Masalah kelemumur sering kali dianggap berpunca daripada keadaan kulit kepala yang kering dan penghasilan minyak yang berlebihan.
Namun, tidak ramai yang menyedari, cara penjagaan, penggunaan produk rambut dan kulit kepala yang tidak sesuai juga mengakibatkan kelemumur.
Bahan kimia yang terlalu kuat, kandungan tidak serasi dengan jenis kulit kepala, serta kekerapan penggunaan produk berkenaan, boleh menyebabkan ketidakseimbangan minyak semula jadi, iritasi dan pengelupasan kulit kepala.
Akibatnya, kelemumur mula muncul, lantas menjadikan rambut kelihatan kurang sihat dan menjejaskan keyakinan diri.
Oleh itu, penting untuk memahami faktor-faktor yang menyumbang kepada kelemumur serta memilih produk yang bersesuaian untuk mengekalkan kesihatan kulit kepala dan rambut.

Pemilik R50 Hair Lounge, Nursyasya Afina Suhaimi berkata, terdapat dua jenis kondisi kelemumur iaitu kering dan berminyak.
Bagi pemilihan syampu untuk kelemumur di kepala yang kering, pilih produk yang mengandungi bahan seperti minyak argan dan aloe vera.
Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut lebih berkesan untuk mencegah ketumbuhan kelemumur kering dan jenis serpihan.
“Minyak argan dikenali dengan sifat anti-mikrob dan anti-fungal. Minyak ini boleh membantu mengurangkan pertumbuhan kulat penyebab kelemumur.
“Khasiat aloe vera yang mengandungi sifat anti-radang, boleh menenangkan kulit kepala gatal, meredakan iritasi dan memberi kelembapan,” katanya.
Bagi rawatan masalah kelemumur berminyak pula, haruslah memakai syampu yang mengandungi bahan seperti zink pyrithione atau ketoconazole.
“Zinc pyrithione membantu melawan kulat penyebab kelemumur manakala, ketoconazole yang bersifat anti-fungal, sangat berkesan menghapuskan kulat malassezia,” katanya.
Kandungan selenium sulfida pula dapat mengurangkan lebihan minyak pada kulit kepala sekali gus mengekang pertumbuhan kulat.
Selain itu,penggunaan syampu mengandungi asid salisilik dapat membantu membuang sel kulit mati dan mengurangkan keradangan, sesuai untuk kedua-dua jenis kelemumur.

Kekerapan cuci rambut
Ramai yang mengalami masalah kelemumur cenderung mencuci rambut dengan kerap, namun tindakan ini boleh memburukkan lagi keadaan.
Kekerapan mencuci boleh menghilangkan minyak semula jadi pada kulit kepala, sekali gus menyebabkan kekeringan dan merangsang pengeluaran lebih banyak kelemumur.
Penggunaan syampu anti-kelemumur boleh digunakan dua hingga tiga kali seminggu sahaja , bergantung kepada tahap kelemumur.
Penggunaan yang terlalu kerap boleh menyebabkan kulit kepala menjadi kering dan hilang khasiat, jadi amatlah penting untuk mengikuti arahan pada produk atau berjumpa dengan pakar dermatologi bagi cadangan yang lebih spesifik.
Jika kelemumur masih berterusan, beliau menyarankan untuk mendapatkan rawatan kulit kepala, yang banyak ditawarkan di salon-salon rambut.
“Rawatan ini dapat membantu menguatkan akar rambut dan mengekalkan kelembapan kulit kepala, dengan melakukannya sekurang-kurang sekali dalam sebulan.
“Namun, bagi yang mengalami masalah kelemumur serius, haruslah berjumpa dengan pakar dermatologi untuk diagnosis lanjut. Ini kerana mereka berkemungkinan mempunyai masalah kulit lebih teruk seperti dermatitis seborrheic atau psoriasis,” katanya.










