Fenomena remaja di bawah umur terlibat dalam kegiatan jenayah semakin membimbangkan.
Ramai berpendapat, gaya hidup bebas mendorong remaja senang dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk terjebak dalam aktiviti jenayah.
Bagaimanapun, Pakar Antropologi dan Sosiologi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Khairuddin Mohad Sallehuddin berkata, faktor terbesar yang menyumbang kepada keadaan itu ialah keluarga.
Katanya, keluarga merupakan institusi sosial paling penting dalam membentuk sahsiah dan tingkah laku anak.
Katanya, sama ada sesebuah keluarga berkenaan memainkan fungsi dengan baik atau sebaliknya, dapat memberi pengaruh besar terhadap kecenderungan remaja untuk terlibat dalam jenayah.
“Institusi keluarga yang tidak berfungsi sering menjadi punca utama yang mempengaruhi pemikiran remaja berkelakuan tidak baik.
“Keluarga itu mungkin berdepan masalah seperti perceraian, keganasan rumah tangga, ibu bapa yang tidak bertanggungjawab, makanya anak-anak tidak menerima kasih sayang mencukupi,” katanya.
Akibatnya, kanak-kanak atau remaja sukar untuk mendapatkan saluran bagi meluahkan masalah mereka.
Katanya, mana-mana individu yang dibesarkan dalam suasana itu cenderung mudah memberontak.
Lebih membimbangkan, keluarga yang tidak berfungsi juga gagal menjadi contoh teladan baik kepada remaja.
Misalnya, jika ibu bapa terlibat dalam jenayah atau tidak menghormati undang-undang, anaknya mungkin meniru perbuatan sama di masa depan.
Keadaan tersebut akhirnya membentuk budaya jenayah sebagai perbuatan normal bagi remaja.
“Berdasarkan kes lalu, kajian mendapati terdapat perbuatan jenayah seperti membuli dan mencuri sengaja dilakukan oleh peringkat umur muda itu, hanya semata-mata bagi meraih perhatian,” katanya.
Kata Mohd. Khairuddin, remaja yang datang daripada keluarga sempurna pula tidak mudah terjebak dalam aktiviti itu.
Malah, mereka tahu membezakan perkara yang baik untuk dicontohi manakala menjauhi hal buruk.
Bergantung pada media sosial
Disebabkan tiada perhatian daripada ibu bapa, remaja bermasalah mula menjadikan media sosial dan hiburan moden sebagai peneman sejati.
“Mereka tidak mengambil kisah sekiranya melihat atau mendengar drama dan lagu yang mengandungi elemen sensitif seperti keganasan, pembunuhan secara terbuka dan paparan lucah.
“Ini sekali gus menyumbang kepada pembentukan tingkah laku agresif dalam kalangan remaja, malah, sukar diubah jika ia terus dilakukan,” katanya.
Bagi remaja yang kurang matang, pendedahan tersebut boleh menormalisasikan perbuatan jenayah dan menghakis rasa takut atau bersalah mereka apabila melanggar peraturan atau undang-undang.
Justeru, Mohd. Khairuddin berharap kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama-sama menggalas tanggungjawab penting itu.
Katanya, kedua-dua pihak perlu saling melengkapi dalam mewujudkan pendekatan holistik bagi membendung kegiatan jenayah dalam kalangan remaja.
Walaupun, kerajaan menggubal pelbagai dasar dan melaksanakan program membendung jenayah remaja, namun, ia haruslah diperkasakan mengikut perkembangan semasa.










