Pendidikan adalah hak semua. Bagaimanapun, adakalanya kemiskinan menyebabkan ramai yang tidak dapat menikmati hak tersebut.
Sehingga menyebabkan, sesebuah keluarga itu terus dibelenggu kemiskinan akibat tiadanya pendidikan.
Menuntut ilmu pula adalah kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan.
Sebabnya, ilmu menjadi kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara tersebut baik atau tidak.
Dalam pada itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat. (al-Mujadalah:11)
Atas kesedaran itu, Maahad Imam Syafie (MIS) ditubuhkan di sebuah wilayah di Kampot, selatan Kemboja.
Ia terletak di tepi sungai Praek Tuek Chhu iaitu kira-kira 150 kilometer dari Phnom Penh.
Penduduk Islam adalah minoriti iaitu kira-kira 30,000 orang daripada keseluruhan kira-kira 600,000 penduduk.
Bermula dengan program korban pada 2009, lima sahabat iaitu Mohd. Zamerey Abdul Razak, Prof. Madya Dr. Zawawi Ismail, Rahimi Md. Saad, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman dan Prof. Madya Dr. Muhammad Zahiri Awg. Teh, rakan sepengajian di Universiti Yarmouk,
Jordan memilih membantu dalam perkembangan pendidikan di Kemboja.
Ketika itu, umat Islam Kemboja agak ketinggalan dalam aspek pendidikan terutama bagi pendidikan menengah.
Kekangan utama adalah faktor kewangan yang menyebabkan ramai hanya bersekolah peringkat rendah sehingga darjah enam.
Pada ketika itu, ramai yang tidak mampu menyambung pengajian di peringkat menengah. Malah di awal pembukaan MIS, cabaran utama adalah mendapatkan 30 pelajar pertama.
Sebabnya, majoriti ibu bapa tidak mampu membayar yuran pengajian sebanyak AS$1 (RM2.50).
Ini menyebabkan, ramai remaja terutama yang lelaki berhijrah ke Phnom Penh atau mencari kerja untuk kelangsungan hidup.
Mohd. Zamerey yang juga Pengerusi Yayasan Imam Syafie (YIS) berkata, apabila tamat sekolah rendah pada usia sekitar 12 ke 13 tahun, ramai yang mengambil keputusan untuk berkahwin terutama bagi remaja perempuan.
Ini mencetuskan isu sosial seperti perceraian pada usia muda, lambakan anak yatim dan ramai wanita bergelar janda pada usia yang masih mentah.
Hasil kajian juga mendapati, nisbah pelajar Islam yang melanjutkan pengajian di universiti amat kecil.
“Untuk itu kami memilih Kampung Keh kerana nasib umat Islam di Kampot kurang terbela berbanding di wilayah lain.
“Pada 2009, hanya sebuah sekolah agama integrasi wujud di Kampot yang diusahakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan bantuan kerajaan Kuwait,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sekolah tersebut tidak mampu menampung keperluan pelajar Islam yang datang dari 33 perkampungan Islam di Kampot dan hanya memberi tumpuan kepada anak-anak yatim. Selain itu, tiada pengisian pada waktu malam bagi pelajar yang tinggal di asrama.
Kini selepas MIS yang dulunya dikenali sebagai Maahad Akademi Imam Syafie ditubuhkan pada 2010, terus mengorak langkah dan berjaya melahirkan ramai ilmuan Islam di Kemboja.
Mohd. Zamerey berkata, jumlah pengambilan pelajar sejak 2010 adalah 617 dengan jumlah murid semasa adalah 274 orang.
Mereka memasuki AIS bermula dari tingkatan 1 iaitu pada usia 12 tahun dan ke atas dan mengikuti pengajian selama enam tahun.

Selepas tamat tingkatan 6, pelajar yang lulus mendapat Sijil Menengah Ugama dan BAKDUP (peperiksaan Baccalaureate atau yang dikenali juga BACII).
Dengan kelulusan ini (setaraf Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia), para pelajar boleh menyambung pengajian di peringkat universiti.
Setakat ini, ramai lepasan MIS berjaya melanjutkan pengajian di peringkat universiti tempatan ataupun luar negara.
Malah, sebahagian kecil mereka mendapat biasiswa yang diusahakan oleh YIS.
Satu lagi kelebihan belajar di MIS adalah semuanya percuma. Ia hasil inisiatif Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIS yang komited mencari dana bagi memastikan pelajar selesa selain dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pendidikan.
Sukatan pendidikan adalah gabungan Kurikulum Kebangsaan Kementerian Pelajaran Kemboja, Kurikulum Menengah Agama Malaysia iaitu Sijil Menengah Ugama, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Kurikulum Tahfiz-Maahad Tahfiz Sains Yayasan Islam Kelantan.
Pelajar cuma dikenakan yuran tahunan kecuali pada 2019 hingga 2021 ketika zaman Covid-19, pelajar asrama dikenakan yuran AS$10 (RM43) sebulan.
Namun sejak 2012, semua kos belajar, makan minum dan asrama ditaja sepenuhnya oleh MIS.

“Setakat ini, dua pelajar MIS lulus sarjana muda Sijil Tinggi Agama Islam Imam Syafie di Indonesia, tiga mendapat sarjana muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), enam lulus ijazah pertama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (uniShams). Semua mereka juga mendapat tajaan dengan inisiatif YIS.
“Dua bekas pelajar kita turut lulus diploma Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat biasiswa Jakim manakala seorang lagi lulusan universiti Arab Saudi,” jelasnya.
Pun begitu, berdasarkan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu, MIS turut berdepan dengan peningkatan kos operasi.
Faktor utama adalah kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.
Kos operasi MIS adalah kira-kira AS410,000 (RM43,000) sebulan melibatkan gaji guru dan kakitangan sekolah, makan minum murid dan penyelenggaraan kemudahan serta infrastruktur.
Mohd. Zamerey berkata, pada 2011 kadar tukaran ringgit dan dolar adalah kira RM2.50 untuk AS$1 tetapi kini ia mencecah RM4.2 ke RM4.3.
Selain itu, katanya, inflasi juga meningkat di mana kos upah semasa membina bangunan sekolah dan asrama dulu adalah kira-kira AS$3 (RM8) sehari berbanding sekarang AS$20 ke AS$25 (RM100) sehari.
“Cabaran paling besar adalah memastikan pelaksanaan kurikulum berjaya mencapai matlamat iaitu melahirkan generasi yang bersedia untuk menyumbang kepada kemajuan umat Islam di Kemboja. Ia bukan sekadar mengejar atau mencipta kejayaan peribadi.
“Kejayaan yang diinginkan pula bukan sekadar penguasaan akademik tetapi melibatkan perubahan sikap dan rasa bertanggungjawab terhadap umat keseluruhan.

“Tumpuan kita juga bukan untuk melahirkan ustaz atau orang agama tetapi semua bidang termasuk profesional,” jelasnya.
Dalam masa sama, MIS masih memerlukan dewan separa terbuka untuk kegunaan sebagai kantin dan dewan makan pelajar lelaki. Anggaran kos pembinaan bersaiz 112 meter persegi adalah AS$10,000 (RM43,000).
Setelah 15 tahun kewujudannya, MIS kini menjadi pusat pendidikan yang disegani dan mendapat pengiktirafan masyarakat Kemboja.
Selain berjaya melahirkan para pelajar yang cemerlang dan berkualiti baik dalam aspek jasmani dan rohani, lepasan MIS sudah ada yang kembali untuk menabur bakti berkhidmat di negara mereka.
Bagi yang ingin menyumbang di MIS bolehlah menaja gaji guru atau kakitangan sekolah sama ada secara bulanan atau tahunan.
Sumbangan juga bagi tajaan kos sara hidup murid secara bulanan atau tahunan, tajaan kos operasi sekolah dan tajaan atau biasiswa untuk pengajian tinggi untuk lepasan MIS.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Kerjasama Rakyat Malaysia nombor 1101460922 atas nama Yayasan As-Syafie.










