Calvin Thoo tampil koleksi lebih muda

Calvin Thoo tampil koleksi lebih muda

Kemeja Batik lengan panjang dengan kolar mandarin beri sentuhan kelainan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemunculan semula pereka fesyen terkenal Calvin Thoo baru-baru ini, cukup mengegarkan pentas peragaan dengan koleksi hasil rekaannya yang anggun dalam suasana glamor dan eksklusif.

Pertunjukkan fesyen bertemakan Royal Gala Dinner di dewan utama Hotel Marriot, Putrajaya yang dihiasi indah menerapkan gabungan fesyen dan nyanyian daripada artis terkenal negara seperti Noryn Aziz, Farhan dan Zazleen.

Calvin berkata, majlis berkenaan sangat istimewa kerana selain persembahan pertunjukan fesyen dan hiburan mini konsert, hadirin terdiri daripada rakan kenamaan dan kerabat Diraja.

“Ada tetamu dari Singapura, Brunei dan Indonesia. Ramai meminta saya hasilkan rekaan lebih muda. Jadi, malam ini kebanyakan rekaan saya adalah berjiwa muda,” katanya.

Antara tetamu, Tunku Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Al Haj, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, Tengku Puteri Seri Lela

Wangsa Tengku Tan Sri Hajjah Meriam Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Koleksi terbaharu Calvin Thoo menampilkan gaun perang, kurung moden, kebaya, jubah dan kaftan dalam pelbagai warna terang memukau menggunakan fabrik lembut beralun seperti sifon, satin dan renda mewah.

KOLEKSI BERGAYA

Koleksi ini turut berlatarkan motif batik dan songket Palembang yang menghiasi bahagian depan gaun, kain, dada dan lengan baju. Gaun kembang dipenuhi rambu tampak mewah dengan ponco renda, jaket sifon meleret dengan motif kerawang dan renda berhias labuci menambah keanggunan.

Kebaya labuh sarat motif batik dan dihiasi manik berkilau diberi kelainan pada lengan yang berpotongan kaftan cukup menyerlahkan keanggunan dan kelembutan wanita di Aidilfitri.

Ada kaftan potongan pendek paras lutut dengan motif batik digayakan bersama kain bermotif sama. Batu permata menghiasi dada dan kancing baju menyerlahkan kemewahan koleksi ini.

Jubah sifon yang menyerlahkan kelangsingan lebih unik dihiasi lengan berambu. Tampil glamor dengan baju kurung hitam daripada kain renda yang sarat dengan hiasan batu permata. Selendang hitam bergemerlapan menambah keanggunan.

Terdapat juga koleksi kemeja batik untuk si jejaka. Kemeja berlengan panjang dengan kolar Mandarin, menampilkan rona lembut seperti merah, merah jambu dan biru.

Tampil segak di Aidilfitri dengan baju Melayu berleher teluk belanga berona biru muda, hitam dan krim. Gaya tambah segak dengan samping songket pelbagai rona seperti biru muda, krim dan hitam.

Koleksi kurta jenama Shah Indra diperbuat daripada kain tenunan Brunei sesuai untuk mereka yang menginginkan gaya tradisional dengan potongan yang menyerlahkan bentuk badan yang sasa.

Tambah kacak dengan songkok premium jenama ini yang menggabungkan warisan budaya Melayu dan Brunei dalam baldu hitam yang mewah.

Shah Indra adalah jenama berpangkalan di Brunei. Setiap produk dihasilkan dengan teliti daripada bahan-bahan terbaik, termasuk Tenunan Brunei yang indah menggunakan teknik tradisional negara itu.

Indahnya majlis berkenaan apabila tetamu turut dihidangkan dengan juadah enak Hotel Marriot Putrajaya daripada menu khas sempena Ramadan nanti.

MENU MENYELERAKAN

Antaranya, kerabu mangga dengan lidah lembu dan limau membuka selera. Sup soto ayam tradisional dimakan bersama cili kicap menghangatkan tubuh. Sorbet Markisa menghilangkan kepedasan.

Hidangan utama, ayam supreme dengan sos cendawan, dihidang bersama bawang putih dan kentang lenyek, sayur brokoli yang direbus serta timun zucchini kuning. Pencuci mulut, sarang semut dan sos kastard serta coklat mousse melengkapkan hidangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN