi yang terbentuk melalui paparan internet.

Ada yang mula melihat pasangan sebagai objek seksual, bukan insan.

Persepsi ini menghalang keintiman sebenar dan membina dinding emosional antara suami dan isteri.

“Sebagai contoh, pasangan muda mungkin akan meluahkan kekecewaan apabila kehidupan seksual sebenar tidak memenuhi fantasi yang dibentuk oleh pornografi.

“Ini menunjukkan pentingnya pendidikan seksual yang realistik dan berlandaskan emosi,” katanya.

Begitupun, menonton pornografi tidak semestinya bermakna seseorang itu ketagih.

Ketagihan berlaku apabila seseorang kehilangan kawalan, apabila ia mengganggu rutin harian dan mengalami tekanan emosi tetapi masih tidak mampu berhenti.

“Menonton pornografi beberapa kali sehari tidak semestinya dianggap ketagih jika tidak menjejaskan fungsi harian atau kesejahteraan emosi.

“Namun, apabila seseorang hilang kawalan, berasa tertekan atau mengabaikan kehidupan sosial dan tanggungjawab, itu adalah isyarat jelas untuk mendapatkan bantuan profesional, termasuk kaunseling psikologi atau terapi tingkah laku kognitif,” ujarnya.

KESEDARAN DIRI PENTING

Bagi mengatasi ketagihan tidak bermoral ini, kesedaran diri paling penting.

Ramai individu yang mempunyai masalah ketagihan tidak menyedari kesannya atau meremehkannya, walhal ia sudah memberi kesan kepada kesejahteraan emosi, hubungan sosial dan fungsi harian.

Kemudian, kenal pasti pencetus sama ada stres, kebosanan atau tekanan emosi supaya strategi dapat dirancang dengan lebih baik.

Bagi Dr. Azahah, pendekatan pemulihan bukanlah tugas individu sahaja. Ibu bapa, guru dan rakan perlu memainkan peranan, tetapi bukan melalui kritikan keras atau hukuman.

Mereka perlu mencipta ruang yang selamat supaya remaja dapat meluah tanpa rasa dihakimi.

Pendidikan seksual yang disampaikan secara realistik, bersesuaian dengan usia dan nilai keluarga, menjadi tampuk utama supaya pornografi tidak dijadikan ‘guru’dalam membentuk pemikiran seksual anak muda.

Sokongan profesional juga sangat disarankan. Terapi seperti Cognitive Behavioral Therapy (CBT) terbukti berkesan menstruktur semula pemikiran dan tingkah laku kompulsif.

Tambahnya, ketagihan pornografi bukan kesalahan peribadi semata-mata, tetapi hasil daripada kombinasi tekanan emosi dan kekurangan sokongan.

“Pengalaman saya ketika menjalankan bengkel kesihatan mental di Michigan menunjukkan remaja dan belia lebih terbuka untuk berubah apabila pendekatan yang digunakan tidak menghakimi dan bersifat menyokong, khususnya jika mereka dapat memahami bagaimana pornografi telah menjejaskan kehidupan mereka sendiri,” jelasnya.

Bahan lucah mudah diakses

Sekitar era 70-an dan 80-an, bahan berunsur lucah hanya boleh didapati dalam bentuk majalah atau pita video yang sukar diperoleh.

Namun, kini ia hanya di hujung jari.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (UKM), Nasrudin Subhi berkata, cukup sekadar menaip beberapa kata kunci di enjin carian, ribuan video dan gambar berunsur seksual terpampang tanpa perlu menunggu atau membayar.

Beberapa platform media sosial pula menjadi pintu masuk yang lebih halus.

Walaupun kandungan di sana tidak secara terang-terangan berbentuk pornografi, unsur-unsur seksual yang menggoda rasa ingin tahu itu sentiasa ada, sedia untuk menjerat minda yang belum matang.

Fenomena ini menimbulkan kebimbangan yang semakin mendalam, terutama dalam kalangan ibu bapa dan pendidik.

“Paling membimbangkan adalah disebabkan mudah untuk mencapai bahan-bahan pornografi ini. Maksudnya, tidak ada sekatan.

