Menu sahur, berbuka berkhasiat untuk kanak-kanak

Menu sahur, berbuka berkhasiat untuk kanak-kanak

makanan yang tidak seimbang akan membuatkan kanak-kanak rasa letih dan kurang bertenaga sepanjang berpuasa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan mudah mengendalikan anak kecil yang baru mula belajar berpuasa. Sudah tentu banyak ragamnya.

Namun, mahu tidak mahu, ibu bapa terpaksa melalui proses ini untuk mendidik anak mengenai Rukun Islam ketiga itu.

Selain mengajarkan erti dan kepentingan puasa, aspek pemakanan sebenarnya memainkan peranan penting untuk mendidik anak berpuasa.

Amalan pemakanan yang baik akan membantu anak untuk kekal cergas sepanjang berpuasa sekali gus menjadikan mereka seronok dan tidak serik.

Profesor Madya Program Pemakanan, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Razif Shahril berkata, makanan yang berkhasiat dan seimbang penting terutamanya bagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Menu pada waktu sahur memainkan peranan penting untuk membekalkan tenaga kepada si kecil sehingga tiba waktu berbuka.

Antara menu sahur yang disarankan adalah makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks seperti roti mil penuh, bijirin sarapan pagi, nasi atau oat boleh memberikan tenaga yang berpanjangan.

“Sertakan juga protein seperti telur, ayam atau ikan termasuk susu, produk tenusu dan kekacang untuk membantu pembaikan otot dan keperluan tumbesaran.

“Jangan lupa untuk mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran untuk bekalan serat, vitamin dan mineral yang penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menu berbuka

Selepas seharian berpuasa, sudah tentulah kanak-kanak tidak sabar untuk menikmati juadah berbuka yang pelbagai.

Namun, menurut Mohd. Razif, makanan yang ringan dan mudah hadam seperti kurma, air dan sup boleh membantu anak memulakan puasa dengan baik.

“Nasihatkan anak untuk makan secara perlahan semasa berbuka dan galakkan anak untuk minum air secukupnya antara waktu berbuka puasa dan makan sahur iaitu enam hingga lapan gelas air sehari. Pilihan minuman boleh terdiri daripada jus segar dan susu,” kongsinya.

Ibu bapa juga boleh merancang menu berbuka dan sahur bersama anak mengikut pilihan kegemaran mereka selagi mana ia adalah makanan yang sihat.

Selain itu, wujudkan elemen motivasi supaya anak yang baru mula berjinak-jinak dengan puasa kekal bersemangat untuk berpuasa penuh.

Terpulang kepada perbincangan ibu bapa bersama anak mengenai elemen motivasi tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, umur yang sesuai untuk kanak-kanak mula berpuasa berbeza bagi setiap individu.

Begitupun, secara umumnya, kanak-kanak boleh mula berpuasa penuh apabila mencapai usia tujuh hingga 10 tahun.

“Ini bergantung kepada persiapan fizikal dan mental mereka. Sebelum itu, kanak-kanak boleh cuba berpuasa separuh hari atau beberapa jam untuk membantu mereka menyesuaikan diri.

“Tanda-tanda anak sudah bersedia untuk berpuasa termasuk keinginan untuk meniru orang dewasa, mempunyai tahap kematangan fizikal dan mental untuk menahan lapar dan dahaga serta memahami sepenuhnya maksud dan tujuan berpuasa.

“Jika anak boleh menjalani aktiviti harian tanpa keletihan yang melampau dan boleh berbincang mengenai kepentingan puasa, itu adalah petunjuk yang baik mereka boleh cuba berpuasa,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN