Menghadapi fasa krisis pertengahan usia bagi lelaki dan wanita amat berbeza. Krisis pertengahan usia adalah fasa peralihan dalam psikologi yang berlaku ketika seseorang berumur 40 hingga 50 tahun.
Dalam fasa ini, seseorang mula mengalami perubahan dalam cara melihat diri dan kehidupan. Wanita dikatakan lebih terkesan dalam fasa ini akibat perubahan biologi atau hormon terutama dengan penurunan estrogen dan progesteron.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Siti Marziah Zakaria berkata, perubahan hormon berkenaan memberi kesan terhadap aktiviti seksual wanita.
Wanita akan kurang bersemangat atau minat untuk melakukan hubungan intim dengan suami.
Manakala, bagi lelaki pula, fasa pertengahan usia biasanya dipengaruhi oleh persekitaran ataupun kerjaya.
Bagi lelaki, life starts at 40 kerana di usia ini kebanyakan mereka sudah stabil dan kukuh dari segi kerjaya dan kewangan.
Disebabkan itu, berlaku perubahan gaya hidup, misalnya mempunyai hobi dan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu kerana perubahan dalam status kewangan dan kerjaya.
“Lelaki di usia 40-an sudah stabil daripada segi kerjaya dan bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan merekamungkin mengalih perhatian kepada wanita lain.
“Terutamanya apabila isteri kurang berminat kepada hubungan kerana faktor perubahan hormon, jadi, bermulalah ujian kepada perkahwinan di usia 40-an,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Masalah hubungan dan perubahan status hidup menyebabkan lelaki mula mencari keseronokan di luar.
Tambahan pula, kebanyakan wanita di umur 40-an lebih memberi fokus kepada kerjaya dan dek kesibukan mereka boleh menjejaskan hubungan serta keharmonian rumah tangga.
“Perubahan fizikal dan penampilan isteri turut mempengaruhi suami kerana kecantikan wanita yang makin merosot akibat proses penuaan.
“Perubahan hormon turut memberi kesan kepada penampilan fizikal mereka yang mungkin kurang menarik berbanding wanita muda,” katanya.

TERUS-TERANG DENGAN PASANGAN
Jadi, bagaimana menguruskan permasalahan ini dengan baik? Bagi wanita yang mengalami fasa krisis pertengahan hidup, ia bukanlah pengakhiran segala-galanya.
Walaupun memasuki usia 40-an dianggap sebagai pengakhiran golden era wanita dengan perubahan bentuk badan dan wajah, namun tidak bermaksud ia akan menjejaskan perhubungan bersama suami.
Krisis ini boleh ditangani dengan baik sekiranya wanita tahu bagaimana untuk menguruskannya dengan baik.
Kata Siti Marziah, wanita yang mengalami fasa pra menopaus atau menopaus perlu memberi kefahaman kepada pasangan mengenai keadaan yang dialami.
Misalnya, segala perubahan yang berlaku dari segi fisiologi, biologi mahupun psikologi agar tidak timbul salah faham.
“Jadi, wanita perlu bersuara, berterus-terang dan fahamkan pasangan mengenai perubahan yang dilalui supaya pasangan tahu dan cuba untuk memahami.
“Satu lagi, perlu kumpulan sokongan supaya isteri boleh berkongsi dengan wanita lain.
“Sebenarnya, amat bagus jika dapat mendengar pengalaman-pengalaman daripada wanita yang telah melalui fasa tersebut sebelum ini untuk mendapatkan motivasi, inspirasi, sumber kekuatan dan sebagainya,” sarannya.
Tambah Siti Marziah, anak-anak juga boleh memainkan peranan bagi meredakan gejolak emosi yang dirasai ibu yang meniti usia pertengahan hidup.
Anak-anak boleh membantu dari segi tenaga dan sokongan emosi seperti menguruskan kerja-kerja rumah agar ibu dapat melalui krisis fasa hidup dengan lebih mudah.
“Sebenarnya, ibu yang melalui krisis pertengahan hidup ini boleh dilihat berdasarkan perubahan mood dan kurang berkomunikasi.
“Misalnya, mengasingkan diri kerana dia cuba menguruskan emosi atau menyesuaikan diri dengan krisis dialami.
“Jadi, kena ada kefahaman daripada persekitaran, keluarga dan terutamanya, pasangan,” jelasnya.
SIMPTOM AWAL
Bagaimanapun, tidak semua wanita sedar krisis pertengahan usia yang dialami mereka.
Perubahan itu biasanya disedari oleh orang sekeliling seperti keluarga, anak-anak atau pasangan.
Kata Siti Marziah, wanita yang mengalami krisis pertengahan usia biasanya mempunyai rasa bimbang berlebihan, kemurungan atau gangguan tidur.
Namun, simptom-simptom yang dapat dilihat bergantung kepada perubahan hidup yang dialami oleh individu.
“Contohnya, kehilangan insan tersayang sama ada suami atau ibu bapa yang tentunya memberi kesan sangat signifikan dan perlu mengambil masa untuk memulihkan kembali semangat.
“Hidup sebelum 40 tahun dengan selepas 40 tahun sebenarnya banyak perbezaan dan perubahan. Itu yang memberi kesan kepada simptom dan gaya hidup wanita ataupun lelaki,” jelasnya.
JADI POSITIF
Kata Siti Marziah, krisis pertengahan usia bukanlah sesuatu yang negatif dalam hidup.
“Dalam Islam, umur ini dikategorikan sebagai fasa kematangan, malah nabi mendapat wahyu pertama pun di usia 40-an.
“Harapnya banyak yang membuat perubahan ke arah yang lebih positif. Ia bergantung kepada perspektif mereka tentang kehidupan, kematian, rumah tangga, matlamat hidup dan sebagainya,” jelasnya.
Paling penting, wanita yang meningkat usia disarankan untuk lebih menjaga kesihatan.
Jalani ujian pap smear atau mamogram untuk mengelak risiko kanser pangkal rahim, payudara dan sebagainya.

TANGANI KRISIS, ELAK MASALAH MENTAL
Krisis pertengahan usia yang berlanjutan dan tidak diuruskan dengan baik berisiko menyebabkan individu mengalami masalah berkaitan mental.
Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, sesetengah kes boleh menyebabkan seseorang mengalami kemurungan selain terdedah kepada gangguan personaliti.
Misalnya, paranoid, skizofrenia, anti-sosial, narsistik serta berfikir berlebihan.
Diikuti lemah semangat dan tidak bertenaga kerana kurang rehat atau gangguan kualiti tidur.
“Ia juga boleh menyebabkan masalah dalam perhubungan dengan pasangan atau ahli keluarga kerana emosi diri tidak terkawal,” jelasnya.
Sebagai langkah pencegahan, lakukan aktiviti berfaedah bagi mengisi masa lapang dan bersenaman atau beriadah untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Penglibatan dalam aktiviti sosial dapat membantu mengelakkan rasa murung atau ingin menyendiri tanpa sebab yang jelas.
“Krisis pertengahan usia boleh menjadi saat yang tepat untuk mengambil langkah besar dalam hidup seperti memulakan kerjaya atau keterampilan baharu, mengejar minat serta mengembangkan bakat yang lama terpendam.
“Selain itu, isi waktu lapang dengan hobi baharu atau yang sudah lama ditinggalkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, sesetengah individu mungkin memerlukan bantuan daripada pakar sekiranya fasa yang dilalui terlalu sukar.
Misalnya, individu yang mengalami gangguan pemikiran dan emosi serta yang tidak bersemangat untuk meneruskan kehidupan kerana tiada matlamat dan tujuan hidup.
Akibatnya, golongan ini lebih berminat untuk menyendiri dan berasa diri tidak bahagia.
Lebih membimbangkan sekiranya gagal fokus dalam pekerjaan (bagi yang masih bekerja) sehingga menimbulkan masalah di tempat kerja.
PERANAN KELUARGA
Justeru, keluarga perlu memainkan peranan untuk membantu ibu bapa melalui fasa ini dengan baik.
Temani mereka dan sebolehnya jangan dibiarkan bersendirian.
“Usah berdebat atau berselisih pendapat dengan mereka kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Menjadi pendengar yang baik sekiranya mereka meluahkan sesuatu dan belajar teknik komunikasi yang berkesan.
“Waspada pada sensitiviti mereka dan menjaga tutur kata apabila berdepan dengan mereka. Berkongsi maklumat yang berfaedah secara berhikmah tanpa mengajar mereka apa yang sepatutnya dilakukan,” cadangnya.
Krisis pertengahan hidup bukanlah satu penyakit, sebaliknya hanya satu fasa kehidupan yang dilalui oleh manusia.
Setiap orang pasti akan melepasi fasa ini, yang membezakannya adalah tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan krisis dialami. – UTUSAN










