SUASANA ibu kota Kuala Lumpur yang bingit dengan hiruk-pikuk kenderaan ada kalanya menyebabkan penghuni menjadi stres.
Apabila berpeluang melepaskan segala bebanan di fikiran dengan aktiviti rekreasi, ramai warga kota memilih untuk menikmati keindahan alam.
Bagi yang ingin ‘lari’ ke alam semula jadi menghijau dengan panorama air sungai dihiasi batu-batuan besar, lokasi percutian, Dango1881@UK (Dango1881) boleh dipertimbangkan.
Terletak di Padang Rengas,Perak iaitu 15 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar, Dango 1881 menyajikan keindahan suasana rimba yang bergema dengan bunyi kicauan burung dan unggas hutan.
Lebih mengujakan, inap desa yang terletak dalam dusun durian ini membuka peluang kepada penghuni mengutip raja buah tersebut dengan bayaran istimewa.
Menurut Rohani Jusoh yang bersama-sama suaminya, Burhanuddin Mat Zahari menguruskan lokasi peranginan itu, nama inap desa itu diinspirasikan daripada perkataan dangau iaitu rumah kecil atau pondok yang biasa dibina untuk menunggu durian.
“Orang Perak menyebut dangau sebagai dango manakala 1881 itu pula merupakan nombor tema kami sekeluarga.
“Kebetulan di sini adalah dusun durian. Jika kena dengan musim, pengunjung boleh merasa durian kampung yang ditanam sebanyak 80 pokok oleh bapa mentua,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Rohani, lokasi chalet tersebut terletak di kawasan sungai di Ulu Kangsar sekali gus memberi peluang kanak-kanak untuk mandi-manda.
Kedinginan air sungai di kawasan tersebut mampu menarik kanak-kanak mahupun dewasa berendam berjam-jam lamanya.
Sementara itu, kata Rohani, penginapan tersebut menempatkan tiga unit chalet berkembar, ruangan tempat makan dan rumah kebun di kawasan seluas 1.2 hektar.
Ia turut mempunyai 11 tapak perkhemahan untuk individu mahupun berkumpulan.
“Kita juga menyediakan kemudahan surau dan tandas untuk peserta perkhemahan. Segala kemudahan ini sesuai untuk keluarga, individu, pelajar atau pengantin baharu yang berbulan madu.
“Sesetengah orang inginkan suasana berkhemah dikelililingi hutan, maka kemudahan terbaik kita sediakan.
“Kita turut menyediakan unggun api untuk kumpulan yang berminat mengadakan aktiviti malam,” ujarnya.
Harga penginapan bermula dari RM500 bergantung kepada jenis rumah dan tapak perkhemahan.
Penghuni yang ingin berkelah dan membuat barbeku juga dibenarkan di kawasan chalet tersebut memandangkan aktiviti di sungai pasti menyebabkan perut menjerit kelaparan untuk diisi.
“Kita tiada masalah untuk penghuni memasak dan makan-makan di sini. Chalet ini memang tempat keluarga berkumpul dan makan durian jika kena dengan musimnya.
“Inilah masanya ibu bapa yang sibuk bekerja melayan kerenah anak-anak,” katanya.
Cuti musim sekolah tiba tidak lama lagi merupakan waktu terbaik untuk membawa keluarga bercuti menikmati keindahan alam sambil mengeratkan lagi hubungan.
Sebarang tempahan dan rujukan, boleh merujuk Facebook dan akaun Tik Tok Dango1881.










