Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Perumpamaan ini tepat menggambarkan kejayaan Mas Zhiddin Zhiddan, anak keenam kepada Allahyarham Aziz Desa yang kini menyerlah sebagai figura petah berbicara, khususnya di platform media sosial.
Berusia 23 tahun, pemuda ini dikenali kerana tutur katanya yang puitis, disulami dengan keindahan dan kesantunan bahasa yang tersusun rapi.
Disebalik trend terkini yang gemar menggunakan bahasa rojak, anak muda ini memanfaatkan kelebihan sebagai pempengaruh untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai teras utama perjuangannya.
Pempengaruh dengan jumlah pengikut seramai satu juta pengikut di Tiktok ini tidak henti mengalirkan keindahan bahasa ibunda dalam setiap kandungan video yang dimuat naik.
Mas Zhiddin Zhiddan berkata, sejak kecil dia telah diasuh untuk menghargai bahasa Melayu bukan sahaja sebagai warisan tetapi sebagai nadi kehidupan.
Sementelah, bapanya yang merupakan mantan pengacara televisyen popular merupakan seorang tokoh yang terkenal dengan kebijaksanaan dalam berbahasa sentiasa menjadi inspirasi utamanya.
“Ayah saya sering mengingatkan bahawa bahasa adalah tiang seri bangsa dan pesanan itu kekal tersemat dalam sanubari saya hingga ke hari ini.
“Beliau menjadikan pendidikan bahasa sesuatu yang indah melalui tutur katanya. Setiap kisah yang diceritakannya sarat dengan estetika dan penuh hikmah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tujuan utamanya adalah untuk menghasilkan kandungan yang memartabatkan bahasa Melayu serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya memperkasakan bahasa warisan ini.
“Saya ingin generasi muda melihat bahasa Melayu seperti saya melihatnya sebagai wahana yang menyulam cerita dan mengukir masa depan,” jelasnya.
Selain memperjuangkan bahasa Melayu sebagai teras utama, Mas Zhiddin turut mengetengahkan pelbagai isu sosial, pendidikan dan nilai kehidupan dalam kandungannya.
Katanya, bahasa bukan hanya alat komunikasi, tetapi medium untuk memberi kesedaran dan menginspirasi masyarakat.
“Melalui video yang dihasilkan, saya juga berkongsi pandangan tentang seni, budaya dan keindahan alam.
“Saya mahu kandungan yang dihasilkan bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia perlu mendidik, menyentuh jiwa dan mendorong pemikiran seseorang. Saya percaya pengikut akan lebih dekat
kepada perkara yang bermanfaat dan bermakna,” katanya.
HASILKAN BUKU
Pemuda ini menamatkan pengajian Penulisan Kreatif dan Filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan memperoleh tiga anugerah iaitu Anugerah Graduan Cemerlang
Akademik, Anugerah Graduan Terbaik dan Canon Top Achiever Award 2023.
Ketika ini, beliau giat menterjemah ideanya ke dalam bentuk buku.
Karya sulung bertajuk ‘Wejangan Sedaghe’, menjadi bukti komitmennya dalam menyebarkan nilai-nilai kehidupan melalui bahasa indah.
Buku tersebut berjaya mencatat jualan lebih daripada 5,000 naskhah sekali gus pencapaian membanggakan bagi seorang penulis muda.
“Saya percaya, bahasa Melayu adalah wahana terbaik untuk menyampaikan cerita yang mendalam.
“Karya saya adalah janji kepada bangsa dan bahasa ini. Saya ingin meninggalkan warisan yang bukan hanya dibaca, tetapi dihayati dan dihargai,” katanya.
Dia juga sedang menyiapkan sebuah novel percintaan yang dijangka diterbitkan hujung bulan ini.
Novel itu dihasilkan dengan harapan dapat menyentuh jiwa pembaca melalui kisah yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan elemen budaya.
Dia mahu melahirkan karya yang mampu bertahan lama dan mendekati khalayak dengan cara yang lebih mendalam.
“Saya impikan untuk menghasilkan sebuah karya yang menghimpunkan idea dan pemikiran saya iaitu sesuatu yang tidak hanya indah dibaca tetapi menyentuh jiwa.
“Sebagai seorang pencinta bahasa, saya percaya bahawa karya sastera mampu memainkan peranan penting dalam memelihara warisan bangsa,” katanya.-UTUSAN










