Keindahan air terjun ‘Jurassic’

Keindahan air terjun ‘Jurassic’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik Empangan Bengoh di Padawan, Sarawak tersembunyi sebuah khazanah alam semula jadi yang cukup mengasyikkan iaitu Air Terjun Susung.

Destinasi ini mungkin terpencil, namun keindahannya membuatkan ramai sanggup meredah perjalanan mencabar demi menikmati panorama luar biasa yang ditawarkan.

Uniknya, suasana di sekitar air terjun ini sering digambarkan seperti berada dalam dunia Jurassic Park.

Ia benar-benar memberi pengalaman luar biasa, seolah-olah kembali ke zaman silam, jauh dari hiruk-pikuk kemodenan.

Untuk ke sini, pengunjung perlu menaiki bot merentasi Empangan Bengoh selama 20 minit.

Setibanya di jeti, pendakian kira-kira 30 minit pula menanti.

Trek menuju ke Air Terjun Susung membawa pengunjung menelusuri hutan hujan tropika yang masih terjaga, dengan flora dan fauna unik termasuk deretan pokok buluh dan batuan yang membentuk laluan semula jadi mencabar tetapi mengujakan.

Deruan serangga hutan, kicauan burung dan desiran daun yang bersentuhan dengan angin menjadi muzik latar sepanjang perjalanan.

Walaupun trek agak mencabar, suasana sekeliling memberikan motivasi untuk terus mara ke destinasi utama.

Apabila tiba di lokasi air terjun, segala penat lelah hilang sekelip mata.

Air Terjun Susung menjulang megah, dengan airnya yang jernih dan dingin mengalir di celahan batu besar yang dilitupi lumut.

Ia menjadi tempat paling sesuai untuk berendam, mandi atau sekadar bersantai sambil menikmati keindahan semula jadi yang sukar dicari ganti.

Tidak hairanlah jika air terjun ini menjadi pilihan popular dalam kalangan pendaki dan jurugambar, kerana setiap sudutnya menawarkan pemandangan Instagrammable, termasuk akar pokok yang membentuk seperti buaian semula jadi.

 

KAMPUNG STING
Tidak ‘sah’ kunjungan anda tanpa singgah di Kampung Sting, sebuah perkampungan kecil masyarakat Bidayuh yang terletak kira-kira 45 minit dari air terjun.

Di kampung ini, pengunjung boleh menikmati pemandangan sekitar Empangan Bengoh dari aras yang lebih tinggi.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang mengenali gaya hidup masyarakat Bidayuh yang masih mengekalkan adat tradisi mereka.

Ia dapat dilihat dari segi kraftangan dan makanan.

Istimewanya, keindahan Air Terjun Susung adalah hasil komitmen komuniti setempat dalam memelihara alam sekitar.

Penduduk Kampung Sting bersama pemandu tempatan memainkan peranan penting bagi memastikan kawasan ini kekal bersih, selamat dan lestari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×