BILANGAN kanak-kanak yang mengalami masalah rabun jauh atau miopia mencatatkan peningkatan ketara saban tahun.
Selain pengaruh genetik, pemakanan dan persekitaran, faktor kurang tidur turut dikatakan menyumbang kepada punca penyakit ini.
Pegawai optometri, Klinik Pakar Oftalmologi di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Nursyuhada Jamaludin berkata, banyak kajian di seluruh dunia mengenai hubung kait antara kronotaip tidur (waktu, tempoh, kualiti dan konsistensi waktu tidur) dengan rabun jauh.
Namun, hasil keputusan kajian berbeza-beza, ada yang menemukan kaitan tersebut, dan ada juga sebaliknya.
Katanya, berdasarkan kajian American Academy of Sleep Medicine pada 2016, kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun perlu tidur selama 10 hingga 13 jam sehari (termasuk tidur siang).
Bagi yang berusia enam hingga 12 tahun pula disarankan untuk tidur selama sembilan hingga 12 jam sehari, manakala tidur selama lapan hingga 10 jam (remaja berusia 13 hingga 18 tahun).
Ujarnya, laporan itu mendapati, tidur mengikut bilangan jam disyorkan secara teratur dikaitkan dengan hasil kesihatan lebih baik termasuk perhatian, tingkah laku, pembelajaran, ingatan, peraturan emosi, kualiti hidup, kesihatan mental dan fizikal individu.

“Di Korea pula, kajian mendapati kes rabun jauh menurun apabila kanak-kanak tidur selama 10 jam berbanding yang hanya tidur selama lima jam sehari.
“Kajian saintifik itu dilakukan ke atas 3,625 kanak-kanak, sekali gus menemukan kaitan antara kronotaip tidur dengan peningkatan rabun jauh bagi si cilik,” katanya.
Kajian pada 2015 itu turut menekankan kepentingan waktu tidur mencukupi dan kualiti tidur baik selaras untuk membendung peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak di Korea.
Malah, kajian di Jepun pada 2016 turut menyokong kaitan antara tempoh waktu tidur dengan risiko rabun jauh.
Kajian ke atas kanak-kanak rabun jauh berusia antara 10 hingga 19 tahun mendapati waktu tidur yang kurang (tempoh 6 hingga 8 jam sehari) dan lewat menyebabkan peningkatan miopia lebih cepat kepada golongan sasar.
Kata Nursyuhada, penemuan sama turut dilaporkan di Shanghai, China apabila kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun yang tidur selepas pukul 9.30 malam dikesan berisiko tinggi untuk mengalami masalah rabun jauh.
Kajian pada 2020 itu dibuat selama dua tahun dengan melibatkan lebih daripada 6,000 orang.
Justeru, tempoh tidur yang dicadangkan oleh American Academy of Sleep Medicine adalah amat disarankan di Shanghai bagi mencegah peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.
Di sebalik penemuan tersebut, katanya, lebih banyak kajian lai perlu dilakukan untuk mengukuhkan lagi bukti semasa berkaitan kronotaip tidur dan rabun jauh dalam kalangan si cilik.
“Zaman kanak-kanak adalah tempoh kritikal untuk mengawal masalah rabun jauh.
“Oleh itu, penekanan khusus mengenai kesihatan tidur perlu diperkasakan sebagai langkah untuk mencegah rabun pada golongan sasar.
“Peranan ibu bapa dalam mengatur corak dan masa tidur anak-anak dapat memastikan masalah ini dapat dibendung di peringkat awal lagi,” katanya.










