Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ramai pengguna memilih untuk berjimat-cermat dalam berbelanja.
Justeru, kedai serbaneka yang menawarkan harga RM2.60 sering menjadi tumpuan bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dan makanan.
Antara yang laris dibeli ialah perkakas dapur plastik seperti senduk, sudu, bekas makanan dan cawan.
Pakar alam sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, di sebalik harga barangan plastik yang murah, sebenarnya tersembunyi satu risiko besar yang jarang diberi perhatian oleh masyarakat.
Ia kerana kebanyakan perkakas itu dihasilkan daripada bahan yang tidak diketahui asal-usulnya dan langsung tidak mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

“Lebih membimbangkan, produk-produk itu juga berkemungkinan besar mengandungi bahan kimia berbahaya seperti Bisphenol A (BPA).
“Bahan kimia itu mudah meresap dalam makanan dan minuman, jika dalam keadaan panas atau baru keluar dari ketuhar gelombang mikro,” katanya.
Pendedahan berpanjangan kepada bahan-bahan toksik itu boleh mengganggu sistem hormon dan meningkatkan risiko kanser, gangguan kesuburan serta masalah metabolisme.
Sementara itu, kata Haliza, penggunaan plastik berkualiti rendah bukan sekadar mengancam kesihatan pengguna, malah menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Produk plastik murah lazimnya tidak tahan lama dan sering dibuang selepas tempoh singkat penggunaan.
Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan sisa plastik yang sukar dilupuskan dan memberi kesan buruk kepada ekosistem semula jadi.
Bagaimanapun, ujarnya, penguatkuasaan terhadap produk plastik kurang berkualiti masih longgar di negara ini.
Ia jelas dilihat apabila ramai peniaga tidak mengambil inisiatif dalam memastikan barangan yang dijual selamat.










