Trend tidak mahu anak tingkatkan risiko kanser ovari

Trend tidak mahu anak tingkatkan risiko kanser ovari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan gaya hidup tanpa anak (childfree) dan Dual Income, No kids (DINK) yang semakin popular dalam kalangan pasangan muda meningkatkan risiko kanser ovari.

Faktor seperti tekanan ekonomi, keutamaan kerjaya dan ingin bebas sering menjadi sebab utama.

Pakar Perunding Sakit Puan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr .Tan Teck Sin berkata, trend tersebut memberi impak terhadap kesihatan reproduktif khususnya berkaitan risiko kanser ovari.

“Itu merupakan hak masing-masing, tetapi perlu tahu kehamilan boleh mengurangkan risiko kanser ovari dan rahim.

“Ini menjadikan perbincangan antara ibu dan anak perempuan mengenai kesihatan reproduktif semakin penting,” katanya.

Risiko kanser ovari lebih rendah dalam kalangan wanita yang pernah mengalami kehamilan penuh, walaupun hanya sekali.

Semasa hamil, ovari ‘direhatkan’ daripada proses ovulasi (proses pelepasan telur dari ovari) buat sementara waktu sekali gus mengurangkan kadar kerosakan pada sel yang akan mencetuskan pertumbuhan kanser atau sel yang tidak normal.

Ovari yang sentiasa ‘bekerja’ meningkatkan kerosakan dan baik pulih sel akan meningkatkan risiko pertumbuhan sel tidak normal.

Di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser keempat paling kerap berlaku.

Pada peringkat global, ia menduduki tempat kelapan dalam senarai kanser paling umum dalam kalangan wanita.

Lebih membimbangkan, kira-kira 70 peratus kes hanya dikesan ketika sudah mencapai tahap lanjut di mana kanser telah merebak dan rawatan menjadi lebih rumit.

Kadar kelangsungan hidup lima tahun di negara ini hanyalah 43 peratus sekali gus menunjukkan kepentingan pengesanan awal bagi mengoptimumkan rawatan.

‘PEMBUNUH SENYAP’ YANG SUKAR DIKESAN

Kanser ovari sering digelar ‘pembunuh senyap’ kerana pada peringkat awal penyakit itu tidak menunjukkan sebarang gejala. Ramai wanita berasa sihat dan terus menjalani aktiviti harian tanpa menyedari ada masalah kesihatan yang serius.

Ia disebabkan ovari yang terletak di dalam rongga abdomen dan sukar diakses serta tidak mudah dikesan atau dirasai semasa pemeriksaan rutin.

Gejala yang muncul selalunya tidak jelas dan mudah disalah anggap sebagai masalah penghadaman atau kitaran haid.

Misalnya, seperti kembung perut berterusan, ketidakselesaan pada bahagian abdomen, pembesaran abdomen yang ketara, hilang selera makan dan dalam kes yang lebih serius, kesukaran bernafas.

“Gejala-gejala ini terlalu umum sehinggakan pesakit biasanya mendapat rawatan daripada pengamal perubatan umum, pakar perubatan dalaman, pakar bedah umum atau pakar gastroenterologi sebelum dirujuk kepada pakar sakit puan.

“Keadaan ini melambatkan diagnosis dan menyebabkan kesan yang serius. Apabila gejala mulai muncul, selalunya kanser sudah berada di tahap yang serius,” ujarnya.

PERANAN IBU

Dalam era wanita semakin berdikari dan berhak menentukan masa hadapan sendiri, pengetahuan tentang kesihatan reproduktif menjadi lebih penting daripada sebelumnya.

Justeru, perbualan mengenai kesihatan dalaman tidak sepatutnya terhad di klinik, tetapi juga di meja makan dan ruang keluarga.

Ramai wanita tidak sedar, mengelak kehamilan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan risiko kanser ovari.

Justeru, komunikasi antara ibu dan anak perempuan penting bagi membincangkan isu berkaitan kesihatan wanita, termasuk kesan gaya hidup terhadap kesuburan dan risiko kanser.

Ibu berperanan sebagai penyampai maklumat awal kepada anak perempuan mereka.

Perbualan terbuka mengenai kesihatan reproduktif boleh menjadi langkah pencegahan berkesan terhadap ‘pembunuh senyap’ wanita ini.

Seperti yang dilakukan Lee Yoke Woon, seorang ibu berusia 59 tahun yang mengubah kehidupan seluruh keluarganya apabila disahkan menghidap kanser ovari.

