Nanacatz Hotel lambang dedikasi, semangat Aina

Nanacatz Hotel lambang dedikasi, semangat Aina

Aina Syazwani Muhammad Razi menunjukkan hotel kucing miliknya yang terletak di Semenyih, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan sekadar minat terhadap kucing, pengusaha muda Aina Syazwani Muhammad Razi, 28, berjaya mengembangkan perniagaan keluarga menjadi sebuah jenama yang dikenali dalam kalangan pencinta haiwan peliharaan iaitu Nanacatz Hotel.

Graduan dalam bidang Risiko dan Pengurusan Kewangan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini mengusahakan hotel kucing itu bersama keluarganya sejak tahun 2020 di Semenyih, Selangor.

Di sebalik tugasan harian sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, dia turut menguruskan operasi harian perniagaan dengan bantuan dua orang staf tetap serta ahli keluarga terdekat.

“Kami sekeluarga berbincang idea perniagaan dan akhirnya memilih untuk membuka hotel kucing kerana minat mendalam terhadap haiwan itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun pada awalnya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan, Aina Syazwani yakin memulakan langkah pertama berbekalkan sokongan padu daripada keluarga serta kenalan yang berpengalaman dalam dunia perniagaan.

“Modal permulaan kami sekitar RM70,000 hingga RM100,000. Keyakinan itu datang kerana saya tidak keseorangan. Keluarga dan rakan banyak membantu sejak awal,’’ jelasnya.

Kini, setelah lima tahun beroperasi, Nanacatz Hotel menerima sambutan yang memberangsangkan. Ramai pelanggan setia sejak awal penubuhan, selain kehadiran pelanggan baharu yang semakin meningkat.

“Alhamdulillah, pelanggan lama masih bersama kami sehingga kini dan ramai pelanggan baharu juga beri maklum balas yang sangat positif terhadap servis kami,’’ ujarnya.

Seperti kebanyakan usahawan lain, Aina Syazwani turut berdepan cabaran besar ketika pandemik COVID-19. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), operasi hotel terpaksa dihentikan sepenuhnya.

“Waktu PKP, kami memang tidak boleh buka langsung. Tetapi apabila kerajaan benarkan rentas negeri, kami terus guna media sosial untuk maklumkan pelanggan kami sudah beroperasi semula,’’ katanya.

Mengulas mengenai cabaran, katanya, perniagaan itu bermusim. Ketika musim cuti dan perayaan, bilik sering penuh. Sebaliknya, pada hari biasa, permintaan menjadi perlahan.

“Kalau bukan musim cuti, kami tumpukan pada servis grooming supaya aliran pendapatan kekal stabil,’’ katanya.

Meskipun operasi keluar masuk ditutup ketika hari raya, penjagaan kucing tetap diteruskan dengan penuh tanggungjawab. Proses pembersihan menyeluruh dilakukan dari setiap hari.

“Kadang-kadang dari pagi hingga tengah hari kami bersihkan semua bilik. Sebelum ada staf tetap, saya dan adik serta ayah yang uruskan,” katanya.

Seiring pengalaman, jadual diatur lebih sistematik dengan staf yang bekerja secara bergilir.

Hotel si bulus ini mampu menampung lebih 100 ekor kucing dalam satu masa dan menawarkan enam jenis bilik iaitu Standard Room, Deluxe Room, Premium Room, Presidential Suite dan Suite.

Semua bilik dilengkapi penghawa dingin dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kucing terjamin.

“CCTV kami juga boleh kesan sebarang pergerakan. Kami hantar video setiap hari kepada pelanggan yang memerlukan, supaya mereka boleh lihat sendiri keadaan anak bulus mereka,’’ jelasnya.

Menguruskan banyak kucing serentak bukan mudah, namun semangat dan disiplin menjadikan tugas itu satu kepuasan.

“Saya selalu tekankan pada staf, kalau kucing kencing, jangan tunggu petang. Terus bersihkan supaya tidak berbau. Kalau staf tidak cukup, saya sendiri turun padang,’’ katanya.

Walaupun menerima permintaan untuk menjaga haiwan peliharaan lain, Nanacatz memilih untuk kekal fokus hanya kepada penjagaan kucing bagi mengekalkan kualiti.

Antara kes paling diingati, mereka pernah menjaga seekor kucing milik pelanggan selama setahun dan ada juga kes di mana pemilik tidak mengambil semula kucing disebabkan tidak mampu.

Begitupun, Aina Syazwani meletakkan harapan besar perniagaan itu terus berkembang dan mampu memberi perkhidmatan terbaik secara konsisten.

“Kami akan terus tambah baik dari semasa ke semasa dan beri layanan terbaik kepada pelanggan tetap mahupun pelanggan baharu,’’ katanya.

Nanacatz Hotel bukan sekadar tempat jagaan haiwan peliharaan, tetapi lambang dedikasi, kasih sayang dan semangat keusahawanan seorang anak muda yang berjaya menukar minat menjadi sumber rezeki serta inspirasi buat generasi baharu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN