Ramadan 14 beradik ‘sunyi’ selepas ibu sakit

Ramadan 14 beradik ‘sunyi’ selepas ibu sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN tidak lagi sama buat keluarga ini sejak 14 tahun lalu. Jika dahulu, sosok ibulah menjadi penyeri setiap kali bersahur dan berbuka.

Kini, ia tinggal memori yang hanya mampu dikenang 14 beradik ini selepas ibu mereka bergelar orang kurang upaya (OKU) akibat komplikasi bersalin anak ke-18.

Anak ketujuh, Afiqah Nasuha Ibrahim berkata, ibu, Che Wan Maimun Che Wan Malim, 59, pasti membuka alunan nasyid di corong radio untuk memeriahkan suasana setiap kali mereka bersahur.

“Umi mahu kami bersahur sambil ditemani alunan indah lagu-lagu nasyid. Sedih apabila mengenangkan tiada lagi kemeriahan itu sejak dia sakit pada 2010.

“Tiada lagi alunan nasyid yang dipasang setiap kali kami bersahur. Momen itu yang paling dirindui bila tibanya Ramadan,” katanya sebak ketika dihubungi baru-baru ini.

Che Wan Maimun yang berusia 44 tahun ketika itu mengalami amniotic fluid embolism (AFE) apabila air ketuban memasuki saluran darah menyebabkan jantung wanita itu terhenti selama 10 minit.

Lebih menyayat hati, bukan sahaja adik bongsu yang dinanti-nantikan itu tidak dapat diselamatkan, malah ibunya hilang ingatan sebaik sahaja membuka mata.

“Kami semuanya 18 beradik tetapi tiga lagi keguguran dan seorang lagi meninggal akibat komplikasi ini.

“Umi koma selama sebulan dan sebaik sahaja membuka mata, dia tidak lagi mengenali sesiapa dan disahkan menghidap demensia.

“Malah, akibat komplikasi itu juga umi sering diserang sawan sehingga kini. Boleh dikatakan setiap bulan akan terkenanya dan kadang-kadang berbelas kali dalam sebulan,” katanya.

Cabaran jaga pesakit demensia
Selama 14 tahun, Afiqah Nasuha bersama adik-beradik dan bapanya, Ibrahim Abdullah, 72, berusaha sebaik mungkin untuk menjaga kesayangan mereka yang menghidap penyakit dementia.

Tidak mudah, namun, ia memberi hikmah kesabaran yang berharga kepada mereka sekeluarga.

“Pada awalnya umi lumpuh, namun, berkat kerajinan abah yang selalu mengurut, selepas itu umi boleh bergerak semula.

“Ikutkan cepat juga umi boleh berjalan semula, cumanya dementia umi memang doktor sudah beritahu akan kekal begitu.

“Sangat mencabar menjaga pesakit dementia kerana kadangkala umi okay tetapi dalam sekelip mata boleh bertindak kasar. Tetapi, umi tidak sedar pun apa yang dilakukan,” katanya.

Berkongsi cerita, kata Afiqah Nasuha, ibunya pernah mencurahkan air kopi kepadanya ketika sedang minum di luar, malah dia juga pernah disepak. Semuanya berlaku secara tiba-tiba.

“Ya, umi tidak sedar pun apa yang dilakukan. Sebelum kejadian-kejadian itu semuanya biasa sahaja, ia berlaku secara tiba-tiba.

“Bila umi tiba-tiba pukul atau berlaku kasar, dia kemudian tersenyum dan bercakap seperti biasa. Bila esoknya saya tunjuk badan lebam-lebam sebab umi buat, dia terus menangis,” katanya sambil berkongsi ibu sudah mula mengingati nama anak-anak walaupun kadangkala bertukar-tukar.

Tambah anak kelahiran Terengganu ini, semua cabaran itu dijadikan sebagai pengalaman terindah dalam menabur bakti kepada ibu tercinta.

Jika dahulu ibu merawat dan menjaga keluarga besar mereka dengan kasih sayang, kini semua itu dicurahkan semula kepada ibu.

Harapannya hanya satu, supaya bapa dan adik-beradik lain terus sihat untuk menjaga ibu yang kini seperti anak kecil dan memerlukan perhatian serta penjagaan sebaiknya.

Terima kecaman
Niat Afiqah Nasuha berkongsi keadaan dan kejadian yang menimpa ibunya hanya sekadar untuk memberi kesedaran awal mengenai OKU mental yang memerlukan perhatian bukan sahaja keluarga, malah masyarakat.

Namun, lain pula jadinya apabila segelintir netizen mula menuding jari kepada bapanya kerana dikatakan tidak bertimbang rasa membiarkan isteri melahirkan anak yang ramai.

Begitupun, Afiqah Nasuha mengakui tidak terlalu mengambil pusing mengenai kecaman itu kerana baginya, bapa adalah tonggak keluarga terbaik yang telah membesarkan mereka adik-beradik.

“Tahun ini 40 tahun usia perkahwinan umi dan abah, cukup 40 ahli keluarga iaitu 14 anak, lapan menantu dan 16 cucu.

“Abah memang menjaga umi dengan baik setiap kali bersalin. AFE boleh berlaku tak kira anak ke berapa pun, boleh jadi anak pertama pun boleh kena.

“Umi bukanlah dipaksa mengandung (malah rezeki umi bersalin kami semua secara normal) atau sekadar hendak beranak ramai tetapi anak-anak terabai, tidak sama sekali,” jelasnya.

Baginya, ibu dan bapa sudah melakukan yang terbaik untuk anak-anak dari segi kasih sayang, kemudahan, didikan dan sebagainya.

Malah sehingga kini, bapanya yang juga peniaga masih lagi menanggung anak-anak yang bersekolah menengah serta di universiti.

 


Risiko AFE dan kerosakan otak
AFE adalah komplikasi obstetrik yang jarang berlaku tetapi berpotensi membawa maut, di mana cecair amnion atau komponen pembentukan janin (seperti sel janin, mekonium dan trofoblas) memasuki peredaran darah ibu.

Situasi itu menyebabkan reaksi serius seluruh badan atau sistem badan.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Habibah Abdul Hamid berkata, ibu yang mengalami komplikasi itu mempunyai peluang tipis untuk hidup tanpa komplikasi dan morbiditi.

Kadar kematian ibu sekitar 20 hingga 60 peratus walaupun dengan rawatan intensif.

“Kira-kira 85 peratus wanita yang selamat mengalami komplikasi seperti kegagalan organ atau kerosakan otak akibat hipoksia.

“Kadar kelangsungan bayi pula bergantung kepada kecepatan intervensi, tetapi sering mengalami hipoksia neonatal dan komplikasi neurologi,” katanya.

Statistik global menunjukkan 1.9 hingga enam kes bagi setiap 100,000 kelahiran dengan 40 peratus kematian ibu disebabkan AFE berlaku dalam tempoh satu jam selepas gejala pertama.

Jelasnya, AFE berlaku apabila terdapat gangguan antara ruang intrauterin dan peredaran darah ibu.

Ia biasanya berlaku sama ada semasa proses kelahiran, selepas bersalin, trauma obstetrik serta kelahiran melalui kaedah pembedahan atau instrumental .

Secara ringkasnya, ia terjadi apabila cecair amnion masuk ke dalam salur darah Ibu.

Ia menyebabkan salur darah paru-paru menjadi sempit, meningkatkan tekanan arteri pulmonari sehingga berlaku hipoksia akut.

Pada masa sama, sistem pembekuan darah ibu terlalu aktif, menyebabkan DIC (pembekuan tidak terkawal di seluruh badan) dan risiko pendarahan teruk postpartum hemorrhage (PPH).

“AFE boleh berlaku kepada mana-mana wanita hamil tetapi risiko lebih tinggi pada ibu berusia 35 tahun ke atas, kelahiran anak ramai, polihidramnios (cecair amnion berlebihan) dan kelahiran secara pembedahan caesarean.

“Tiada rawatan spesifik untuk AFE kerana ia adalah sindrom akut dan tidak dapat diramalkan.

“Rawatan adalah sokongan intensif seperti stabilkan pernafasan dan kardiovaskular, oksigen terapi dan ventilasi mekanikal jika perlu dan pelbagai lagi,” katanya.

Tambahnya, tiada cara yang benar-benar dapat mencegah AFE, namun beberapa langkah boleh mengurangkan risiko seperti pengurusan obstetrik yang berhati-hati dan pemantauan rapi bagi ibu berisiko tinggi.

Kesimpulannya, walaupun AFE sukar diramal dan jarang berlaku, doktor dan pasukan perubatan perlu berwaspada terhadap tanda-tanda awal kerana ia boleh membawa maut dalam tempoh yang singkat.

“AFE adalah kecemasan obstetrik yang berlaku secara tiba-tiba, sering tidak dapat diramal atau dicegah.

“Diagnosis segera dan rawatan agresif adalah kunci utama untuk meningkatkan peluang kelangsungan hidup ibu dan bayi, “

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN