Kembara dingin ala ‘Elsa’ di Snowalk

Kembara dingin ala ‘Elsa’ di Snowalk

replika-replika yang disediakan membuatkan terasa seperti berada di dalam filem fantasi barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak perlu mengeluarkan wang banyak hanya semata-mata ke luar negara untuk menikmati musim sejuk kerana di Shah Alam, Selangor pun boleh bermain ‘salji’.

Snowalk di i-City, Shah Alam menyediakan pengalaman bagi orang dewasa mahupun anak kecil untuk merasai pengalaman bagaikan berada di negara empat musim.

Memasuki pintu utama Snowalk, saya seperti terus dibawa ke satu tempat yang asing walaupun masih berada di ruangan kaunter pendaftaran.

Sebelum masuk ke ruangan pertama yang mana suhu rendah ketika bermulanya musim salji, kami disediakan jaket tebal dan kasut secara percuma.

Bagi sarung tangan, stokin, penutup telinga, skaf dan topi salji pula perlu dibeli di ruangan kaunter.

Terdapat pelbagai pilihan warna dan saiz jaket tebal yang ditawarkan, sesuai untuk pengunjung yang mementingkan penampilan agar tampak bergaya dan menarik dalam setiap potret yang dirakam.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke stesen pertama, mata saya tertancap pada suasana yang indah yang dihiasi dengan arca ais diukir cantik.

Terdapat juga replika seperti kereta luncur ais kuda, arnab, kancil dan rusa.

 

Lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) yang berwarna-warni menambah keindahan pemandangan di dalam Snowalk yang kelihatan seperti di dalam cerita dongeng negara barat.

Sekejap sahaja saya terlupa diri ini masih berada di Shah Alam, dek terhanyut dengan musim salju buatan itu sambil berangan-angan menjadi watak dalam filem animasi Frozen iaitu Elsa.

Andai kata diri ini masih lagi kanak-kanak, sudah pasti saya akan menjerit kegembiraan sambil menyanyikan lagu Let it go yang menjadi lagu tema filem fantasi popular itu.

Sebelum melangkah ke dalam, kami diminta bergambar dahulu dibantu oleh jurugambar khas di pintu masuk, sebagai kenangan manis sebelum ‘pengembaraan dingin’ bermula.

Ketika masuk, kami berjalan perlahan-lahan dan berhati-hati memandangkan permukaan lantai agak licin disebabkan salji tiruan yang menutupi ruang.

Kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar sebanyak yang mungkin, bersama setiap bentuk arca yang ada seperti patung beruang besar, rumah iglu, taman ais dan sebagainya.

Namun, kami tidak mampu bertahan lama di satu-satu tempat kerana suhu begitu sejuk dan terasa mencengkam.

Tanpa membuang masa, kami teruskan perjalanan ke bahagian lebih dalam sambil menikmati pemandangan beku yang memukau.

Sesekali, kami melangkah laju untuk mencari ruang yang sedikit ‘hangat’.

Semakin menelusuri ke dalam, suhu bilik semakin menurun, serendah kurang daripada negatif lapan darjah celsius. Walaupun memakai baju tebal dan sarung tangan, rasa sejuk yang mencengkam tetap terasa hingga ke tulang.

Bahagian yang paling menyeronokkan ketika kami tiba di stesen terakhir.

Di situ, kami berpeluang bermain dengan lebih bebas, kepakkan tangan dan kaki sambil membaringkan diri untuk membentuk snow angel di atas permukaan salji tiruan yang tebal.

Kami ketawa tanpa henti, seperti kanak-kanak yang lupa dunia, benar-benar terbuai dalam suasana musim sejuk yang mengasyikkan itu.

Akhir sekali, kami mencuba gelongsor ais yang meluncur dengan laju.

Hilang sebentar rasa malu malu walaupun dikelilingi kanak-kanak, dek rasa teruja menikmati waktu bersantai dikelilingi salji.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×