Tidak dapat tunai haji itu takdir?

Tidak dapat tunai haji itu takdir?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam Sidang Dewan Rakyat lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyatakan pihak kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas dengan kerjasama polis, Tabung haji dan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi membendung kes penipuan ibadah haji dan umrah yang semakin berleluasa.

Ia susulan kes 47 jemaah haji Malaysia ditipu dan masuk ke Jeddah secara haram untuk menunaikan haji dengan visa pelancong.

Semua jemaah mendakwa terpaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah, ekoran kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.

Rupanya kes ‘haji tidak kesampaian’ dalam musim haji lepas bukan hanya berlaku kepada 47 orang, tetapi lebih ramai lagi. Cuma, ia tidak dilaporkan media.

Biasanya pengendali pakej haji yang gagal menunaikan janji kepada jemaah haji akan menggunakan skrip reda, ujian dan takdir dengan kata-kata: “Ini takdir Allah! Kita kena reda dengan ujian ini. Lagipun, kemampuan menunaikan haji berkait rapat dengan jemputan dan izin Allah”.

Barangkali, skrip itu sangat mujarab mengubati luka jiwa dan poket mangsa haji tidak menjadi.

Benar! Ibadah haji adalah jemputan Allah SWT. Ia seiring sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tetamu Allah itu ada tiga kumpulan; orang yang berperang (pada jalan Allah), para jemaah haji dan orang yang mengerjakan umrah. (Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah)

Pun begitu, untuk lebih adil kepada mangsa pakej haji tidak jadi ini, pengendali pakej haji tidak seharusnya hanya menggunakan skrip tersebut sekiranya kesilapan itu banyak berpunca daripada pihak mereka yang berani serta yakin tidak bertempat.

Ia seumpama menyalahkan takdir dan ujian kerana kemalangan jalan raya sedangkan cara pemanduannya penuh bahaya, keretanya teruk tidak diselenggara, langkah keselamatan seperti pemakaian tali pinggang keledar juga tidak dipeduli.

Apabila kemalangan teruk berlaku sehingga meragut nyawa, patutkah skrip ini dibaca kepada keluarga mangsa?

“Sabar! Ini ujian dan takdir Allah SWT pada anak anda. Anda perlu reda atas kehilangan anak anda!”

Takdir dan ujian itu benar! Namun, usaha dan mengambil langkah berjaga-jaga turut dituntut agama.

Pernah seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang cara tawakal dalam pengurusan untanya, perlu ditambat atau dibiarkan.

Nabi menjawab dengan logik yang bermaksud: Tambat untamu itu, kemudian berserahlah (kepada Allah). (Sunan al-Tirmidzi, 2517).

Teringat saya kisah usaha ikhtiar yang dilogikkan oleh Saidina Umar apabila keputusannya menangguhkan kemasukan ke Syam yang dilanda wabak taun dipertikai Abu Ubaydah al-Jarrah.

Kata Abu Ubaydah yang bermaksud: “Mengapa kita harus lari daripada ketentuan (qadar) Allah?”

Umar lantas menjawab yang bermaksud: “Benar! Kita lari daripada ketentuan Allah (tetapi kita juga sedang) menuju kepada ketentuan Allah yang lain.

Apa pandanganmu jika kamu miliki seekor unta, lalu ia turun ke sebuah lembah yang ada dua bahagian, satu bahagian subur manakala satu lagi tandus. Jika kamu bawa untamu meragut pada bahagian lembah yang subur, maka bukankah itu bererti kamu membawanya meragut berdasarkan ketentuan Allah?

Sebaliknya, jika kamu membawanya ke bahagian yang tandus, maka bukankah itu bererti kamu juga membawanya meragut menurut ketentuan Allah?” (Sahih al-Bukhari, 5288 & Sahih Muslim, 4114).

Kisah ini mengajar kita agar berusaha sedaya mampu mengatur hidup mengikut sunnatullah atau secara saintifik dengan mengambil kira segala perkara merangkumi sebab musabab.

Dalam isu berkaitan ibadat haji, semua pengendali haji wajib akur dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana mereka adalah Ulil Amri yang wajib dipatuhi dalam realiti haji zaman ini. Pematuhan kepada pemimpin termasuk ajaran Islam. (al-Nisa’ 4:59 & 83).

Memang ibadat haji termasuk dalam rukun Islam, namun ia berkait rapat dengan isu kemampuan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya… (Ali ‘Imran: 97)

Dalam perbincangan fikah, kemampuan menunaikan haji merangkumi aspek harta, fizikal dan keselamatan. Aspek keselamatan pula berkait rapat dengan maqasid atau objektif pengutusan Islam iaitu Hifz al-Nafs (menjaga nyawa).

Penetapan 0.1 peratus kuota haji daripada jumlah penduduk Islam sesebuah negara termasuk dalam lingkungan pelaksanaan menjaga keselamatan para jemaah haji.

Anda boleh bayangkan apa akan terjadi di Mekah jika jutaan umat Islam masuk menunaikan haji tanpa kawalan populasi. Pelbagai bencana mengancam nyawa jemaah pasti berlaku.

Jika belum mendapat panggilan haji kerana kekangan kouta, anda sebenarnya belum mencapai status mampu dalam ibadat haji.

Allah tidak akan hukum anda kerana kekurangan ini. (al-Baqarah: 286, al-A’raf: 42, al-Talaq: 7)

Reda dengan tidak mengambil langkah bahaya mencuba nasib masuk ke Mekah secara berisiko serta melanggar peraturan Ulil Amri haji zaman ini, jauh lebih elok dan lebih bertakwa berbanding ‘dipaksa reda’ setelah gagal masuk secara tidak sah.

Nabi SAW sendiri pun akur dengan halangan Musyrikin Mekah dalam peristiwa Hudaybiyah pada tahun ke enam Hijrah.

Setelah dihalang masuk ke Mekah, baginda dan para sahabat tidak pula mencari lorong tikus untuk masuk ke Mekah.

Bagi yang belum menunaikan haji atau belum dijemput Allah, rancanglah urusan hidup anda. Jaga kesihatan, simpan duit, buat rayuan berterusan kepada pihak Tabung Haji serta tuluskan doa kepada Allah agar diberi ‘kemampuan holistik’ untuk menunaikan haji.

Jika ada anak yang masih muda, segera daftarkan untuk menunaikan haji agar tempoh menunggu kouta mereka sesuai dengan kemampuan mereka di usia dewasa.

Kepada pengendali pakej haji!, jangan langar undang-undang yang ditetapkan Ulil Amri haji zaman ini.

Kedegilan anda menjanjikan bulan bintang bukan sahaja memangsakan bakal jemaah tetapi akan turut diaudit Allah di akhirat kelak. Takutlah kepada Allah!-UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN