Allah berjanji menjaga keaslian Al-quran

Allah berjanji menjaga keaslian al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara janji Allah Taala adalah al-Quran akan dijaga daripada hilang dan terpesong sebagaimana yang termaktub dalam aurah al-Hijr ayat ke-9 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Dzikr (al-Quran) dan sesungguhnya Kami adalah penjaganya.”

Ayat ini merupakan salah satu bukti kebenaran al-Quran kerana sejak hari pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW di Gua Hira sehingga ke hari ini yang sudah melebihi 1414 tahun, al-Quran langsung tidak berubah teksnya dan berkurangan walaupun satu huruf.

Sekalipun kebanyakan orang Arab pada zaman Rasulullah SAW tidak pandai menulis dan berlaku pelbagai peperangan yang mengakibatkan kesyahidan para penghafaz al-Quran sepanjang 1414 tahun ini.

Akhirnya, al-Quran yang dibaca oleh seluruh kaum muslimin di seluruh dunia sejak zaman-berzaman tidak berbeza sama sekali teksnya.

RASULULLAH, SAHABAT AMBIL BERAT AL-QURAN

Setiap kali ayat-ayat al-Quran diwahyukan kepada Rasulullah SAW, Allah telah menjadikan ayat-ayat tersebut tersemat kukuh di dalam dada baginda secara mukjizat.

Selain menghafaz seluruh ayat al-Quran, baginda juga membacakannya kepada sahabat dalam solat berjemaah dan di majlis-majlis.

Baginda juga menggalakkan para sahabat untuk menghafaz sebanyak mungkin ayat yang mampu. Malah baginda pernah menjadikan mahar seorang pengantin wanita adalah suaminya yang mengajar membaca al-Quran.

Akhirnya ada para sahabat yang telah menghafaz seluruh ayat al-Quran al-Karim seperti Abu Bakr al-Siddiq, ‘Umar bin al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, ‘Ali bin Abu Talib, ‘Abdullah bin Mas‘ud, ‘Abdullah bin ‘Amr, Salim bin Ma‘qil, Ubayy bin Ka‘b, Mu‘adz bin Jabal, ‘Ubadah bin al-Somit, Abu al-Darda’, Zayd bin Thabit, Abu Ayyub, Sa‘d bin ‘Ubayd, Abu Zayd (pakcik Anas bin Malik), Abu Hurairah dan ‘Ubayd bin Mu‘awiyah.

Selain al-Quran dipelihara oleh Allah melalui hafazan Rasulullah SAW dan beberapa sahabat baginda, Allah juga telah mentakdirkan al-Quran dicatat sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Catatan al-Quran ini memudahkan para sahabat yang menghafaz untuk merujuknya jika terlupa ayat tertentu. Namun, kebanyakan sahabat tidak mampu membaca.

Lalu mereka menguatkan hafazan dengan cara mendengar bacaan Rasulullah SAW di dalam solat baginda sama ada solat fardu atau qiamullail dan juga dengan cara bertanya kepada para sahabat lain bagi mengingati kembali ayat ayat yang terlupa.

 

BILANGAN SURAH, AYAT AL-QURAN
Para ulama yang muktabar bersependapat yang jumlah seluruh surah diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah sebanyak 114 surah.

Bagaimanapun, ada juga di kalangan ahli ilmu yang mengatakan jumlahnya hanya 113 sahaja kerana menganggap ayat-ayat di dalam Surah al-Taubah sebenarnya adalah sambungan Surah al-Anfal, Ia kerana surah al-Taubah tidak dimulai dengan basmalah.

Namun, pandangan ini adalah lemah kerana ucapan sahabat Rasulullah SAW menunjukkan yang kedua-dua surah ini adalah berlainan.

Adapun bilangan keseluruhan ayat al-Quran, berlaku perbezaan pandangan para ulama dalam menentukan bilangannya secara tepat.

Perbezaan ini berlaku disebabkan Rasulullah SAW berhenti pada setiap akhir ayat dan seterusnya menyambung semula dengan membaca permulaan ayat baharu.

Ia bertujuan memberitahu sahabat apakah permulaan dan pengakhiran bagi setiap ayat-ayat al-Quran.

Setelah mereka mengetahui permulaan dan pengakhiran setiap ayat, maka Rasulullah SAW selepas itu kadang-kadang membaca dua ayat tanpa secara bersambung di akhir setiap ayat.

Akhirnya, ada para ulama yang berpandangan dua ayat tersebut sebenarnya satu ayat. Lalu menatijahkan perbezaan dalam menentukan bilangan ayat al-Quran. Walaupun begitu secara asasnya jumlah seluruh ayat-ayat al-Quran adalah sekitar 6,200 ayat.

Berdasarkan cetakan al-Quran di bawah seliaan Majma‘ al-Malik Fahd yang merupakan cetakan al Quran yang paling tersebar luas pada hari ini, jumlah seluruh ayat al-Quran adalah 6,236 ayat.

Secara tidak langsung, jelaslah maklumat yang tersebar kononnya keseluruhan ayat-ayat al Quran berjumlah 6,666 ayat adalah maklumat yang salah sama sekali.

 

FASA PENULISAN DI ERA RASULULLAH
Antara cara Allah menjaga keaslian teks al-Quran adalah dengan mentakdirkan al-Quran bukan sahaja dihafaz, sebaliknya turut dicatat dalam tiga fasa iaitu zaman Rasulullah SAW, Abu Bakr dan ‘Uthman bin ‘Affan.

Rasulullah SAW telah memilih beberapa sahabat untuk bertugas sebagai pencatat wahyu.

Maka apabila Allah menurunkan wahyu berupa al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, baginda memerintahkan mereka untuk mencatat ayat-ayat tersebut.

Oleh kerana, tiada kertas ketika itu, para sahabat mencatat ayat-ayat pada pelepah kurma, permukaan batu dan kulit binatang.

Antara sahabat Rasulullah SAW yang bertugas sebagai pencatat al-Quran ini adalah Abu Bakr al-Siddiq, ‘Umar bin al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, ‘Ali bin Abu Tolib, Zayd bin Thabit, Ubayy bin Ka‘b, al-Zubayr bin al-‘Awwam, Kholid dan Aban yang merupakan dua anak lelaki kepada

Sa‘id bin al-‘As bin Umayyah, Hanzolah bin al-Robi‘ al-Asadiyy, ‘Abdullah bin al-Arqom dan ‘Abdullah bin Rowahah.

Sekalipun al-Quran sudah mula ditulis pada zaman Rasulullah SAW, namun ia hanya ditulis secara terpecah-pecah tanpa dihimpun di dalam satu buku.

Himpunan al-Quran di dalam satu buku tidak berlaku semasa hayat Rasulullah SAW kerana wahyu masih lagi turun kepada baginda.

Dalam masa sama, ayat-ayat yang turun kepada baginda tidak semestinya mengikut urutan ayat dan surah.

Contohnya, ayat yang mula-mula turun kepada baginda iaitu pada Isnin, 21 Ramadan tahun ke-13 sebelum hijrah bersamaan 17 Ogos 610 Masihi adalah 5 ayat terawal daripada surah al-‘Alaq yang merupakan surah ke-96 di dalam al-Quran.

Seterusnya ayat yang turun kepada baginda untuk kali kedua pula ialah pada Ahad, 3 Zulkaedah 13 tahun sebelum hijrah bersamaan 27 September 610 Masihi.

Ia adalah 5 ayat terawal daripada surah al-Muddath-thir yang merupakan surah ke-74 daripada susunan surah-surah di dalam al-Quran.

Penentuan urutan ayat-ayat bagi setiap surah dimaklumkan sendiri oleh Jibril yang merupakan malaikat penurun wahyu.

Akhirnya dengan penurunan ayat terakhir kepada baginda iaitu ayat ke-281 daripada Surah al-Baqarah berdasarkan pandangan yang kuat, sempurnalah perletakan setiap ayat al-Quran mengikut urutan di dalam setiap surah bermula al-Fatihah dan ditutupi dengan al-Nas. (bersambung). – UTUSAN

-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN