KEBELAKANGAN ini, Hamidah Osman, 50 (bukan nama sebenar) kerap berdepan masalah untuk melelapkan matanya.
Bahkan, ibu kepada tiga anak ini sering terjaga daripada tidurnya secara tiba-tiba dan amat sukar untuknya kembali lena.
Bimbang dengan situasi itu, dia lantas merujuk kepada doktor dan disahkan mengalami gangguan tidur atau insomnia.
Situasi sama turut dialami Natasha Ali, 36, (bukan nama sebenar) hingga menyebabkannya berjaga hampir tiga hari berturut-turut.
Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Michelle Chong Hui Yi berkata, golongan wanita dikenal pasti lebih mudah mengalami masalah insomnia berbanding lelaki.
Ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti perubahan hormon, mengandung, menopaus dan lain-lain.
Lantas menyebabkan seseorang sukar untuk tidur, lena, kerap terjaga atau mudah terjaga walaupun mempunyai masa yang mencukupi untuk tidur.
“Insomnia boleh menjadi isu jangka masa pendek atau masalah kronik kepada pelbagai peringkat usia sama ada kanak-kanak, remaja dan dewasa.
“Namun ia lebih kerap terjadi dalam kalangan dewasa dan kebiasaannya disebabkan perubahan dalam corak tidur serta pengambilan ubat,” katanya baru-baru ini.

Insomnia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu jangka masa pendek atau insomnia akut yang selalunya disebabkan tekanan, penyakit atau faktor persekitaran.
Jenis seterusnya ialah kronik diikuti onset iaitu kesukaran untuk tidur pada waktu malam dan kebiasaannya mengambil masa lebih daripada 30 minit untuk tidur.
Manakala insomnia maintenance pula bermaksud terjaga pada tengah malam dan mengalami kesukaran untuk tidur kembali diikuti komorbid.
Ia berlaku bersama keadaan perubatan atau faktor berkaitan psikiatri yang lain seperti kemurungan, kegelisahan atau sakit kronik.
Kongsi Michelle, faktor yang menyumbang kepada masalah gangguan tidur berbeza-beza bagi setiap individu.
Antaranya disebabkan oleh tekanan emosi, tekanan hidup dan tekanan jangka masa panjang, di samping pengambilan kafein atau alkohol berlebihan, waktu tidur yang tidak tetap dan penggunaan peranti elektronik secara berlebihan.
Hal itu kerana kerana cahaya biru daripada peranti menyekat pengeluaran melatonin, iaitu hormon yang mengawal tidur.
Gejala
Berdasarkan Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Kelima (DSM-5), insomnia diklasifikasikan sebagai gangguan tidur-bangun.
Untuk mengenal pasti sama ada seseorang individu berdepan dengan masalah insomnia, perlu ada satu aduan utama berkaitan ketidakpuasan terhadap kualiti atau kuantiti tidur bersama sekurang-kurangnya satu daripada gejala berikut.
Jelas Michelle, antara gejala itu ialah kesukaran untuk tidur dan kekal tidur di samping terjaga pada awal pagi serta tidak berupaya untuk lena semula.
Katanya, individu juga perlu mengalami masalah sukar tidur sekurang-kurangnya tiga malam setiap minggu untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan walaupun mempunyai peluang atau masa yang mencukupi untuk berbuat demikian.
“Gejala lain ialah terdapat gangguan tidur yang tidak berpunca daripada masalah gangguan tidur lain seperti narkolepsi, isu pernafasan dan sebagainya serta tidak dikaitkan dengan kesan fisiologi seperti penyalahgunaan dadah dan ubat.
“Diikuti oleh masalah gangguan mental seperti kemurungan, kegelisahan atau kekeliruan,” katanya.
Jejas emosi, undang NCD
Tegas Michelle, isu insomnia tidak boleh dipandang ringan dan tindakan segera perlu diambil untuk menanganinya.
Ia penting bagi mengelak impak negatif, terhadap kesihatan badan dan mental individu sehingga menjejaskan kehidupan sehariannya.
Katanya, selain tidak dapat memberi tumpuan, insomnia juga mampu menjejaskan perasaan dan emosi seseorang termasuk menimbulkan sering gelisah.
Malah, ia boleh mengundang penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti jantung, diabetes jenis 2, obesiti dan strok.
“Oleh itu, mendapat tidur yang mencukupi dan berkualiti amat penting untuk memastikan seseorang individu dapat merehatkan badan serta mindanya.
“Tidak cukup tidur atau rehat mungkin menyebabkan individu mengalami keletihan pada waktu siang, mudah naik darah, murung dan sukar untuk menumpukan perhatian dalam aktiviti harian,” katanya.
Petua tingkat kualiti hidup
Michelle turut berkongsi beberapa petua bagi meningkatkan kualiti hidup iaitu dengan mengamalkan jadual tidur dan bangun yang tetap.
Selain itu, sediakan rutin tidur santai dengan menjalankan aktiviti yang menenangkan fikiran seperti membaca, mandi air suam atau meditasi.
“Individu perlu memastikan bilik tidurnya kondusif seperti gelap, sunyi dan mempunyai suhu yang selesa.
“Paling penting, elak penggunaan peranti elektronik seperti telefon bimbit, tablet dan komputer sebelum tidur.
“Dalam masa sama, jauhi pengambilan makanan berat, kafein dan alkohol apabila hampir waktu tidur.
Beliau menggalakkan individu untuk mengerapkan bersenam, namun elakkan senaman lasak apabila hampir waktu tidur.
Petua lain ialah dengan mempraktikkan teknik mengurangkan stres seperti meditasi dan yoga diikuti mengurangkan tidur siang, jika tiada keperluan.
Sekiranya seseorang masih mengalami masalah gangguan tidur selepas mengamalkan petua berkenaan, beliau menasihatkan mereka supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar perubatan atau yang
berkaitan.
“Individu yang mengalami isu gangguan tidur perlu bersabar kerana menambah baik tabiat tidur dan mengatasi masalah insomnia mungkin mengambil masa.
“Bersabar dengan diri anda dan terus amalkan tabit tidur sihat serta berkualiti demi kesejahteraan hidup secara menyeluruh,” katanya.