Pada awalnya, gejala yang dialami hanyalah disangkakan jangkitan saluran kencing biasa.

“Saya hanya mengalami sakit perut yang tidak begitu teruk. Namun pada Jun 2020, saya didiagnosis menghidap kanser ovari.

“Ia sangat mengejutkan, terutamanya sebab saya selalu dikenali sebagai seorang yang sihat,” kongsinya.

Diagnosis itu memberikan kesan besar kepada keluarga, terutama anak perempuannya.

Namun begitu, ia juga mengeratkan hubungan mereka dan mendorong perubahan ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Suami dan anaknya mula makan dengan lebih sihat dan peka terhadap gejala awal.

Ia juga menjadi titik permulaan misi melindungi anak perempuannya melalui kesedaran kesihatan.

“Sebagai ibu, saya mahu melindungi anak saya. Ketika saya didiagnosis, saya sedih melihat anak perempuan saya terkejut.

“Saya nampak sihat, tiada siapa sangka kanser akan terjadi kepada salah seorang ahli keluarga kami,” katanya.

Pengalaman ini membawa perubahan besar dalam hidup mereka yang bukan sahaja mula menjaga pemakanan, malah mengamalkan perbincangan terbuka mengenai kesihatan.

“Sekarang, saya selalu ingatkan anak saya jangan tunggu. Dengar isyarat tubuh. Kalau rasa ada yang tidak kena, cepat-cepat berjumpa doktor. Pemeriksaan awal dengan pakar sakit puan boleh menyelamatkan nyawa.

“Ibu-ibu mengajar anak perempuan untuk berjalan, belajar dan berbuat baik. Justeru, kita juga perlu ajar mereka memahami tubuh sendiri, mengenali tanda-tanda amaran dan mengutamakan kesihatan. Ini antara pengajaran paling penting yang boleh saya sampaikan.” ujarnya.

FAKTOR RISIKO

Walaupun kanser ovari boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko.

Antaranya, usia, masalah kesuburan atau tidak pernah melahirkan anak, sejarah keluarga dengan kanser ovari atau payudara serta mutasi gen tertentu seperti BRCA1 dan BRCA2 (gen yang membawa risiko lebih tinggi untuk kanser payudara dan ovari).

Faktor lain yang kurang ketara adalah kitaran haid yang bermula terlalu awal, menopaus lewat dan endometriosis.

Kira-kira 25 peratus kes kanser ovari tertentu berkait rapat dengan faktor keturunan.

Oleh itu, ujian genetik amat penting bagi wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser.

“Bagaimanapun, saringan genetik perlu dilakukan dengan berhati-hati. Ia boleh memberikan kesan terhadap perkara lain seperti perlindungan insurans,” kata Dr. Tan.

KAEDAH SARINGAN

Sehingga kini, masih belum ada kaedah saringan yang benar-benar berkesan untuk mengesan kanser ovari.

Ujian seperti ultrabunyi transvagina dan penanda tumor CA-125 (ujian darah yang mengesan tahap protein yang meningkat dalam kes kanser ovari) boleh membantu, tetapi tidak 100 peratus tepat.

“Kadang-kadang ujian seperti ini beri keputusan positif palsu yang boleh menyebabkan pembedahan yang tidak diperlukan,” jelasnya.

Disebabkan itu, pihak berwajib dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting memperkasa pendidikan dan kesedaran untuk mendidik wanita lebih peka terhadap tubuh dan bertindak cepat walaupun hanya mengalami gejala kecil.

Seorang ibu yang tahu tanda-tanda ini boleh melindungi diri sendiri serta mendidik anak perempuannya.

Apatah lagi hubungan kekeluargaan yang rapat antara ibu dan anak akan memudahkan lagi proses berkongsi rasa dan cerita, terutamanya mengenai kesihatan dalaman.

RAWATAN

Rawatan untuk kanser ovari biasanya melibatkan pembedahan dan kemoterapi.

Walaupun pembedahan masih kekal sebagai rawatan utama, teknik pembedahan invasif minimum (MIS) semakin mendapat perhatian.
Begitupun, penggunaan MIS masih terhad dalam rawatan kanser ovari, walaupun pada peringkat awal.

Bagi pesakit muda yang masih berada pada peringkat awal, mereka ada pilihan untuk mengekalkan kesuburan.

“Kita boleh pertimbangkan pembedahan pemeliharaan kesuburan atau kriopreservasi (pembekuan) telur atau tisu ovari sebelum rawatan. Sayangnya, kemudahan ini masih terhad di Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN