Kanak-kanak berniaga: Didikan atau eksploitasi?

Kanak-kanak berniaga: Didikan atau eksploitasi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, golongan kanak-kanak sering terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan seperti menjual makanan dan minuman di gerai atau mempromosikan produk di media sosial.

Segelintir ibu bapa menganggap langkah itu bagi melatih anak menjadi berani, berdikari dan celik wang sejak kecil.

Pensyarah Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, kaedah itu mampu memberi kanak-kanak pendedahan awal kepada dunia perniagaan.

Katanya, ia mengajar anak nilai usaha, pengurusan masa dan kemahiran komunikasi, malah, ada juga yang berjaya membina jenama sendiri serta menjadi inspirasi rakan sebaya.

Namun, katanya, manfaat tersebut hanya dapat dicapai jika ibu bapa mengambil pendekatan yang sesuai dengan usia dan keupayaan anak.

“Jika aktiviti perniagaan itu dipaksa, dijadikan sumber pendapatan utama keluarga atau dilakukan secara berlebihan, maka ia boleh menjurus kepada eksploitasi tanpa sedar,” katanya.

Katanya, eksploitasi kanak-kanak bukan hanya melibatkan unsur kekerasan atau paksaan fizikal yang jelas.

Ia juga boleh berlaku secara halus dan mungkin sukar dikesan contohnya dalam konteks perniagaan keluarga.

Misalnya, terdapat ibu bapa yang menetapkan aktiviti perniagaan sebagai satu kewajipan, lalu memaksa anak terlibat tanpa memberi mereka pilihan atau suara untuk menolak.

Kanak-kanak berkenaan mungkin diarahkan untuk turun ke pasar malam, menyertai ekspo dan menjual barangan dari rumah ke rumah, walaupun mereka sendiri tidak selesa, malah tidak memahami tujuan sebenar di sebalik usaha itu.

Malah, katanya,terdapat situasi di mana anak dijadikan sebagai wajah utama bagi mempromosikan perniagaan keluarga.

Namun, tanpa disedari, imej dan emosi anak itu dimanipulasi untuk tujuan komersial.

“Kesan daripada itu, anak-anak terpaksa mengorbankan masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk belajar, bermain dan berehat.

“Kehidupan mereka jadi tidak seimbang seperti keletihan di sekolah, hilang tumpuan dalam pembelajaran atau kurang bersosial dengan rakan sebaya.

“Hal ini boleh menjejaskan perkembangan semula jadi kanak-kanak yang sepatutnya melalui proses tumbesaran dengan gembira dan bebas,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, terdapat ibu bapa yang menjadikan kejayaan jualan anak sebagai simbol kebanggaan keluarga.

Mereka terlalu ghairah mempamerkan keuntungan atau pencapaian anak di media sosial, hingga tanpa disedari, anak itu mula memikul satu beban yang berat.

 

Peranan ibu bapa
Justeru, Bustam menyarankan ibu bapa agar menilai dengan jujur tahap kesesuaian umur dan kematangan anak sebelum melibatkan mereka dalam aktiviti perniagaan.

Katanya, tidak semua kanak-kanak mempunyai minat atau kesediaan mental untuk berinteraksi dengan pelanggan, mengurus wang atau bertahan dalam persekitaran yang sibuk.

“Penglibatan mereka harus datang daripada keinginan sendiri, bukan hasil tekanan mahupun paksaan daripada orang dewasa,” katanya.

Tambahnya, perniagaan yang dijalankan bersama anak-anak seharusnya menjadi aktiviti yang santai dan menyeronokkan.

“Lebih penting, aktiviti perniagaan itu tidak seharusnya mengganggu masa pembelajaran dan rehat.

“Tempoh paling sesuai untuk mengajak anak-anak berniaga bersama-sama ialah dalam tempoh singkat seperti satu hingga dua jam sahaja pada hari biasa atau hujung minggu serta cuti sekolah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN