Koleksi minggu ini mengambil inspirasi daripada ritual tradisional masyarakat Lundayeh di Sabah, Nui Ulung Buayeh yang melambangkan keberanian dan kekuatan pahlawan.
Dahulu ia diraikan selepas ekspedisi memburu kepala, kini dihidupkan semula melalui sentuhan moden oleh graduan Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Nurul Iman Afifah Mohamad Taufek bijak menterjemahkan semangat dan simbol buaya Lundayeh ke dalam rekaan yang relevan di pentas moden.
Potongan fabrik segi empat disusun tiga dimensi menyerupai tekstur kulit buaya.
Siluetnya menggabungkan struktur dengan aliran bebas. Setiap helaian terasa seperti karya seni bergerak.
Tekstur tiga dimensi ini memang langkah berani. Tidak semua orang mahu mencuba, tetapi jika digayakan dengan betul, kesannya luar biasa.
Untuk wanita petite, pilih potongan berstruktur di bahu atau dada bagi memberi keseimbangan pada bentuk badan.
Bagi yang curvy, mainkan lapisan di pinggang untuk menonjolkan bentuk hourglass. Jika anda tinggi, ini masanya all out dengan helaian penuh volum.
Setiap lapisan dalam koleksi ini juga ibarat kotak harta karun untuk gaya.
Helaian sama boleh digayakan berbeza, cuma perlukan sedikit imaginasi.

Lapisan luar berstruktur itu boleh dipadankan dengan dress satin untuk mood malam yang glam.
Jaket tiga dimensi pula boleh disarung bersama seluar tailored untuk gaya boss lady di pejabat.
Skirt bertekstur? Padankan dengan baju T putih oversized dan sneakers untuk hujung minggu santai.
Inilah kekuatan koleksi ini. Setiap potongan membuka peluang gabung dan padan tanpa had.
Fabrik pilihan Nurul Iman Afifah seperti melon soft skin dan kanvas yoyo memberi tekstur yang kaya. Ia tahan lasak dan tetap selesa di iklim panas.
Warna krim dan coklat muda pula menjadikan koleksi ini mudah digayakan.

Untuk ke pejabat, padankan dengan kasut tumit blok dalam tona beige manakala bagi acara malam, sarungkan but buku lali hitam.
Mahu gaya santai? Cuba sneakers putih dengan beg tote besar. Jangan lupa aksesori seperti rantai logam matte, gelang kayu atau beg anyaman moden bagi memberi sentuhan ekstra.
Jika mahu glam, pilih anting-anting bold tetapi kekalkan warna neutral.
Koleksi ini turut mengingatkan kita yang gaya bukan sekadar mengikut trend tetapi menggambarkan kekuatan dan cerita peribadi.
Sama seperti masyarakat Lundayeh yang mengubah ritual menjadi pesta Luba Buayeh demi mengekalkan nilai keberanian dan perpaduan.
Wanita moden juga boleh menjadikan pakaian sebagai simbol keyakinan diri. Kadang-kadang untuk menjadi berbeza, kita hanya perlu berani mengambil inspirasi daripada masa lalu dan membawanya ke masa kini dengan penuh gaya.