“Taip sahaja kata kunci yang terkait dengan pornografi, akan keluarlah video-video tersebut daripada capaian internet. “Jadi, kalau misalnya seseorang itu tidak matang ataupun belum matang, mungkin akan lebih mudah terdedah kepada gejala ini,” katanya.

Remaja adalah kelompok yang masih mencari identiti diri.

Pada usia ini, sifat ingin tahu berada pada tahap yang tinggi.

Apabila diiringi dengan capaian tanpa batas, mereka menjadi lebih mudah terjebak.

Kadangkala, pengaruh datang daripada rakan sebaya yang berkongsi pautan atau bahan lucah. Ada juga yang terdedah secara tidak sengaja melalui pop-up iklan ketika melayari internet.

Kesannya, individu mungkin keliru tentang makna cinta dan keintiman, sukar memahami peranan gender secara sihat dan ada yang mula mempertikaikan orientasi seksual.

Malah, rasa malu, rendah diri dan benci terhadap diri sendiri kerap menghantui, terutama apabila tindakan itu bercanggah dengan nilai agama dan moral yang dipelajari sejak kecil.

Ada remaja yang menjadi cepat marah atau mudah hilang kawalan apabila tidak dapat mengakses bahan tersebut.

Tontonan pornografi bagi mereka ibarat satu bentuk pelarian, seperti dadah yang memberi rasa tenang seketika sebelum kembali dibelenggu rasa bersalah.

Kesan terhadap kehidupan sosial juga tidak kurang serius.

Remaja yang kerap menonton pornografi cenderung membentuk jangkaan seksual yang tidak realistik.

Mereka membandingkan pasangan sebenar dengan pelakon dalam video, sedangkan dunia pornografi sarat dengan lakonan, suntingan dan penggunaan bahan perangsang yang tidak mencerminkan realiti.

Ada juga yang mula melihat seks semata-mata sebagai aktiviti fizikal, terpisah daripada kasih sayang dan komitmen.

Hubungan intim di masa hadapan berisiko goyah kerana mereka tidak lagi tahu membina hubungan berdasarkan empati dan rasa hormat.

Akibatnya, kawalan diri berkurang, fokus mudah terganggu, dan mereka memerlukan rangsangan yang lebih ekstrem untuk mencapai rasa puas yang sama.

Pada jangka panjang, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan seksual seperti mati pucuk walaupun pada usia muda, hilang minat terhadap pasangan atau kebergantungan melampau terhadap fantasi untuk berasa terangsang.

“Dalam pornografi pun ada banyak jenis, ada pornografi yang contohnya melibatkan budak-budak bawah umur ataupun budak muda, orang tua. Ada yang berunsur ganas, ada yang menggunakan sex toys, fantasi dan sebagainya.

“Jadi, fikiran anak-anak muda ini senang dimanipulasi disebabkan oleh perkara-perkara tersebut dan dimomokkan dengan perkara yang mungkin menyeleweng daripada nilai-nilai murni dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kesukaran berinteraksi secara fizikal dengan orang ramai,” katanya.

Walaupun ketagihan pornografi belum diiktiraf secara rasmi sebagai gangguan mental dalam DSM-5, ia dikaitkan rapat dengan Compulsive Sexual Behaviour Disorder (CSBD) dan Internet-Related Addictive Behaviours.

Peranan ibu bapa dalam isu ini amat besar. Kawalan secara fizikal dengan memastikan anak berada di rumah tidak lagi memadai.

Dunia digital adalah langit terbuka tanpa sempadan dan gajet menjadi pintu ke dunia itu.

Wujudkan komunikasi terbuka supaya anak berasa selamat untuk berkongsi tanpa takut dimarahi.

Pendidikan seksual yang bersesuaian dengan umur juga penting agar anak memahami tubuh dan batasan diri, bukannya belajar daripada sumber yang songsang.

Kaunselor sekolah perlu mewujudkan suasana selamat untuk pelajar berkongsi masalah, sambil memahami batas kerahsiaan dan tanggungjawab memaklumkan ibu bapa jika ia melibatkan risiko kepada anak.

Kaunselor boleh membantu melalui teknik seperti systematic desensitization, iaitu pendedahan berperingkat kepada pencetus rangsangan supaya individu belajar mengawal tindak balasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN