Armin teroka dunia laut seawal usia lapan tahun

Armin teroka dunia laut seawal usia lapan tahun

ARMIN Jamaludin pernah melakukan tujuh kali selaman di sekitar pulau peranginan termasuk di Pulau Renggis, Pulau Soyak dan Salang House Reef dengan kedalaman maksimum 12 meter.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi kebanyakan kanak-kanak, lautan sekadar tempat bermain di gigi air. Namun, bagi Armin Jamaludin, 10, ia adalah dunia kedua yang sentiasa ingin diterokai.

Membesar di Kampung Salang, Pulau Tioman, dengan rumah hanya beberapa langkah dari pantai, Armin sudah akrab dengan ombak sejak kecil.

Dengan lautan sebagai taman permainannya, dia berjaya memperoleh lesen selam skuba pada Ogos tahun lalu, menjadikannya antara penyelam muda yang berani mengharungi dunia bawah laut.

Anak kecil ini juga pernah melakukan tujuh kali selaman di sekitar pulau peranginan termasuk di Pulau Renggis, Pulau Soyak dan Salang House Reef dengan kedalaman maksimum 12 meter.

Menurut bapanya, Jamaludin Musa, 41, berkata, walaupun selam skuba antara aktiviti mencabar, namun ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Minat anaknya terhadap selam skuba bukanlah sesuatu yang datang secara tiba-tiba.

Sebaliknya, ia dipupuk dan dibimbing dengan penuh kesungguhan oleh beliau dan isteri, yang merupakan penyelam berlesen serta pengajar selam skuba berpengalaman.

“Menyedari kepentingan pendidikan dalam dunia selaman, saya dan isteri merancang untuk mendaftarkan Armin dalam program PADI Junior Open Water pada usia 10 tahun.

“Program ini memberi peluang kepada Armin untuk mendapatkan lesen selam skuba yang membolehkannya melakukan penyelaman yang lebih mendalam dengan teknik dan keselamatan yang lebih profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman, Armin menyertai kursus khas yang diadakan di pulau untuk mendalami dunia selam skuba.

“Menyelam skuba adalah aktiviti berisiko yang memerlukan kemahiran tinggi, namun dengan latihan yang betul, Armin dapat menyelam dengan selamat dan berkesan.

“Terdapat kelas teori dan praktikal yang dijalankan selama empat hari tiga malam, sementara latihan menyelam pula dilakukan pada kedalaman tiga hingga lima meter.

“Selepas tamat kursus ini, Armin perlu melakukan dua lagi selaman Fun Dive sebagai latihan tambahan sebelum dia boleh menyelam di pelbagai lokasi pelancongan selaman,” ujarnya.

Justeru, aktiviti mencabar ini bukan sahaja membolehkan penyelam menikmati keindahan dunia laut yang tiada di daratan, tetapi juga berfungsi sebagai terapi minda untuk meningkatkan fokus serta lebih menghargai setiap momen yang dilalui.

Pupuk kesedaran

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, setiap langkah dalam perjalanan ini bukan sahaja mengasah kemahiran menyelam Armin, tetapi juga memupuk kesedaran tentang pemuliharaan lautan, kelestarian hidupan marin serta kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem laut.

“Sejak kecil, Armin sudah dibawa menyelam dan diberi pendedahan kepada keindahan laut serta kepentingannya dalam kehidupan kita.

“Apabila Armin berusia lapan tahun, dia telah mengikuti program Bubble Maker dan Discovery Scuba Diving, yang memberi peluang kepadanya untuk merasai pengalaman menyelam dalam air pada kedalaman kurang dari dua meter.

“Sebagai ibu bapa, kami percaya melalui selam skuba, Armin bukan sahaja dapat mengasah kemahiran menyelam, tetapi mempelajari kepentingan menjaga kelestarian lautan dan menghargai keindahan alam marin,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman manis bersama anaknya, Jamaludin berkata, salah satu momen yang tidak akan dilupakan ketika mereka menyelam bersama-sama dan mencapai kedalaman 12 meter.

“Itu merupakan pengalaman manis yang bukan sahaja mengeratkan hubungan kami, tetapi juga meningkatkan keyakinan Armin dalam berinteraksi dengan dunia bawah laut.

Di samping bergiat aktif dalam aktiviti selam skuba, anak pertama daripada dua orang adik-beradik ini juga pernah mewakili sekolah dan daerah Rompin dalam sukan akuatik seperti terjun, renang dan perahu layar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN