MALAM Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau 2025 pada 23 dan 24 Mei lalu membuka ruang kepada seluruh rakyat jelata menjejakkan kaki ke istana.
Tepat pukul 9 malam, sebaik sahaja pintu pagar Istana Arau dibuka menyaksikan puluhan ribu pengunjung memasuki istana bagi menyaksikan keindahan gemerlapan lampu hiasan sempena MKC itu.
MKC Istana Arau 2025 itu dianjurkan pejabat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melalui Pusat Komunikasi Korporat (PKK) dan Pusat Kebudayaan (PKBU) bersempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82.
Selepas MKC terpaksa dihentikan seketika pada 2020 ekoran pandemik Covid-19, ternyata tahun ini ia mendapat sambutan cukup hebat.
Dianggarkan lebih 32,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum seluruh pelosok negeri ini hadir dalam program dua hari itu.
Acara tradisi tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara institusi diraja dengan masyarakat setempat dan sejak diperkenalkan pada 2012, ia menjadi platform tahunan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat termasuk pelancong luar.
Selain menyaksikan keindahan cahaya lampu, pelbagai pengisian menarik diatur seperti persembahan kebudayaan, pameran Galeri Diraja, pertunjukkan bunga api serta aktiviti interaktif yang melibatkan komuniti setempat.
Untuk rekod, MKC adalah hasil cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi mendekatkan rakyat dengan institusi diraja.
Pengarah PKK Unimap, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir berkata, PKK dan PKBU bertanggungjawab dalam penyusunan acara pentas serta persembahan seni dan budaya.
Katanya, kehadiran pengunjung yang memberangsangkan setiap tahun mencerminkan kejayaan program ini dalam memupuk semangat kekitaan dan menghargai warisan budaya negeri ini selain menerapkan konsep raja dan rakyat berpisah tiada.

“Meskipun dalam keadaan hujan renyai pada malam pertama, namun pengunjung tidak berganjak menyaksikan persembahan kebudayaan dan keindahan cahaya.
“Pada malam kedua pula merekodkan sejarah baharu apabila lebih 25,000 pengunjung hadir.
“Jumlah itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan sepanjang penganjuran MKC.
“Malah jika dikira jumlah keseluruhan sepanjang dua malam tersebut, mencatatkan lebih 32,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan MKC 2025,” katanya.
Kata Muhamad Azuan lagi, pelbagai persembahan kebudayaan turut disajikan kepada pengunjung.
“Rata-rata pengunjung tidak bergerak dari pekarangan istana sehingga acara ditutup dengan tembakan bunga api tepat pukul 12 tengah malam.
“Saya berterima kasih kepada semua petugas terlibat terutama warga PKK dan PKBU kerana memberikan komitmen terbaik dalam memastikan kelancaran program ini.
“Semoga komitmen ini dapat diteruskan pada edisi akan datang. Untuk rekod juga, pengunjung tertinggi bagi satu malam yang pernah dicatatkan sebelum ini adalah sebanyak 19,000 pada MKC 2018,” katanya.
Seorang pengunjung, Fairuz Hamid, 42, tidak melepaskan peluang membawa tiga anaknya menyaksikan keindahan cahaya lampu dan lanskap indah di pekarangan Istana Arau.
“Program seperti ini membolehkan rakyat memasuki istana dan kami tidak melepaskan peluang untuk hadir.
“Istana penuh dengan pengunjung sepanjang dua hari malam kilauan cahaya tersebut,” katanya.










