Jambang menggoda dengan minyak organik

Jambang menggoda dengan minyak organik

Jambang lebih lebat dan sihat dengan minyak organik.-SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penjagaan kecantikan yang dahulunya sering dikaitkan dengan golongan wanita, kini tidak asing lagi dalam kalangan kaum lelaki, terutama di bahagian wajah.

Trend terkini menunjukkan kebanyakan lelaki memilih menyimpan jambang untuk menyerlahkan aura yang lebih memukau selain meningkatkan keyakinan diri.

Namun, ramai yang tidak mengambil peduli mengenai penjagaan rapi jambang supaya kebersihan pada bahagian wajah sentiasa terjaga.

Penggunaan minyak jambang sebenarnya penting untuk membantu melembapkan dan menyuburkan bulu jambang, menjadikannya lebih lembut, mudah diurus serta tampak lebih penuh.

Terdapat beberapa jenis minyak yang boleh dipertimbangkan oleh pemilik jambang, antaranya minyak organik.

Kelebihan penggunaan minyak jambang yang menggunakan bahan organik dapat membantu mengelakkan masalah seperti kekeringan selain mengelakkan jerawat tumbuh pada kulit di bawah jambang.

Minyak argan

Minyak argan kaya dengan asid lemak penting yang dapat membantu melembapkan dan menyuburkan bulu jambang menjadikannya lebih lembut dan mudah diurus.

Kandungan vitamin E dalam minyak argan berfungsi untuk memberi nutrisi pada kulit di bawah jambang, mengurangkan kegatalan dan kekeringan yang sering terjadi.

Minyak argan juga mengandungi antioksidan yang dapat melindungi jambang dan kulit wajah daripada kerosakan akibat pencemaran dan sinaran ultraviolet (UV).

Penggunaan minyak argan secara teratur dapat merangsang pertumbuhan jambang yang lebih tebal dan sekata sekali gus memberikan penampilan jambang yang lebih lebat.

Selain itu, minyak argan membantu mengurangkan kelemumur jambang dengan mengekalkan kelembapan pada kulit, menjadikan jambang lebih bersih dan segar.

Minyak zaitun

Minyak zaitun pula mengandungi antioksidan dan vitamin E yang tinggi untuk membantu menyuburkan bulu jambang serta menjadikannya lebih lembut dan berkilat.

Kandungan asid lemak dalam minyak zaitun membantu melembapkan kulit di bawah jambang, mengurangkan masalah kekeringan dan kegatalan.

Minyak zaitun sangat popular kerana kemampuannya untuk merangsang pertumbuhan rambut, menjadikan jambang lebih tebal dan lebih sihat dari semasa ke semasa.

Penggunaan minyak zaitun dapat memastikan kulit tetap sihat serta bebas daripada keradangan.

Selain memberi manfaat kepada jambang, minyak zaitun juga berfungsi sebagai pelindung semula jadi yang membantu menentang kesan penuaan pada kulit wajah di bawah jambang.

Minyak biji anggur

Minyak biji anggur mengandungi proantho­cyanidins, merupakan antioksidan kuat yang membantu melindungi jambang dan kulit wajah daripada kerosakan akibat radikal bebas dan pencemaran.

Dengan kandungan asid linoleik yang tinggi, minyak biji anggur dapat membantu mengawal pengeluaran sebum pada kulit, mencegah kulit menjadi berminyak dan melindungi jambang daripada masalah jerawat.

Minyak biji anggur juga ringan dan mudah diserap, memberikan kelembapan tanpa meninggalkan rasa berminyak.

Justeru, ia sesuai untuk individu yang mempunyai kulit sensitif di bawah jambang.

Pengamalan menggunakan minyak ini juga, dapat membantu meremajakan kulit dan menjadikan kulit di bawah jambang lebih lembap dan segar.

Minyak biji anggur berfungsi untuk menguatkan akar rambut, membantu memperbaiki struktur jambang, menja­dikannya lebih sihat, tebal dan bebas daripada kerosakan seperti rambut rapuh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×