Lima petanda awal anak alami masalah pendengaran

Lima petanda awal anak alami masalah pendengaran

Kajian WHO mendapati pendedahan kerap kepada bunyi-bunyian yang kuat juga dikatakan memberi kesan kepada pendengaran kanak-kanak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah pendengaran dalam kalangan anak kecil agak sukar untuk dikesan terutamanya bagi yang belum pandai bertutur.

Begitupun, ia tidak patut dipandang enteng dan setiap perkembangan anak kecil harus dipantau oleh ibu bapa terutamanya keupayaan pendengaran.

Pendengaran memainkan peranan penting dalam tumbesaran kanak-kanak kerana berkait dengan perkembangan sosial.

Pakar Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Universiti Taylor’s, Prof. Madya Dr. Vivian George Vincent Fernandez berkata, ibu bapa sering kali terlepas pandang tanda-tanda awal masalah pendengaran pada anak-anak mereka.
“Jika tidak dikesan dari peringkat awal, masalah ini boleh menjejaskan perkembangan pertuturan, pembelajaran, dan interaksi sosial anak.

“Pengesanan awal amat penting kerana ia membolehkan intervensi yang tepat, seterusnya meningkatkan peluang anak untuk berkembang secara optimum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih lima peratus daripada populasi dunia mengalami masalah pendengaran, termasuk 34 juta kanak-kanak.

PANTAU PERKEMBANGAN

Setiap ibu bapa pasti teruja melihat anak membesar dan mencapai pelbagai pencapaian perkembangan.

Namun, tidak semua kanak-kanak berkembang pada kadar yang sama.

Oleh itu, penting untuk ibu bapa mengenali tanda-tanda awal kelewatan, terutamanya dalam aspek pendengaran dan pertuturan.

Menurut Vivian, perkembangan pertuturan adalah salah satu indikator utama kesihatan pendengaran anak.

Katanya, bayi dan kanak-kanak perlu mendengar bunyi sekeliling untuk belajar bercakap.

Masalah dalam mendengar akan memberi kesan kepada cara mereka bertutur dan berkomunikasi.

“Sebagai contoh, pada usia satu hingga tiga bulan, bayi biasanya menangis dan mengeluarkan bunyi ‘coo’. Ketiadaan tindak balas terhadap bunyi kuat mungkin menandakan masalah pendengaran.

“Antara empat hingga enam bulan, bayi mula ketawa, menjerit kegembiraan dan mengeluarkan bunyi bermain. Jika mereka tidak menunjukkan minat terhadap bunyi sekeliling atau tidak membuat sebarang bunyi, ibu bapa perlu berwaspada.

“Dari enam hingga sembilan bulan, bayi biasanya membebel dan meniru bunyi pertuturan dan jika ini tidak berlaku, ia mungkin petanda awal isu pendengaran,” jelasnya.

Tambahan, sekitar usia 12 bulan, kebanyakan kanak-kanak mula menyebut perkataan pertama seperti ‘mama’ atau ‘papa’.

“Jika mereka masih tidak bertutur atau kurang memberi reaksi terhadap bahasa lisan, pemeriksaan lanjut amat disarankan.

“Pada usia 18 bulan hingga dua tahun, mereka biasanya mempunyai sekitar 50 perkataan dan mampu membentuk ayat ringkas.

“Perbendaharaan kata yang sangat terhad atau kesukaran membentuk frasa mungkin menandakan masalah pendengaran yang memerlukan perhatian segera,” katanya.

Umumnya, tanpa pengesanan awal, masalah pendengaran boleh menyebabkan kelewatan dalam perkembangan pertuturan dan bahasa, kesukaran dalam pembelajaran serta masalah dalam membina hubungan sosial.

RAWATAN

Berkongsi mengenai rawatan masalah pendengaran, Vivian berkata, alat bantuan pendengaran merupakan salah satu kaedah utama dalam merawat kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran.

Ia membantu kanak-kanak mendengar bunyi dengan lebih jelas, sekali gus menyokong perkembangan bahasa dan komunikasi mereka dengan lebih berkesan.

“Bagi kes pendengaran yang lebih serius, implan koklea mungkin disarankan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menangkap bunyi dengan lebih efektif.

“Selain itu, latihan pertuturan dan bahasa oleh pakar terapi membantu mereka memahami dan menggunakan bahasa dengan betul dalam kehidupan seharian,” katanya.

Di samping itu, ibu bapa dan guru juga memainkan peranan penting untuk mempercepatkan perkembangan bahasa serta memberikan sokongan emosi.

“Penglibatan aktif ibu bapa melalui interaksi harian seperti berbual dan membaca buku bersama anak-anak bukan sahaja merangsang perkembangan komunikasi, tetapi juga menyediakan sokongan emosi yang penting untuk kesejahteraan mereka.

“Di sekolah, guru perlu peka dengan menempatkan kanak-kanak di hadapan kelas, menggunakan alat bantu visual dan memastikan suasana bilik darjah kondusif untuk pendengaran,” ujarnya.

Oleh itu, dengan rawatan yang sesuai dan sokongan berterusan, kanak-kanak bermasalah pendengaran mampu menjalani kehidupan dengan baik seperti kanak-kanak normal lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN