Strategi 3M lindungi si kecil daripada bahaya dunia digital

Strategi 3M lindungi si kecil daripada bahaya dunia digital

sharenting (sharing parenting moments) secara berlebihan di media sosial mendedahkan anak kecil kepada pedofilia atau pemangsa seksual kanak-kanak. – GAMBAR JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemajuan teknologi digital yang semakin pesat membuka ruang komunikasi dan pembelajaran yang luas kepada manusia sejagat.

Namun, ia turut menghadirkan ancaman serius bagi kelompok rentan seperti kanak-kanak.

Salah satu yang menjadi kebimbangan ialah eksploitasi seksual dalam bentuk digital terhadap kanak-kanak yang semakin meluas.

Menurut laporan berjudul Disrupting Harm in Malaysia: Evidence on Online Child Sexual Exploitation and Abuse yang diterbitkan oleh End Child Prostitution in Asian Tourism (ECPAT), Polis Antarabangsa (Interpol) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 2022, sekurang-kurangnya empat peratus atau dianggarkan 100,000 kanak-kanak di Malaysia menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian.

Sebagai contoh, orang lain berkongsi imej kanak-kanak tanpa kebenaran untuk tujuan seksual, kanak-kanak diperas ugut untuk terlibat dalam aktiviti seksual atau dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual melalui perjanjian pemberian wang atau hadiah.

Laporan tersebut turut mendedahkan kanak-kanak di Malaysia terdedah kepada risiko dieksploitasi secara dalam talian dengan peningkatan kes yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut kenyataan bersama oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dikenal pasti dalam talian dari Januari hingga 15 Jun tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 94 peratus atau 1,415 kandungan berjaya diturunkan hasil tindakan pantas pihak SKMM bersama penyedia platform digital dan maklumat awam.

Eksploitasi seksual dalam bentuk digital ini sedikit sebanyak menyumbang ke arah peningkatan jenayah pengantunan seksual terhadap kanak-kanak.

Pengantunan seksual kanak-kanak merupakan perlakuan jenayah seksual untuk memanipulasi dan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai mangsa seksual individu yang tidak bertanggungjawab.

Pengantunan seksual juga dapat diterjemah sebagai persediaan awal yang dilakukan oleh penjenayah dengan menjalinkan hubungan mesra dengan kanak-kanak demi melakukan serangan seksual terhadapnya.

Menurut Statistik Jenayah Malaysia 2024, kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak meningkat 26.5 peratus pada tahun 2023 kepada 1,567 kes berbanding 1,239 kes yang direkodkan pada tahun 2022.

Lonjakan kes ini dipercayai berpunca daripada perkembangan trend migrasi jenayah kepada bentuk digital.

KESAN MEDIA SOSIAL

Tambahan pula, antara faktor kanak-kanak menjadi sasaran eksploitasi seksual ialah melalui fenomena sharenting (sharing parenting moments), iaitu ibu bapa berkongsi kehidupan anak-anak secara berlebihan di media sosial.

Kandungan video memaparkan anak-anak dijadikan keperluan komersial oleh orang tua sendiri tanpa memerhatikan privasi sehingga boleh memberi kesan negatif terhadap kehidupan anak-anak di kemudian hari.

Dalam Islam, hal ini bertentangan dengan prinsip Maqasid al-Syariah, terutamanya hifz al-‘ird (menjaga kehormatan).

Eksploitasi digital yang boleh memberi kesan buruk terhadap kanak-kanak adalah pelanggaran etika yang tidak hanya merosak individu, tetapi juga menghakis nilai moral masyarakat.

Maka, perlindungan terhadap kanak-kanak di ruang digital menjadi sebahagian daripada amanah agama yang tidak boleh diabaikan.

AMAL 3M

Dalam usaha melindungi anak-anak daripada bahaya di ruangan digital, ibu bapa perlu memainkan peranan proaktif dengan melaksanakan prinsip 3M.

Prinsip pertama ialah memantau (monitoring). Ibu bapa disaran sentiasa memantau aktiviti digital anak-anak, termasuk memeriksa aplikasi digital yang dimuat turun, laman-laman sesawang yang dikunjungi dan mengenali rakan maya mereka.

Langkah ini bukanlah satu bentuk pencerobohan, tetapi merupakan usaha untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak dalam dunia maya.

Prinsip kedua ialah membimbing (mentoring). Ibu bapa perlu memberi bimbingan dan nasihat kepada anak-anak tentang nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, had masa penggunaan peranti serta adab dan etika berinteraksi di ruang digital agar mereka tidak tersasar dalam penggunaan teknologi yang semakin canggih.

Bimbingan dan nasihat kepada anak-anak amat penting sepertimana dicontohkan oleh Luqman kepada anaknya di dalam al- Quran, surah Luqman, ayat 13-19.

Prinsip ketiga pula ialah menjadi contoh (modelling). Ibu bapa perlu menjadi contoh teladan dalam penggunaan teknologi. Sikap, tutur kata serta tingkah laku ibu bapa dalam dunia digital akan diteladani oleh anak-anak. Seperti peribahasa Melayu, ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.’

Justeru, ibu bapa perlu menunjukkan contoh penggunaan teknologi yang beretika dan beradab.

Ketiga-tiga prinsip ini bukan sekadar strategi perlindungan terhadap anak- anak, melainkan manifestasi nilai-nilai Qurani dalam konteks moden.

Ibu bapa bukan sahaja dapat melindungi anak-anak daripada mangsa eksploitasi digital, tetapi juga dapat membina generasi yang celik digital dan mantap jati dirinya daripada sudut agama dan akhlak.-UTUSAN

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN